Skip to main content

Singapura

Gerakan Baik Budi SG langgar kewajipan lindung data peribadi di bawah PDPA: Mahkamah Tinggi

Mahkamah Tinggi pada Jumaat (29 Ogos) memutuskan bahawa sebuah badan amal tempatan melanggar tanggungjawab untuk melindungi data peribadi seorang lelaki apabila ia mendedahkan identiti lelaki berkenaan kepada orang yang diadukannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Gerakan Baik Budi SG langgar kewajipan lindung data peribadi di bawah PDPA: Mahkamah Tinggi

Martin Piper menyaman Gerakan Baik Budi Singapura kerana melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi 2012 dengan mendedahkan nama dan alamat emelnya kepada seorang wanita yang diadukannya kepada pertubuhan tersebut. (Gambar: Facebook/Martin Piper, Gerakan Baik Budi SG)

SINGAPURA: Mahkamah Tinggi pada Jumaat (29 Ogos) memutuskan bahawa sebuah badan amal tempatan melanggar tanggungjawab untuk melindungi data peribadi seorang lelaki apabila ia mendedahkan identiti lelaki berkenaan kepada orang yang diadukannya.

Keputusan itu merupakan perubahan dalam kes saman sivil yang bermula tahun lalu, apabila Encik Martin Piper menyaman Gerakan Baik Budi Singapura (SKM) kerana mendedahkan butiran dirinya kepada Cik Carol Loi, yang dituduhnya bersikap transfobia.

Kes itu melibatkan dapatan berkait keadaan-keadaan di mana seseorang individu dianggap sudah memberikan persetujuan untuk pengumpulan, penggunaan atau pendedahan data peribadi mereka.

Keputusan pada Jumaat itu dibuat selepas Encik Piper merayu terhadap keputusan mahkamah daerah yang menolak samannya.

Hakim Hoo Sheau Peng mendapati bahawa tiada keperluan bagi SKM untuk mendedahkan butiran peribadi Encik Piper kepada Cik Loi dalam proses menyiasat aduannya terhadap beliau.

Atas dasar niat baik, SKM mungkin mahu mendamaikan Encik Piper dan Cik Loi, namun perkara itu tidak termasuk dalam tujuan asal Encik Piper memberikan butirannya kepada SKM, iaitu untuk menyiasat aduan beliau, kata hakim.

Hakim memutuskan bahawa SKM sudah melanggar kewajipannya di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA). Namun beliau menolak rayuan Encik Piper kerana mendapati pelanggaran SKM itu tidak secara langsung membawa kepada tekanan emosi yang didakwa olehnya.

Encik Piper memberitahu Mediacorp bahawa beliau lega dengan dapatan hakim berhubung pelanggaran PDPA itu.

“Apa yang paling penting bagi saya adalah kenyataan jelas mahkamah bahawa pertubuhan tidak boleh sewenang-wenangnya mendedahkan identiti pengadu seperti yang dilakukan SKM,” kata Encik Piper.

“Dalam keadaan tertentu, aduan mesti ditangani dengan kerahsiaan untuk mengelakkan tindakan balas serta memberi keyakinan kepada orang ramai untuk bersuara bagi menentang salah laku.

“Saya berharap SKM mengambil iktibar daripada keputusan ini dan menambah baik cara mereka mengendalikan aduan, supaya tiada orang lain yang perlu melalui apa yang saya alami. Dan mungkin, pada masa depan, ia dapat lebih menzahirkan nilai kebaikan dalam amalannya.”

SKM dalam satu kenyataan pula menyatakan bahawa tindakannya didorong komitmen terhadap ketelusan dan usaha untuk menyelesaikan konflik dengan baik.

“Apabila Encik Piper menghubungi kami dengan tuduhan yang serius, kami berperanan sebagai pemudah cara berkecuali dan pengantara yang jujur untuk membantu menangani isu yang dibangkitkan,” kata badan bukan pemerintah itu.

“Hasil yang kami harapkan sentiasa untuk menggalakkan komunikasi langsung yang penuh hormat antara pihak-pihak terlibat, sambil mengekalkan integriti proses siasatan kami.”

SKM turut menyatakan bahawa ia sudah menyemak semula dasar dan garis panduan PDPA secara menyeluruh berikutan kes tersebut, dan akan terus membuat semakan berkala bagi memastikan pematuhan piawaian pengawalseliaan serta amalan terbaik yang sentiasa berkembang.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita