Skip to main content

Singapura

Gerakan Baik Budi S'pura nafi dakwaan guna profil perkauman

Setelah beberapa pengkritik online mencadangkan poster "projek membersihkan tandas" yang memaparkan seorang tukang bersih India bersalah ke atas profil perkauman, 

Anggaran Waktu Membaca:
Gerakan Baik Budi S'pura nafi dakwaan guna profil perkauman

(Gambar: Gerakan Baik Budi Singapura)

Diterbitkan : 22 Oct 2020 11:25PM Dikemas Kini : 22 Oct 2020 11:27PM

SINGAPURA: Setelah beberapa pengkritik online mencadangkan poster "projek membersihkan tandas" yang memaparkan seorang tukang bersih India bersalah ke atas profil perkauman, Gerakan Baik Budi pada Khamis (22 Okt) tampil memberi pencerahan. Ia menyatakan poster itu salah satu daripada siri poster, menampilkan kaum berbeza dalam pekerjaan barisan hadapan yang sama.

Menekankan bahawa poster-poster itu sepatutnya dilihat sebagai sebuah siri dan bukannya secara berasingan, pertubuhan itu menegur para pengkritiknya dengan menyatakan mereka yang "mungkin mengambil poster-poster kami di luar konteks mahu sengaja menyebarkan salah faham dan perasaan negatif dalam masyarakat kita".

“Tindakan berniat jahat ini boleh menghakis keharmonian berharga yang sudah kita bina selama bertahun-tahun. Rakyat Singapura berfikiran sivik yang mahukan sebuah masyarakat lebih kukuh, lebih baik budi dan lebih inklusif akan menggalak wacana awam yang sihat dalam kalangan kita serta tidak akan membangkitkan perselisihan seumpama itu dalam keadaan ini," tambahnya.

Gerakan Baik Budi Singapura bagaimanapun menyatakan ia sedang menyemak semula poster-poster itu.

Poster tersebut yang memaparkan tukang bersih India, diketengahkan dalam satu catatan Facebook oleh seorang ahli terapi tisu dalam Eileena Lee, 49 tahun, pada Selasa menunjukkan lukisan seorang lelaki bernama Siva memberi isyarat kepada sampah di lantai.

Watak itu berkata: "Adakah orang ramai fikir lantai itu tong sampah?"

Di bahagian bawah poster itu ada mesej: "Tolong buang sampah anda ke dalam tong sampah. Tunjukkan sikap baik budi kepada Siva dan orang lain yang menggunakan tandas."

Beberapa warganet yang menulis komen di catatan Cik Lee mencadangkan bahawa profil perkauman adalah salah. Salah seorang daripadanya berkata: "Mengapa anda perlukan seseorang atau nama bagi publisiti ini?"

Gambar poster di Facebook Cik Lee kemudian dikongsikan oleh Pengerusi Parti Rakyat Singapura (SPP) Jose Raymond, yang berkata poster itu "salah dalam banyak peringkat". Beliau berkata stereotaip dan prasangka perkauman yang dipamerkan di dalamnya "memeranjatkan".

Beliau menambah: "Kenapa guna kaum tertentu dan menggambarkannya sebagai seorang tukang bersih tandas serta memberikannya nama itu? Menjelekkan. Mengapa kaum yang digambarkan dalam poster juga menunjukkan penguasaan bahasa yang lemah? Membingungkan."

Gerakan Baik Budi Singapura menyatakan ia adalah sebahagian daripada siri empat poster dalam "projek membersihkan tandas" yang ditauliahkannya.

Ia dilancarkan sebagai sebahagian daripada projek perintis di Hospital Besar Sengkang pada Jun untuk mengingatkan rakyat Singapura supaya menunjukkan sikap baik budi kepada para pembersih dengan memikul tanggungjawab peribadi untuk mengamalkan kebersihan awam serta membantu memastikan sekitaran mereka bersih.

Ia kemudian menyertakan dalam kenyataannya poster-poster lain yang menjadi sebahagian daripada siri itu.

Salah satu poster memaparkan seorang pekerja pembersih wanita Melayu bernama Rosnah yang menggesa para pengguna tandas agar tidak menyangkung di atas tempat duduk jamban. Satu lagi poster menampilkan seorang pekerja pembersihan wanita Cina bernama Florence yang menyuruh orang ramai untuk mengepam setelah menggunakan tandas.

Poster keempat pula memaparkan kesemua tiga pekerja pembersihan itu dan menggesa para pengguna tandas untuk mengamalkan tabiat tandas yang baik secara am.

Sementara itu, Gerakan Baik Budi Singapura mengambil kesempatan untuk "menegaskan sumbangan" para pekerja pembersih di Singapura.

“Ia bukan suatu kerjaya yang kita patut pandang rendah, bertentangan dengan apa yang cuba dibayangkan oleh catatan-catatan itu. Sebaliknya, kita seharusnya menegakkan dan menghargai peranan penting para pekerja pembersihan dalam masyarakat yang menyediakan kita dengan persekitaran yang bersih untuk kita hidup, bekerja dan bermain," jelasnya.

“Gerakan Baik Budi Singapura berterima kasih kepada tukang bersih kita kerana memastikan kita semula selamat dan memberi kita rasa selamat terutamanya semasa COVID-19."

SIRI POSTER 'BOLEH DILAKUKAN TANPA KARTUN'

Memberikan respons kepada kenyataan itu, Cik Lee memberitahu Mediacorp bahawa jika kempen itu memerlukan pencerahan seperti yang dilakukan oleh Gerakan Baik Budi Singapura, ia bermakna cara ia menyampaikan mesej "jelas perlu diperbaiki".

Beliau juga menarik perhatian bahawa mesej yang sama boleh disampaikan tanpa menggunakan kartun.

“Mengapa mengutarakannya disebut sebagai tindakan berniat jahat? Mengapa mereka cepat membela diri dan menggunakan bahasa penuduh seperti itu jika perbincangan yang ingin mereka galakkan? Semua jenis karikatur berdasarkan stereotaip. Ia harus dielakkan," katanya.

Encik Raymond juga memberitahu Mediacorp pandangannya mengenai perkara itu tidak berubah walaupun Gerakan Baik Budi Singapura menyatakan poster itu adalah sebahagian daripada siri lebih besar.

Encik Raymond menambah adalah "malang" ia membuat kenyataan sehingga membawa kesan itu lebih-lebih lagi setelah setiausaha agung gerakan tersebut, Dr William Wan, berkongsi melalui panggilan telefon bahawa beliau memahami kedudukan berhubung isu tersebut.

Encik Raymond berkata Gerakan Baik Budi Singapura seharusnya sekarang "bertanya dirinya sendiri" sama ada empat poster itu diletakan di tempat-tempat yang sama, sama ada ia sudah mendampingi pihak berkepentingan sebelum mengeluarkan kempen itu dan sama ada ia membuat pengumuman awam tentang kempennya sebelum meletakkan poster-poster berkenaan.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita