Skip to main content

Singapura

Gerak hati pegawai polis ini bantu berkas dua suspek kes curi dalam pesawat

Anggaran Waktu Membaca:
Gerak hati pegawai polis ini bantu berkas dua suspek kes curi dalam pesawat

Inspektor Imran Mohd Hajar dalam penerbangan pulang ke SG dari Kuala Lumpur apabila beliau melihat seorang lelaki berkelakuan "mencurigakan". (Gambar: CNA/Natasha Ganesan)

Diterbitkan : 05 Jun 2025 12:02AM Dikemas Kini : 05 Jun 2025 12:03AM
SINGAPURA: Beberapa minit sebelum penerbangan yang dinaiki Inspektor Imran Mohd Hajar berlepas ke Singapura, beliau terlihat seorang lelaki di barisan hadapannya, berkelakuan mencurigakan.

"Beliau bermundar-mandir seolah-olah sedang mencari sesuatu, yang pada saya ia sesuatu yang luar biasa, terutama sekali kerana kita akan berlepas dalam masa lima hingga 10 minit lagi," kata timbalan ketua pasukan di Balai Polis Kejiranan Jurong East, Divisyen Clementi kepada wartawan pada Rabu (4 Jun).

Pegawai polis berusia 47 tahun itu dalam penerbangan pulang selepas bercuti selama empat hari di Kuala Lumpur bersama isteri dan anak perempuan mereka.

Lelaki itu menggeledah sebuah beg sandang dalam kompartmen atas tempat duduk penumpang selama satu hingga dua minit sebelum dia dipercayai mengeluarkan beberapa barang daripada beg tersebut.

Dia kemudian menyimpan barang-barang itu dalam sebuah beg penerbangan, menurut pegawai polis itu.

"Pada ketika itu, saya tidak dapat mengesahkan sama ada beg itu miliknya, tetapi kami tetap memerhatikan tingkah lakunya sehingga kami tiba di Singapura," katanya.

Sebaik sahaja pesawat tersebut mendarat, beg sandang itu diambil oleh seorang penumpang wanita, yang turun daripada pesawat berkenaan sebelum INSP Imran.

Kelibat lelaki itu tidak lagi kelihatan dalam pesawat itu.

INSP Imran kemudian melihat lelaki itu bersama seorang lagi individu, di kawasan merokok di ruang rehat transit.

Dia juga melihat beg penerbangan masih berada dalam genggaman lelaki tersebut dan diserahkan kepada individu tersebut.

"Di situlah naluri saya sebagai seorang pegawai polis menyatakan ada sesuatu yang tidak kena," kata INSP Imran sambil menambah beliau memetik gambar kedua-dua lelaki tersebut.

Apabila ditanya mengapa beliau tidak menegur mereka pada ketika itu, INSP Imran berkata beliau mahu memastikan terdapat barang hilang daripada beg sandang itu.

Beliau juga mengatakan bahawa suspek dalam pesawat adalah seorang warga asing dan beliau tidak mahu menyoal siasatnya secara melulu.

"Saya memberikannya faedah kesangsian."

2 WARGA CHINA DIBERKAS

Langkah seterusnya bagi INSP Imran adalah untuk mencari pemilik beg tersebut.

Beliau mencari wanita itu di sekeliling lapangan terbang tersebut dan juga ke tali sawat penyampai, dengan harapan wanita itu perlu mengambil bagasi.

Ternyata tekaannya adalah tepat. Beliau menghampiri wanita itu untuk mengesahkan sama ada barangannya hilang.

Wanita itu kemudian menyedari bahawa beberapa wang tunai dan dua kad bank beliau hilang.

INSP Imran turut percaya mangsa adalah seorang warga Malaysia dan baru sahaja mula bekerja di Singapura.

"Beliau berasa panik dan isteri saya dapat menenangkannya dan memberitahunya supaya 'jangan bimbang, kami akan membantu anda sedaya mungkin'," katanya.

Pasangan itu kemudian membawa wanita tersebut ke seorang pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) yang merujuknya ke seorang pegawai duti.

INSP Imran turut berkongsi gambar kedua-dua individu tersebut dan Divisyen Polis Lapangan Terbang dikerahkan untuk memburu kedua-dua suspek.

Mereka diberkas pada Isnin selepas polis dimaklumkan mengenai kejadian itu pada kira-kira pukul 8.50 malam.

Menggunakan maklumat yang diberikan oleh INSP Imran, isterinya dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), para pegawai Divisyen Polis Lapangan Terbang dapat mengenal pasti identiti lelaki tersebut dan memberkasnya di ruang rehat di kawasan transit di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi.

Dua kad debit milik penumpang wanita itu dibuang dalam tong sampah berdekatan kawasan dilalui oleh kedua-dua suspek sebelum mereka diberkas.

Dua warga China diberkas pada Rabu atas tuduhan mencuri dalam penerbangan Scoot.
Wang Wei, 40 tahun dan Liu Xitang, 35 tahun, dituduh mencuri wang tunai sebanyak S$169 dan dua kad debit dari mangsa, menurut kertas tuduhan.

Pihak pendakwa memohon supaya kedua-dua lelaki itu direman selama seminggu, dengan izin diberikan untuk membawa mereka keluar atas tujuan siasatan seperti kunjungan ke tempat kejadian.

Jika didapati bersalah, kedua-dua lelaki itu boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Komander Divisyen Polis Lapangan Terbang, Penolong Pesuruhjaya Polis M Malathi, berkata dua penumpang yang peka - INSP Imran dan isterinya - memainkan "peranan penting" dalam membantu polis dan mangsa.

Komander, Divisyen Polis Lapangan Terbang M Malathi berkata: "Dengan maklumat penting dari dua penumpang yang tajam pemerhatian semasa berada dalam pesawat itu dan dengan bantuan rakaman CCTV, para pegawai dapat mengenal pasti identiti serta lokasi subjek.

"Mereka diberkas dalam tempoh sejam sebelum mereka sempat menaiki penerbangan sambungan di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi. "

"Ia adalah naluri yang kita ada daripada khidmat kita sebagai seorang pegawai polis selama beberapa tahun, dan juga latihan yang diterima menerusi khidmat yang dijalankan," kata INSP Imran.

Beliau berkata bahawa beliau juga menyuruh anak-anaknya supaya berwaspada dan peka terhadap keadaan sekeliling ketika dalam pesawat dan pengangkutan awam.

"Dalam penerbangan jarak jauh, kami akan bergilir-gilir berjaga bagi memantau barang peribadi kita.

"Saya rasa ia adalah salah satu cara terbaik untuk benar-benar menghalang jenayah daripada berlaku dalam pesawat."
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita