Skip to main content

Singapura

Gerak Gelak ajak masyarakat Melayu terus amal gaya hidup sihat

Pendekatan santai bantu sampaikan mesej gaya hidup sihat

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dalam keadaan yang santai, mesej mengenai kesihatan boleh disampaikan dengan lebih berkesan lagi.

Itulah yang ingin dicapai melalui acara berjalan kaki beramai-ramai yang diadakan khusus untuk masyarakat Melayu, pagi tadi (22 Jul).

Pelbagai lapisan masyarakat seawal jam 8.30 pagi kelihatan bersemangat dan cukup ceria menyertai acara berjalan kaki beramai-ramai ini.

Acara bermula di Pusat Masyarakat Sembawang dengan sekitar 500 peserta berjalan kaki sejauh tiga kilometer untuk sampai ke destinasi Masjid Petempatan Melayu Sembawang.

Semua itu bagi tujuan ke arah gaya hidup yang lebih sihat.

Related article image

"Saya rasa lebih baik umur yang dewasa, yang umur dalam lingkungan 70 tahun mengikuti senaman sebegini lebih baik. Berguna untuk melembutkan badan kita dan sihat," kata peserta, Mohd Ghaus Awang,

Seorang lagi peserta, Siti Rohaini Md Aris berkata: "Terutama untuk warga emas untuk memberi kesihatan yang baik dan berpeluang juga untuk membuat riadah. Biasanya mereka duduk di rumah sahaja, tidak ada buat apa-apa. Jadi sepatutnya diadakan kerap juga."

Acara berjalan kaki beramai-ramai yang diberi nama Gerak Gelak ini merupakan satu inisiatif Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) sebagai sebahagian daripada usaha berterusan HPB untuk menggalak kehidupan lebih sihat dalam kalangan masyarakat Melayu.

Selain bersenam, para peserta juga berpeluang beramah-mesra dengan para peserta lain dan mengikuti kegiatan-kegiatan santai yang sesuai untuk seisi keluarga.

Ternyata, pendekatan yang lebih santai sebegini menurut Encik Amrin Amin dapat membantu menyampaikan mesej kesihatan dengan lebih berkesan lagi.

"Kita mahu masyarakat kita bergerak tapi bersenam tidak harus menjadi satu perkara yang membosankan. Ia satu kegiatan sosial di mana kita dapat kenal, berbual-bual, bergelak. Saya rasa inilah tujuan akiviti hari ini Gerak Gelak di mana kita menyatupadukan masyarakat, kita bersenam, kita memeluk gaya hidup sihat secara santai, bersahaja dan ceria," kata Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan, Amrin Amin.

Ditanya tentang sambutan masyarakat Melayu terhadap inisiatif-inisiatif menggalak gaya hidup sihat sejauh ini, Encik Amrin melahirkan rasa positif.

"Malahan kita mendapat pertanyaan darIpada anggota-anggota masyarakat kita yang tanya bagaimana kita dapat menganjurkan usaha ini, usaha itu. Kita juga telah berganding bahu dengan masjid-masjid 'Jaga Ummah, Jaga Kesihatan'. 15 masjid telah mengadakan sesi-sesi bersenam di masjid-masjid. Saya rasa ini perkembangan yang sangat baik dan saya mengalu-alukan sokongan masyarakat kerana ia menunjukkan kesungguhan kita," jelas beliau.

Ia merupakan kali pertama acara Gerak Gelak diadakan dan HPB merancang untuk mengadakannya setiap tiga bulan di pelbagai lokasi merata Singapura. 

Sumber : BERITA Mediacorp/NF/hs
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita