Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gerai pertama itik reneh Hokkien halal di S'pura pikat ramai pelanggan Muslim

"Sebilangan pelanggan Cina Islam memberitahu kami, sudah berpuluh-puluh tahun sejak kali terakhir mereka menikmati itik panggang. Ia sangat mengharukan bagi kami," kata Habri, salah seorang pemilik bersama Kin Men Seng Heng.

Anggaran Waktu Membaca:
Gerai pertama itik reneh Hokkien halal di S'pura pikat ramai pelanggan Muslim

(Gambar: 8days/Aik Chen)

Diterbitkan : 14 Aug 2022 12:16AM Dikemas Kini : 18 Aug 2022 11:06AM

SINGAPURA: Terletak di Pusat Makanan Amoy, Kin Men Seng Heng adalah sebuah gerai berusia empat bulan, yang menjual itik Hokkien halal yang direneh atau 'braised Hokkien duck'.

Ia dipercayai yang pertama diberikan sijil halal di Singapura.

Meskipun ia terletak di lokasi yang agak terpencil - di bahagian hujung aras dua pusat makanan itu - Kin Men Seng Heng tetap berjaya memikat pelanggan sejak bulan lalu.

Pemiliknya terdiri daripada empat sekawan - termasuk Jonathan Tan, 27 tahun, yang mana datuknya memulakan perniagaan kedai penjaja 'Seng Heng Braised Duck' di Pusat Makanan Redhill pada 1976.

Cawangan asal itu kini dikendalikan oleh pakcik Jonathan, Encik Koh, yang berusia 60-an tahun.

Ia tetap menarik pelanggan meskipun hanya dibuka tiga jam sehari.

Ini sekali gus menjadikan Kin Men Seng Heng peluasan pertama bagi jenama berusia 46 tahun itu - kedai tersebut menggunakan resipi serupa, dengan sedikit perubahan untuk mematuhi tuntutan halal.

halal duck owners
(Gambar: 8days/Aik Chen)

Lagi dua pemilik gerai itu, ialah Ernest Tan, 28 tahun, dan Nur Muhammad Ismail, 29 tahun, bertemu semasa mengambil diploma seni kulinari di Akademi GlobalChef At-Sunrice. Manakala, rakan baik Jonathan, Habri M Din 27 tahun, menyertai tiga rakan tersebut, menjadikan beliau satu-satunya pemilik bersama tanpa latihan rasmi dalam bidang kulinari.

Keputusan Jonathan untuk membuka kedai dengan siijil halal sebenarnya bermula daripada janji yang dibuatnya sepuluh tahun lalu.

"Saya memberitahu Habri dan ibunya bahawa apabila saya membuka perniagaan makanan saya sendiri, saya akan pastikan ia halal jadi mereka dapat menikmati makanan saya."

Malah, sokongan yang diterima Nur Muhammad dan Habri - yang belum pernah mencuba itik rebus sebelum ini - menjadikan Jonathan lebih yakin untuk meneruskan dengan rancangan beliau itu.

Nur Muhammad berkata: "Saya memberitahu beliau saya perlu mencuba resipinya dengan itik halal dahulu sebelum memutuskan sama ada saya mahu bergabung.

"Apabila saya mencuba sup mi itik, saya rasa okay, ia boleh dilakukan."

halal duck noodles
(Gambar: 8days/Aik Chen)
Sumber : 8 Days/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan