Skip to main content

Singapura

Gerai People's Nasi Padang beri peluang kedua bekas pesalah

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pengalaman meringkuk dalam penjara membawa semacam kesedaran dan keinsafan kepada Encik Ismail Didih Ibrahim, 38 tahun.

"Saya dipenjarakan selama sembilan bulan dan saya berjumpa dengan bermacam orang. Saya mula sedar bahawa para pesalah mempunyai satu persamaan. iaitu kebanyakan mereka datang membesar dalam keluarga yang berantakan," kongsi Encik Ismail kepada BERITA Mediacorp.

Beliau terdorong untuk membantu mereka mengubah nasib.

Mentelah lagi, beliau mempunyai kemampuan dan keupayaan untuk melakukan demikian dengan memanfaatkan pengalaman bekerja sebagai seorang pengurus di restoran Hjh Maimunah milik ibu bapanya.

Setelah dibebaskan, Encik Ismail membuka sebuah gerai makanan 'The People's Nasi Padang' di Tai Seng Avenue pada Julai lalu.

Ia adalah sebuah perusahaan sosial untuk membantu para bekas pesalah.

Dengan kerjasama, Projek Reben Kuning, Encik Ismail mengenalpasti bekas pesalah yang ingin dan boleh bekerja di gerainya itu.

Beliau sudah melatih dua bekas pesalah untuk memasak dan menerima pesanan daripada pelanggan.
"Cabaran saya sejujurnya adalah melatih pekerja-pekerja baharu saya. Saya ada pekerja yang sudah sepuluh tahun keluar masuk penjara dan tidak mempunyai pengalaman bekerja," kongsi beliau.

Tambahnya, bekas pesalah sedemikian sering merasa tersisih dan dipinggirkan masyarakat.

Berharap para pekerjanya itu tidak mensia-siakan peluang
kedua untuk mengubah diri mereka.

"Apa yang saya suka tentang mereka adalah sikap mereka. Mereka sabar dan dengar kata, mereka cuba,"ujar beliau.

Hidangan yang dijual di gerainya adalah berdasarkan resipi restoran keluarganya.

Beliau mendapat restu keluarga untuk menggunakan resipi keluarga.

"Saya tidak percaya perlu merahsiakan resipi (keluarga) dan dibiarkan lupus. Ia harus dikongsi dan dinikmati semua.

"Lauk-lauk Nasi Padang memang payah untuk dimasak, prosesnya mengambil masa dan memerlukan banyak langkah-langkah," jelas Encik Ismail.

Gerai 'The People's Nasi Padang' menawarkan lebih 20 jenis lauk dan dibuka setiap hari Isnin hingga Jumaat.
Sumber : BERITA Mediacorp/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita