Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gerai penjaja boleh ambil pemegang pas lawatan jangka panjang sebagai pembantu gerai mulai 1 Jan

Mulai 1 Januari 2025, pemilik gerai penjaja boleh mengambil pemegang pas lawatan jangka panjang (LTVP) yang diberi kelulusan untuk bekerja di Singapura sebagai pembantu gerai.

Anggaran Waktu Membaca:
Gerai penjaja boleh ambil pemegang pas lawatan jangka panjang sebagai pembantu gerai mulai 1 Jan

Gambar fail kedai kopi di Bedok. (Gambar: CNA/Aqil Haziq Mahmud)

SINGAPURA: Mulai 1 Januari 2025, pemilik gerai penjaja boleh mengambil pemegang pas lawatan jangka panjang (LTVP) yang diberi kelulusan untuk bekerja di Singapura sebagai pembantu gerai.

Demikian diumumkan Menteri Negara Kanan Kementerian Kemampanan dan Sekitaran, Koh Poh Koon di Parlimen pada Isnin (14 Okt).

Buat masa ini, hanya warga Singapura dan penduduk tetap boleh menjadi pemilik gerai atau bekerja sebagai pembantu gerai di pusat-pusat penjaja Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA)atau pengendali yang dilantiknya.

Namun, "NEA memberi sedikit kelonggaran dengan membenarkan pemilik gerai untuk melantik pasangan mereka yang merupakan pemegang pas lawatan jangka panjang atau pemegang LTVP-Plus (yang diluluskan untuk bekerja di Singapura) sebagai pembantu gerai mereka, memandangkan hubungan kekeluargaan dengan pemilik gerai berkenaan", kata Dr Koh.

Dengan kos tenaga kerja menjadi salah satu cabaran utama penjaja, kelonggaran pada dasar pengambilan pekerja NEA memberikan mereka lebih banyak pilihan untuk mendapatkan pekerja, menurut NEA.

Dr Koh menambah bahawa pihak berkuasa juga sedang meneliti langkah-langkah sokongan lain bagi penjaja dan akan mengumumkan perinciannya kelak.

Menjawab soalan Anggota Parlimen mengenai harga sewa gerai penjaja, Dr Koh berkata NEA sedang menyemak dasar berkaitan di pusat penjaja bagi memastikan sistemnya tetap berkesan di samping memastikan harga makanan di pusat penjaja masih dalam kemampuan ramai.

Pada Julai lalu, seorang penjaja membuat bidaan S$10,158 untuk menyewa sebuah gerai yang kosong di Pasar dan Pusat Penjaja Marine Parade Central.

Ia adalah bidaan kedua tertinggi bagi unit itu, dan dilaporkan harga bidaan tertinggi bagi sebuah gerai penjaja dalam tempoh enam tahun.

Dr Koh menekankan bahawa harga bidaan yang tinggi bukan sesuatuyang biasa bagi gerai penjaja.

Sekitar 20 peratus gerai makanan disewakan pada harga bidaan S$500 atau lebih rendah pada tahun lalu.

Harga bidaan median bagi gerai makanan di pusat penjaja yang berjaya disewakan adalah sekitar S$2,000 pada 2022, dan S$1,800 pada 2023, katanya.

Bidaan untuk gerai penjaja yang kosong dilakukan menerusi sesi bidaan bulanan yang dijalankan oleh NEA. Dr Koh berkata ia dijalankan "secara telus dan adil".

Selepas tamat tempoh penyewaan pertama selama tiga tahun, harga sewa bidaan akan disesuaikan mengikut harga sewa pasaran yang ditetapkan menerusi penilaian profesional bebas, katanya.

Sejak 2012, NEA tidak lagi menawarkan sewa simpanan dan tidak menetapkan harga bidaan minimum bagi harga bidaan gerai penjaja, katanya.

"Oleh yang demikian, pembida boleh mendapatkan gerai pada harga sewa lebih rendah daripada pasaran untuk tempoh penyewaan yang pertama.

"Perkara itu tidak dapat dicapai di bawah model di mana setiap gerai diperuntukkan harga sewa yang tetap," kata Dr Koh.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan