Skip to main content

Singapura

Gerai nasi ayam tertakluk kepada pemeriksaan lebih ketat dek kemungkinan E. coli dalam hidangan

Anggaran Waktu Membaca:
Gerai nasi ayam tertakluk kepada pemeriksaan lebih ketat dek kemungkinan E. coli dalam hidangan

(Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 09 Jun 2023 08:49PM
SINGAPURA: Gerai-gerai nasi ayam tertakluk kepada pemeriksaan lebih ketat kerana hidangan itu menimbulkan risiko lebih tinggi keselamatan makanan, menurut Agensi Makanan Singapura (SFA) pada Jumaat (9 Jun).

Agensi itu menjawab soalan Mediacorp mengenai video YouTube yang menyatakan bahawa lebih separuh daripada 100 nasi ayam yang diuji di sebuah makmal didapati melebihi had kawal selia Singapura bagi bakteria E. coli.

Cara yang sering digunakan untuk menyediakan hidangan itu adalah dengan merebus ayam sebelum meletakkannya di dalam air sejuk, yang bermaksud dagingnya tidak masak sepenuhnya.

Ayam tersebut juga sering dipamerkan dalam suhu bilik selama berjam-jam, di mana bakteria yang masih hidup daripada proses masakan terus membiak.

"Apabila ayam dipotong untuk dihidangkan, silang pencemaran boleh berlaku dari cara menguruskan daging ayam atau melalui papan pemotong dan pemukaan-pemukaan lain," menurut SFA.

SFA menyatakan ia menyemak maklum balas orang awam dan memantau gerai makanan dengan mengumpul sampel dan mengujinya untuk mengesan pencemaran mikrobiologi demi memastikan keperluan keselamatan makanan dicapai.

Agensi itu menerima 126 maklum balas terhadap gerai nasi ayam dari 2020 hingga Mei tahun ini. Ia mengenakan tindakan penguatkuasaan terhadap sebuah gerai kerana menjual makanan yang tidak selamat dimakan.

"Selain itu, tindakan juga diambil terhadap 22 gerai nasi ayam lain yang didapati gagal piawaian di bawah Program Pemantauan Pasar SFA," tambah agensi itu.

Ia menyatakan pengesanan E.coli pada sampel nasi ayam sudah berkurangan sejak beberapa tahun lalu.

Hampir 40 peratus sampel nasi ayam yang diuji pada 2021 melebih had kawal selia bakteria E. coli dalam makanan siap untuk dimakan, menurut laman SFA.

Pada 2022, jumlah itu adalah 13 peratus. Patogen hanya ditemui dalam 0.9 peratus sampel nasi ayam pada kedua-dua tahun tersebut.

"Tiada laporan kes-kes penyakit akibat makanan melibatkan nasi ayam dilaporkan sejak 2020," dedah SFA.

Kebanyakan jenis E.coli tidak menyebabkan penyakit.

PENGENDALIAN MAKANAN

SFA menyatakan pengendali makanan dinasihatkan supaya menjual ayam sudah dimasak dalam tempoh empat jam selepas disediakan dan kerap menukar air rebusan. Pastikan daging yang dimasak dipisahkan daripada daging yang mentah.

Pengendali makanan harus mencuci tangan mereka dengan bersih selepas memegang makanan mentah dan menggunakan sarung tangan ketika mengendalikan makanan sedia untuk dimakan.

Papan pemotong, kain pembersihan dan permukaan gerai harus dibersihkan dengan kerap.

Walapun terdapat potensi risiko berkaitan merendam ayam di dalam air sejuk selepas memasak, doktor perubatan Dr Leslie Tay memberitahu Mediacorp bahawa ia mungkin sukar untuk merubah cara menyediakan ayam.

"Melainkan jika rakyat Singapura sanggup mengorbankan nasi ayam kita dan makan ayam yang keras dan tidak mempunyai 'jeli' dan perkara lain. Itulah akibatnya jika terlalu banyak peraturan dikenakan, anda harus berhenti makan nasi ayam yang enak dan kita akan hilang satu ikon negara."

"Keselamatan makanan adalah sangat penting, namun perlu ada keseimbangan yang baik," kata Dr Tay.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita