Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GEP baharu bukan direka bantu pelajar capai prestasi lebih baik dalam peperiksaan, kata Chan Chun Sing

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Sep 2024 05:19PM Dikemas Kini : 10 Sep 2024 08:48PM
SINGAPURA: Program pendidikan bagi pelajar berkebolehan lebih tinggi bukan bertujuan untuk membantu pelajar mencapai prestasi lebih baik dalam peperiksaan peringkat nasional.

Demikian menurut Menteri Pendidikan Chan Chun Sing pada Selasa (10 Sep).

"Ia juga bukan bertujuan untuk memperkenalkan subjek di peringkat lebih tinggi, lebih awal, yang masih perlu memenuhi kurikulum teras dan syarat peperiksaan," kata beliau.

Menjawab soalan di parlimen mengenai Program Pendidikan Kanak-Kanak Cerdas (GEP), Encik Chan berkata program itu bertujuan untuk memupuk sifat ingin tahu, daya kreativiti dan cinta kepada pembelajaran dalam kalangan pelajar.

Sebagai sebahagian daripada rombakan yang diumumkan Perdana Menteri Lawrence Wong dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan sulungnya pada Ogos, program bagi pelajar dengan kebolehan lebih tinggi itu akan diperluaskan kepada sekitar 10 peratus kohort sekolah rendah.

Buat masa ini, 1 peratus daripada kohort itu dipilih mengikuti GEP, dan pelajar ditempatkan di salah satu daripada sembilan sekolah rendah yang dikhususkan, dari Darjah 4.

Lagi 7 peratus daripada kohort itu menjalani program berkenaan di sekolah sendiri.

Program yang dirombak itu akan dilaksanakan bermula dengan kohort Darjah 1 2024, menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada Ogos.

Oleh itu, tepat pada masanya untuk mengemas kini pendekatan Singapura dalam membangunkan pelajar dengan keupayaan lebih tinggi, kata Encik Chan.

Berbanding program sama bagi beberapa pelajar terpilih berdasarkan keupayaan am mereka dalam pelbagai bidang, model baharu itu bermakna peluang boleh ditawarkan kepada mereka dengan kebolehan lebih tinggi dalam bidang yang khusus, jelasnya.

Pelajar juga boleh menyertai program itu pada bila-bila masa dari Darjah 4 hingga Darjah 6, berbanding sekadar melalui ujian pemilihan semasa di Darjah 3.

Dengan pendekatan baharu itu, pelajar boleh pilih untuk keluar daripada program atau modul tersebut pada bila-bila masa sekiranya mereka mendapati diri mereka tidak sesuai atau mahu mencuba minat lain, kongsi Encik Chan.

Mereka juga boleh meninggalkan program itu tanpa stigma gagal memenuhi jangkaan selepas digelar sebagai kanak-kanak cerdas, tambahnya.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan