George Goh sangkal kecaman tidak fasih bahasa Inggeris
(Gambar: Facebook/George Goh Ching Wah)
SINGAPURA: Walaupun dikecam atas kefasihannya bercakap dalam bahasa Inggeris, bakal calon presiden George Goh menegaskan bahawa beliau mampu berkomunikasi dengan baik.
Perkara tersebut dibuktikan semasa urusan perniagaannya bersama syarikat antarabangsa, dan beliau berpandangan bahawa sifat amanah dan ikhlas jauh lebih penting.
Encik Goh juga berkata bahawa beliau boleh bertutur lebih daripada satu bahasa. Beliau berkata demikian di satu acara dialog tidak rasmi yang dihadiri kira-kira 130 usahawan. Ia dianjurkan oleh syarikat keusahawanan Super Scaling di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) pada Isnin (10 Jul).
Antara bahasa yang boleh dituturkan oleh Encik Goh termasuk Hakka, Bahasa dan minnan yu, atau Hokkien loghat Taiwan.
Sejak mengumumkan hasratnya pada 12 Jun untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden, pengasas Harvey Norman Ossia itu sudah melakukan beberapa wawancara bersama pihak media.
Sejumlah warga net yang menonton video wawancara tersebut mengecam keupayaannya bertutur dalam bahasa Inggeris dan mempersoalkan bagaimana ia akan mencerminkan Singapura jika beliau dilantik sebagai presiden.
"Bahasa adalah satu perkara. Anda harus faham bahawa apabila saya bercakap dengan anda, terdapat satu lagi bahasa yang dipanggil bahasa gerak-geri - iaitu bahasa tubuh yang menunjukkan keikhlasan anda," kata Encik Goh.
"Pada satu masa nanti orang lain akan sedar sama ada anda berkata perkara yang benar kerana mereka melihat mata anda. Mereka melihat cara anda bercakap. Mereka akan tahu: "Saya boleh berurusan dengan anda. Saya boleh percayai anda."
"Apabila anda ingin berurusan dengan hartawan, jangan bercakap dengan cara terlalu fasih. Maaf saya ajar anda perkara yang salah," seloroh Encik Goh.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.