Geng makcik & pakcik Yishun 71 gembleng tenaga penduduk; jaga kebajikan warga emas, keperluan keluarga muda 16 blok HDB
Sedang ramai penduduk Singapura kembali bekerja di pejabat masing-masing dan dapat melakukan lebih banyak kegiatan harian selepas tempoh “circuit breaker” berakhir, mungkin kita lupa nasib sesetengah jiran tetangga yang kehidupan mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Pondok jualan amal Yishun 71 di Chong Pang, Yishun. (Gambar: Facebook/Yishun Seventy One)
SINGAPURA: Sedang ramai penduduk Singapura kembali bekerja di pejabat masing-masing dan dapat melakukan lebih banyak kegiatan harian selepas tempoh “circuit breaker” berakhir, mungkin kita lupa nasib sesetengah jiran tetangga yang kehidupan mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Bagi para penduduk di sekitar Yishun Street 71, mereka beruntung kerana kira-kira 30 sukarelawan berpadu tenaga untuk mengambil tahu dan membantu memenuhi keperluan mereka yang masih bergelut dengan kesan pandemik COVID-19 terhadap kehidupan mereka.
Semasa ditemui BERITAmediacorp di pondok luar kedai di Chong Pang, Yishun, 'kakak-kakak' yang mengadakan jualan amal di sana berpakaian serba biru pada Sabtu (10 Okt) dan kemudian merah sedondon pada keesokan harinya.
Meskipun berseragam, mereka bukanlah anggota pertubuhan amal rasmi. Sebaliknya mereka adalah tenaga kerja tidak rasmi yang menggelar diri mereka sebagai "Yishun 71".

Sukarelawan Yishun 71 mempromosikan jualan menerusi Facebook Live. (Gambar: Zakrie Abdul Manap)
Dianjurkan buat julung-julung kalinya, sebahagian daripada hasil jualan barangan seperti mainan, busana Muslimah dan produk kesihatan akan dimanfaatkan untuk membiayai agihan makanan bulanan kepada sebilangan penduduk 16 blok di sekitar Yishun Street 71.
SIKAP AMBIL TAHU, PEDULI TERHADAP JIRAN TETANGGA

“Jiran tinggal seorang diri, sudah dua minggu baru kita mengetahui beliau meninggal dunia. Apabila jenazahnya berbau… (jirannya) menelefon polis,” kata anggota jawatankuasa Yishun 71, Cik Sarimah Amat, 53 tahun.
“Kita rasa macam bersalah sangat. Jiran satu blok tidak tahu,” ujarnya.
Pengerusi jawatankuasa kumpulan itu, Encik Shafiq Kamis, 39 tahun pula menceritakan insiden berasingan tetapi – malangnya – serupa: “Emaknya meninggal dunia, anaknya anak istimewa. Emaknya meninggal (tetapi) dia tidak mengetahui bahawa emaknya sudah pergi.
“(Selepas) berapa hari meninggal baru jiran-jirannya tahu.”

Selain dua ekor burung kakak tua ini, pengerusi jawatankuasa Yishun 71 Encik Shafiq Kamis juga dikenali dengan gagak peliharaannya. (Gambar: Facebook/Shafiq Kamis)
KEPERLUAN WARGA EMAS
“Cik beras dah habis, Sarimah, ini hari tiada apa-apa hendak dimakan.”
Begitulah rintihan warga tua kurang bernasib baik yang pernah didengari Cik Sarimah.
Kebajikan warga emas menjadi keutamaan nombor satu sejak awal lagi.
Yishun 71 membantu mereka yang mempunyai masalah pergerakan dan tidak berupaya ke kedai untuk membeli keperluan asas dan menyediakan kemudahan seperti kerusi roda, katil hospital, malah khidmat ambulans juga.
Bantuan sedemikian memudahkan penerima bantuan seperti Cik Rafeah (bukan nama sebenar), 75 tahun dan suaminya berusia 82 tahun yang menghidap barah tahap pertama.
“Kakak boleh keluar-keluar. Hendak pergi ke doktor … Kalau (suami) sudah jatuh lagi tidak boleh angkat,” ulas Cik Rafeah ketika mengimbas kembali saat dihadiahkan kerusi roda.

Penerima bantuan Cik “Rafeah” bertukar-tukar khabar dengan anggota jawatankuasa Cik Sarimah Amat, tidak jauh dari pondok jualan amal Yishun 71. (Gambar: Zakrie Abdul Manap)
Semasa ditemui BERITAmediacorp, Cik Rafeah - sambil menahan sebak - melahirkan rasa lega ketika mendapat bantuan makanan cukup selama sebulan dari Yishun 71, dihantar dalam enam beg plastik, yang antara lain, mengandungi beberapa ekor ayam, seguni bawang, kopi dan teh pada 27 September.
“Saya dapat, saya sujud syukur, ya Allah banyaknya … syukur Alhamdulillah!”
Cik Sarimah bukan setakat membantu menyara hidup Cik Rafeah. Jalinan antara kedua-dua wanita itu tiada bezanya seperti ibu dengan anak.
“Ini sebenarnya satu ganjaran peribadi bagi saya. Saya pun sudah tiada emak… Apabila (Cik Rafeah) memeluk saya, itu balasan, nikmat Allah bagi saya.
“Dia cium pipi saya, peluk saya.”
Selain menghulurkan bantuan makanan dan pengangkutan, Yishun 71 juga menjadi tempat mengadu lebih-lebih lagi bagi warga emas yang tinggal sebatang kara.
Contohnya, ketika Cik Rafeah berasa “terperanjat” dan “takut” setelah menerima notis pemberitahuan daripada syarikat perbekalan atau pihak berkuasa yang kandungannya kurang difahami.
KUMPULAN BERDIKARI
Semasa mengagihkan barang makanan beku ihsan pemilik ASM Frozen Food Pte Ltd, Encik Mubarak, menjelang Hari Raya Aidiladha, ‘kakak-kakak’ Yishun 71 kelihatan menyorong ‘bakul pasar’ dari flat mereka sejauh 200 meter hingga ke Pasar Chong Pang.
Aksi sedemikian menjadi peringatan bahawa kejayaan gerakan Yishun 71 terletak pada semangat yang membara dalam hati setiap peserta meskipun sumber-sumber yang digembleng tampak sederhana.
Mereka juga bergantung kepada belas ihsan orang awam yang mengikuti kegiatan Yishun 71 menerusi Facebook atau pesanan WhatsApp.
Malah semasa jualan amal tersebut berlangsung, orang awam daripada pelbagai kaum turut menyumbang barangan untuk dijual tanpa menuntut sebarang ganjaran.
“Kadangkala pengangkutan menjadi masalah. Kami mengeluarkan belanja sendiri untuk menyewa van atau kereta.
“Objektif saya (sebagai ketua jawatankuasa) adalah untuk mendatangkan wang supaya kumpulan ini boleh bergerak,” kongsi Encik Shafiq.
Kegigihan Yishun 71 tidak terlepas daripada perhatian Anggota Parlimen GRC Nee Soon, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim yang turut turun padang dan menawarkan huraian kepada kes-kes yang dikemukakan Yishun 71.
Ini meskipun Yishun 71 bukan sebuah pertubuhan akar umbi rasmi.
Ujar Dr Faishal semasa mengagihkan beriani dulang menjelang Hari Raya Haji tahun ini: “Sama-samalah kita bangunkan semangat ini, di mana kita tengok-tengok, bersama-sama kita mengambil tahu, mengambil berat tentang kehidupan dan kemaslahatan penduduk-penduduk kita dan rakan-rakan kita di Yishun.”
KEPERLUAN KANAK-KANAK BERSEKOLAH
Meskipun ekonomi Singapura sudah dibuka semula secara beransur-ansur, mungkin mudah dilupakan kesusahan sesetengah keluarga yang kehilangan mata pencarian angkara COVID-19.
Kedudukan kewangan menjadi rumit lebih-lebih lagi jika ada anak-anak yang masih bersekolah.

“Jadi mereka mula pening kepala, macam mana tahun depan anak-anak hendak ‘naik sekolah’,” ujar Cik Sarimah.
Lantaran itu bagi meringankan beban menanggung biaya persekolahan, Yishun 71 bekerjasama dengan Project Pencil Singapore – sebuah lagi projek amal diuruskan Cik Sarimah – untuk mengagihkan baucar S$100 bagi keperluan sekolah seperti beg, alat tulis dan kasut.
Projek Gear Up for School 2021 merupakan tambahan kepada Skim Bantuan Kewangan (FAS) oleh Kementerian Pendidikan (MOE) yang membiayai yuran sekolah, uniform sekolah, buku teks dan sebahagian yuran peperiksaan.
KEROHANIAN PERIBADI
Sedang ramai orang berpusu-pusu meninjau-ninjau pondok Yishun 71, tidak putus juga kehadiran sukarelawannya yang memberi sokongan moral kepada mereka yang bertugas.
Salah seorang daripada mereka ialah pengerusi pengasas jawatankuasa Yishun 71, Encik Mohamed Arifin Mohamed Ganda, 65 tahun.

Beliau – yang lebih mesra dengan panggilan Haji Arifin atau Tok Haji dalam kalangan anak muda – sempat bersua dengan jiran tetangganya selepas menyempurnakan tugas sebagai bilal solat Zuhur dan Asar di Masjid Assyafaah.
Semangat kejiranannya lebih menonjol dengan kemesraannya ketika diwawancara semeja dengan jiran aras bawah, Cik Syira Nurul Ain Appathi, 27 tahun, juga sukarelawan Yishun 71.
Cik Syira, seorang peniaga kecil-kecilan dari rumah, mengimbas kembali betapa pentingnya mengambil tahu nasib jiran tetangga yang menghadapi kesulitan.
“Jika tiada kumpulan ini, tiada orang yang akan mendampingi orang-orang tua itu.
INGIN LEBARKAN SAYAP
Dalam masa terdekat ini, Cik Syira menerajui projek membersihkan kawasan awam seperti sudut penduduk, taman permainan dan gelanggang sepak takraw, sempena dengan Minggu Bersih dan Hijau pada November.
“Saya mengambil iktibar bahawa, jika saya ingin mengubah dunia, kita sebenarnya boleh memulakannya di kawasan kejiranan, dengan mendampingi orang-orang tua ini yang tidak berteman,” kata Cik Syira.
Kegiatan mengayuh basikal Yishun 71 diadakan setiap hujung minggu bagi mengeratkan jalinan antara jiran tetangga.
Meskipun cukup luas jangkauan kawasan yang dibantu setakat ini, sukarelawan Yishun 71 tidak berpeluk tubuh dengan program-program sedia ada.
“Objektif utamanya untuk membantu banyak orang.
“Kita hendak membantu semua kaum,” ujar Encik Shafiq.

Apabila ditanya tentang apa yang mendorongnya untuk menyingsing lengan bagi Yishun 71 di samping tugas sambilannya sebagai penerbit muzik dan jurulatih sepak takraw serta hobinya melatih burung, Encik Shafiq setakat mengungkapkan kata mutiara yang menjadi pedomannya:
“Kalau kita cari kebahagiaan diri saya sendiri, kita tidak akan jumpa.
“Tetapi kalau kita bahagiakan orang lain, kebahagiaan kita akan datang sendiri.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.