Skip to main content

Singapura

Generasi warga emas penting bantu tangani kekurangan tenaga kerja, pacu pertumbuhan SG: Pakar

Penduduk Singapura yang semakin menua boleh menjadi pemacu pertumbuhan yang kukuh - jika negara ini dapat memanfaatkan potensi golongan warga emas dengan lebih baik sebagai tenaga kerja dan juga pengguna.

Anggaran Waktu Membaca:
Generasi warga emas penting bantu tangani kekurangan tenaga kerja, pacu pertumbuhan SG: Pakar

Masih terdapat potensi yang belum dimanfaatkan dalam kalangan warga emas yang bersedia dan mampu untuk terus bekerja, menurut para pakar. (Gambar: TODAY/Nuria Ling)

SINGAPURA: Penduduk Singapura yang semakin menua boleh menjadi pemacu pertumbuhan yang kukuh - jika negara ini dapat memanfaatkan potensi golongan warga emas dengan lebih baik sebagai tenaga kerja dan juga pengguna.

Perkara tersebut timbul sedang negara berdepan kekurangan tenaga kerja yang semakin ketara, dengan kadar kesuburan keseluruhan merosot ke paras rekod terendah pada 0.87.

Sehubungan itu, satu daripada empat rakyat dijangka berusia 65 tahun ke atas menjelang 2030.

Jumlah penduduk yang semakin kecil dalam usia bekerja juga perlu menyokong bilangan warga emas yang semakin meningkat, sekali gus menimbulkan kebimbangan berhubung kekurangan tenaga kerja dan kemampanan ekonomi.

JADIKAN TEMPAT KERJA LEBIH MESRA USIA

Walaupun kecerdasan buatan (AI) dan automasi mungkin dapat mengurangkan sebahagian daripada kekurangan tenaga kerja, masih terdapat potensi yang belum dimanfaatkan dalam kalangan warga emas yang bersedia dan mampu untuk terus bekerja.

Namun, ini memerlukan perubahan pemikiran, khususnya dalam menangani diskriminasi usia dalam pengambilan pekerja, kata pakar kepada Mediacorp.

“Syarikat perlu memastikan warga emas, golongan lebih berusia berasa diperlukan,” kata pengasas dan pengarah urusan perusahaan sosial Ageing Asia, Janice Chia.

“Salah satu perbincangan terbesar hari ini oleh warga emas yang datang kepada kami ialah mereka tidak merasakan bahawa mereka boleh mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan keupayaan mereka,” tambah beliau.

“Mereka mendapati kadar penolakan lebih tinggi daripada kadar penerimaan, dan penolakan itu disebabkan oleh diskriminasi usia - bukan disebabkan oleh keupayaan mereka.”

Pakar berkata meningkatkan penyertaan tenaga kerja dalam kalangan mereka yang berusia 60 tahun ke atas juga bergantung kepada usaha mereka bentuk semula pekerjaan dan tempat kerja.

“Kami memerlukan bantuan untuk memahami cara menarik golongan dewasa lebih berusia untuk terus kekal dalam tenaga kerja, kerana kami memerlukan mereka,” kata profesor sosiologi di Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Paulin Straughan.

“Ini termasuk pilihan kerja fleksibel. Kita perlu memikirkan semula cara bekerja dan tidak menganggap bahawa semua orang dalam tenaga kerja perlu bekerja dengan cara yang sama.”

Beliau menambah, teknologi juga boleh memainkan peranan dalam menjadikan tempat kerja lebih mesra usia.

“Hanya kerana seseorang itu lebih berusia, lebih perlahan dan mungkin tidak begitu fleksibel dari segi pergerakan, tidak bermakna mereka tidak boleh menyumbang dalam cara lain,” kata beliau.

SEGMEN PENGGUNA YANG BERKEMBANG

Selain mengisi jurang tenaga kerja, golongan lebih berusia juga mewakili segmen pengguna yang besar dan semakin berkembang yang berpotensi mengubah ekonomi pada tahun-tahun akan datang.

Kumpulan warga emas yang semakin meningkat dijangka mendorong permintaan melangkaui jagaan kesihatan, merangkumi sektor runcit, perkhidmatan dan gaya hidup.

Menurut laporan Ekonomi Warga Senja Asia Pasifik yang terkini, segmen tersebut boleh menyumbang lebih AS$122 bilion (S$154.94 bilion) kepada Singapura menjelang 2030.

Namun, Cik Chia berkata banyak syarikat masih belum bersedia untuk merebut peluang itu kerana belum membangunkan produk dan perkhidmatan yang disesuaikan dengan pengguna yang berusia.

“Syarikat perlu menjadi lebih diperibadikan. Mereka perlu membangunkan perkhidmatan yang lebih khusus,” kata beliau.

“Ia memerlukan masa untuk mengkaji pasaran bagi memahami apa yang benar-benar diinginkan oleh golongan lanjut usia.”

Tambahnya, perniagaan perlu melihat ekonomi warga senja lebih daripada sekadar melibatkan sektor jagaan, dan sebaliknya membangunkan produk serta perkhidmatan yang menyokong penuaan secara bermakna.

TERJEMAHKAN PENYELIDIKAN KEPADA TINDAKAN

Sedang Singapura berusaha memanfaatkan peluang tersebut dengan lebih baik, usaha sedang dijalankan untuk menterjemahkan penyelidikan kepada amalan.

Sebuah institut baharu yang dilancarkan oleh SMU pada Selasa (14 Apr) bertujuan membentuk semula pekerjaan, persaraan dan sistem sokongan sebagai maklum balas terhadap jangka hayat yang semakin panjang.

Disokong dana S$10 juta, Institut Masyarakat dan Ekonomi Lanjut Usia (LSEI) akan bekerjasama dengan agensi pemerintah, perniagaan dan kumpulan masyarakat untuk membentuk dasar dan huraian - daripada model kerja fleksibel hingga pendekatan pembiayaan baharu.

Pengarah bersama sementara institut berkenaan, Dr Cheong Wei Yang, berkata matlamatnya adalah untuk merapatkan jurang antara penyelidikan dan pelaksanaan dalam dunia sebenar.

“Mereka mempunyai perkara yang ingin dilaksanakan, dan itu sebenarnya menjadi data untuk kami jalankan penyelidikan,” kata beliau.

“Dengan data itu dan penyelidikan yang kami lakukan, kami akan membantu mereka mungkin mengubah cara pelaksanaan dan cara mereka memikirkan dasar-dasar.”

Berucap pada majlis pelancaran, Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah berkata model tradisional tiga peringkat melibatkan pendidikan, pekerjaan dan persaraan mungkin tidak lagi relevan, memandangkan ramai kini melalui pelbagai fasa pembelajaran, penjagaan dan pekerjaan.

Sebagai contoh, seseorang mungkin meninggalkan pekerjaan untuk menjaga anak kecil atau ibu bapa yang semakin tua, dan kembali bekerja kemudian hari, tambah beliau.

MEMBINA MASYARAKAT LANJUT USIA

“Pada hakikatnya, kita perlu bersedia untuk sebuah masyarakat ‘lanjut usia’, bukan sekadar penduduk yang menua,” kata Cik Indranee.

Beliau menambah, apabila institut itu berkembang, “akan ada ruang untuk meneroka model perniagaan dan pembiayaan baharu, memperkukuh rangka kerja kawal selia, dan menangani pertimbangan tadbir urus seperti privasi, keselamatan siber dan penerimaan masyarakat”.

Sebagai permulaan, institut itu sudah menjalin kerjasama dengan lima pihak berkepentingan dalam sektor pemerintah, masyarakat dan swasta.

Mereka termasuk Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG), Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), Singlife, Lions Befrienders dan St Luke's ElderCare.

Tumpuan utamanya adalah untuk memikirkan semula cara orang bekerja apabila mereka hidup lebih lama, termasuk mewujudkan peranan-peranan yang lebih fleksibel dan bermakna melangkaui pekerjaan sepenuh masa tradisional.

“Cara kita menggunakan sumber manusia perlu lebih kreatif daripada itu,” kata Prof Straughan, yang juga merupakan pengarah bersama sementara institut tersebut.

“Ia perlu menjadi satu proses di mana kita boleh bekerja selama yang kita mahukan atau selama yang kita perlukan.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita