Generasi tua S'pura belum bersedia terima PM dari masyarakat bukan Cina, kata Heng Swee Keat
Sebilangan penduduk Singapura berbesar hati menerima seorang individu daripada masyarakat minoriti untuk menjadi perdana menteri tetapi mungkin tidak begitu bagi generasi lebih tua.
Menteri Heng Swee Keat di akhir satu forum di NTU pada Mac 2019 (Gambar: NTU)
SINGAPURA: Sebilangan penduduk Singapura berbesar hati menerima seorang individu daripada masyarakat minoriti untuk menjadi perdana menteri tetapi mungkin tidak begitu bagi generasi lebih tua.
Menteri Kewangan Heng Swee Keat, yang dijangka akan menjadi pengganti Perdana Menteri Lee Hsien Loong, berkata demikian di forum yang diadakan di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada Khamis (28 Mac). Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan yang diajukan oleh seorang peserta forum, yang menarik perhatian bahawa Timbalan Perdana Menteri Tharman Shanmugaratnam adalah pilihan yang popular untuk menyandang jawatan tersebut.
Semasa mengajukan soalan itu, Penolong Profesor Walid Jumblatt Abdullah dari program dasar awam dan ehwal global Sekolah Sains Kemasyarakatan NTU turut menarik perhatian bahawa populariti Encik Tharman begitu ketara dalam keputusan pilihan raya bagi kawasan undinya.
Satu tinjauan yang dijalankan oleh firma penyelidikan pasaran Blackbox pada 2016 mendapati bahawa Encik Tharman adalah pilihan utama dalam kalangan rakyat Singapura untuk menggantikan PM Lee, dengan 69 peratus daripada hampir 900 responden menunjukkan bahawa mereka akan menyokongnya untuk menjadi calon perdana menteri.
"Adakah Singapura yang belum bersedia untuk perdana menteri bukan Cina, atau adakah parti yang memerintah PAP (Parti Tindakan Rakyat) yang belum bersedia untuk perdana menteri bukan Cina?" tanya Penolong Profesor Walid.
Meskipun Encik Heng akur bahawa ramai dalam kalangan 700 mahasiswa yang hadir di forum anjuran Kesatuan Mahasiswa NTU itu bersedia menerima seorang perdana menteri yang bukan orang Cina, Encik Heng berkata ia tidak mencerminkan pandangan yang sama bagi seluruh rakyat Singapura.
"Pengalaman saya semasa bertemu rakyat, semasa bekerja dengan pelbagai individu dari semua lapisan masyarakat, adalah pandangan ini - jika dikategorikan mengikut usia dan pengalaman hidup - adalah sangat berbeza," kata menteri kewangan itu.
Beliau turut menarik perhatian bahawa ia merupakan satu petanda yang baik apabila golongan muda hari ini kelihatan "agak selesa" untuk mempunyai perdana menteri yang bukan orang Cina kerana ia menunjukkan bahawa penekanan Pemerintah terhadap perpaduan sebagai sebuah masyarakat yang bersatu padu "tanpa mengira kaum, bahasa atau agama" sudah mula membuahkan hasil.
Penolong Profesor Walid juga bertanya sama ada Pemerintah mengeluarkan mesej yang bercanggah dengan memperuntukkan Pilihan Raya Presiden 2017 bagi calon-calon daripada masyarakat Melayu sambil menyatakan bahawa Singapura belum bersedia untuk mempunyai seorang perdana menteri daripada masyarakat kaum minoriti.
Encik Heng menegaskan bahawa ia "tidak bertentangan". "Ini benar-benar kerana kami mahu menekankan bahawa secara perlembagaan, kami menyedari bahawa masyarakat belum sampai ke tahap itu. Adalah penting untuk kita memastikan agar kita mempunyai langkah perlindungan yang sewajarnya."
Merujuk kepada apa yang beliau saksikan ketika mengambil bahagian dalam pilihan raya sebagai seorang "pemerhati" dan bukan seorang calon, beliau menambah: "Saya boleh memberitahu anda bahawa ia tidak mudah kerana ia mencetuskan pelbagai reaksi berhubung kaum, yang tidak ketara. Namun apabila tiba masa pilihan raya, ia menjadi isu."
Di forum semalam, Encik Heng juga diajukan soalan-soalan yang menyentuh pelbagai topik, termasuk masa depan pekerjaan dan dasar luar Singapura.
Seorang mahasiswa perakaunan turut bertanya sama ada Singapura akan mengikuti hala tuju yang digariskan dalam Kertas Putih Kependudukan 2013, yang meramalkan jumlah penduduk sehingga 6.9 juta di sini menjelang 2030.
Encik Heng berkata rakyat Singapura faham secara rasional bahawa negara ini memerlukan lebih ramai orang kerana tenaga kerjanya semakin berkurangan, namun "secara emosi, kita tidak rasa selesa".
Beliau juga berkata bahawa sifat keterbukaan dan berbilang kaum adalah aspek penting mengapa Singapura memutuskan untuk memperingati dwiabad Singapura sejak ketibaan Sir Stamford Raffles.
"Semakin kita lebih bersifat terbuka, pandangan kita juga lebih bersifat antarabangsa, lebih baik bagi Singapura (dan) dunia. Kerana anda tidak mahu dunia di mana orang membina tembok di sekeliling mereka," tambah Encik Heng.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.