Generasi Perintis & Merdeka bakal terima tokokan MediSave Julai ini

SINGAPURA: Warga tua Generasi Perintis dan Merdeka akan menerima tokokan MediSave berjumlah S$270 juta pada Julai.
Demikian menurut Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kesihatan (MOH) hari ini (13 Jun).
Warga emas Generasi Perintis yang layak akan menerima tokokan sehingga S$900, manakala warga emas Generasi Merdeka yang layak akan menerima tokokan S$200.
Kira-kira 450,000 warga emas daripada Generasi Perintis dan 500,000 warga emas generasi Merdeka sudah mendapat manfaat daripada tokokan Medisave sejak pakej-pakej tersebut diperkenalkan pada 2014 dan 2019.
Tokokan itu adalah tambahan kepada Baucar GST - tokokan MediSave yang dilakukan setiap tahun bagi rakyat Singapura yang layak berusia 65 tahun dan ke atas.
MediSave boleh digunakan untuk membayar premium MediShield Hayat dan pelan insurans lain yang diluluskan MediSave, serta perbelanjaan perubatan seperti kemasukan ke hospital, pembedahan harian dan rawatan pesakit luar.
JUMLAH TOKOKAN
Generasi Perintis akan menerima tokokan tahunan MediSave lebih tinggi antara S$250 dengan S$900.
"Generasi Perintis (berumur 83 tahun ke atas pada 2022) yang mempunyai kondisi sedia ada yang serius, akan menerima tokokan tambahan antara S$50 dengan S$200 setiap tahun dari 2021 hingga 2025 untuk membantu mereka membayar premium MediShield Hayat yang lebih tinggi," menurut kementerian itu.
Tokokan tambahan diumumkan oleh Kementerian Kesihatan (MOH) pada Disember 2020 sebagai sebahagian daripada komitmen untuk memastikan premium kekal dimampui oleh golongan Perintis yang secara amnya mempunyai simpanan MediSave yang lebih sedikit berbanding warga Singapura yang lebih muda," jelas kedua-dua kementerian itu.
Tokokan bagi warga tua Generasi Perintis akan bernilai sekitar S$170 juta tahun ini.
Jumlah tokokan adalah seperti berikut:

Warga tua Generasi Merdeka yang layak akan terus menerima tokokan MediSave S$200 setiap tahun sehingga 2023, berjumlah S$90 juta tahun ini.
Generasi Perintis merujuk kepada rakyat Singapura yang lahir pada atau sebelum 31 Disember 1949 dan memperolehi kerakyatan sebelum 31 Disember 1986.
Generasi Merdeka merujuk kepada rakyat Singapura yang lahir antara 1 Januari 1950 dengan 31 Disember 1959 dan memperolehi kerakyatan sebelum 31 Disember 1996.
BAGAIMANA ANDA AKAN DIMAKLUMKAN?
Warga emas yang sudah memuat turun dan melengkapkan persediaan sekali sahaja dalam aplikasi mudah alih Singpass akan dimaklumkan menerusi 'inbox' mereka selewat-lewatnya pada 21 Jun. Ia akan memaklumkan jumlah yang layak mereka terima.
Bagi mereka yang belum melakukan sedemikian, namun sudah mendaftar nombor telefon bimbit dengan Singpass sebelum 12 Jun, akan menerima SMS selewat-lewatnya pada 21 Jun untuk memaklumkan jumlah yang layak mereka terima.
Untuk warga emas lain yang belum sempat melakukan kedua-duanya, mereka akan menerima surat pada hujung bulan ini.
MOF dan MOH juga mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap penipuan melibatkan SMS.
SMS yang dikirimkan akan memaklumkan warga emas mengenai tokokan yang mereka akan terima dan tidak meminta individu untuk membalas atau memberikan sebarang maklumat kepada pengirim.
Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut di go.gov.sg/pgpackage dan go.gov.sg/mgpackage.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.