Skip to main content

Singapura

Generasi Perintis bakal terima tokokan MediSave hingga S$1,200 pada pertengahan Jul

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 09 Jun 2026 12:18PM Dikemas Kini : 20 Jun 2026 03:57AM
SINGAPURA: Warga emas daripada golongan Generasi Perintis akan menerima tokokan MediSave antara S$300 hingga S$1,200 pada pertengahan Julai, dengan jumlah keseluruhan melebihi S$145 juta, menurut Kementerian Kewangan (MOF) pada Selasa (9 Jun).

Menurut MOF, lebih 450,000 warga emas Generasi Perintis sudah meraih manfaat daripada tokokan tersebut sejak Pakej Generasi Perintis diperkenalkan pada 2014.

MediSave boleh digunakan untuk membayar premium MediShield Hayat, CareShield Hayat, ElderShield serta pelan insurans lain yang diluluskan di bawah MediSave.

Ia juga boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan perubatan seperti kemasukan ke hospital, pembedahan siang hari dan rawatan pesakit luar tertentu.

Tokokan MediSave tahunan itu diberikan sebagai tambahan kepada Baucar GST, iaitu tokokan MediSave yang diterima setiap tahun oleh rakyat Singapura yang layak dan berusia 65 tahun ke atas.

Rakyat Singapura yang lahir pada atau sebelum 1934 akan menerima S$1,200, manakala mereka yang lahir antara 1935 hingga 1939 akan menerima S$700.

Mereka yang lahir antara 1940 hingga 1944 akan menerima S$500, manakala mereka yang lahir antara 1945 hingga 1949 akan menerima S$300.

“Warga emas yang dilahirkan lebih awal menerima jumlah tokokan MediSave yang lebih tinggi kerana mereka lazimnya mempunyai simpanan yang lebih rendah berbanding anggota Generasi Perintis yang lebih muda dan mungkin memerlukan lebih banyak bantuan untuk membayar premium tahunan MediShield Hayat,” kata kementerian itu.

Tokokan tersebut akan dimasukkan secara automatik ke dalam akaun MediSave warga emas yang layak.

Warga emas Generasi Perintis yang sudah mendaftarkan nombor telefon bimbit mereka dengan Singpass sebelum 1 Jun akan menerima pemberitahuan melalui SMS menjelang 15 Jun mengenai jumlah tokokan yang layak diterima.

Mereka yang belum berbuat demikian akan menerima surat pemberitahuan menjelang akhir Jun.

“Tokokan MediSave tahunan ini akan terus memastikan premium MediShield Hayat kekal berpatutan bagi semua anggota Generasi Perintis,” kata MOF.

“Warga emas yang lebih tua dan lahir pada atau sebelum 1934 akan terus menikmati premium MediShield Hayat yang dilindungi sepenuhnya. Bagi warga emas yang lebih muda dan lahir antara 1935 hingga 1949, kira-kira dua pertiga daripada premium MediShield Hayat mereka akan ditanggung,” tambah kementerian itu.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita