Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Generasi Merdeka bakal terima Cenderahati Alu-Aluan, Kad Generasi Merdeka hujung Julai

Rakyat Singapura yang layak menerima Pakej Generasi Merdeka boleh menjangkakan Cenderahati Alu-Aluan dalam peti surat mereka menjelang akhir Julai, kata Menteri Negara Kanan Kesihatan merangkap Sekitaran dan Sumber Air Dr Amy Khor pada Jumaat (24 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 May 2019 06:50PM Dikemas Kini : 25 May 2019 02:05AM

SINGAPURA: Rakyat Singapura yang layak menerima Pakej Generasi Merdeka boleh menjangkakan Cenderahati Alu-Aluan dalam peti surat mereka menjelang akhir Julai, kata Menteri Negara Kanan Kesihatan merangkap Sekitaran dan Sumber Air Dr Amy Khor pada Jumaat (24 Mei).

Kerja-kerja menghasilkan pakej itu bermula sejak April dan dijangka selesai menjelang Julai, kata Dr Khor yang mempengerusikan Pasukan Bertindak Perhubungan dan Penglibatan Masyarakat Generasi Merdeka.

Dr Khor berkata demikian semasa bercakap dengan para wartawan selepas melakukan lawatan ke Medialink Printing Services, iaitu syarikat yang mencetak bahan-bahan yang boleh didapatkan di dalam pakej cenderahati itu.

Pakej cenderahati itu akan mengandungi maklumat mengenai pakej tersebut serta ucapan terima kasih daripada Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan panduan mengenai cara-cara mendapatkan tokokan sekali sahaja bernilai S$100 bagi Kad PAssion Warga Emas dan Kad Generasi Merdeka.

Kad-kad Generasi Merdeka membolehkan warga tua untuk menikmati subsidi lebih besar bagi rawatan pesakit luar di klinik-klinik doktor biasa dan doktor pergigian, yang tersenarai dalam Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) mulai 1 November.

Sekitar 500,000 warga tua sudahpun menerima surat yang memaklumkan mereka tentang kelayakan bagi Pakej Generasi Merdeka pada April.

Pakej cenderahati berkenaan akan mula dihantar sebelum hujung bulan Jun, kata Dr Khor. Bagaimanapun, sekitar 80,000 anggota Generasi Merdeka akan menerima pakej mereka lebih awal, iaitu pada 2 Jun semasa pelbagai acara kemasyarakatan yang akan diadakan di merata Singapura.

Dr Khor menerangkan bahawa dalam usaha untuk membolehkan rakyat menerima Cenderahati Alu-Aluan Generasi Merdeka dengan secepat mungkin, proses menghantarnya akan dimulakan setiap kali kumpulan cenderahati itu selesai dihasilkan.

Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Sim Ann, yang turut mempengerusikan pasukan bertindak itu, berkata salah satu perkara yang diterapkan dalam Pakej Generasi Merdeka yang dipelajari daripada pengalaman Pakej Generasi Perintis adalah memastikan agar pakej Cenderahati Alu-Aluan itu muat dimasukkan ke dalam peti surat.

Selain meraih manfaat daripada CHAS, warga tua juga akan diberikan tokokan Medisave sebanyak S$200 setiap tahun, yang akan dimasukkan ke dalam akaun mereka secara atuomatik dari Julai 2019 hingga 2023.

Subsidi bagi premium MediShield Hayat juga boleh dimanfaatkan bagi polisi-polisi yang diperbaharui dari 1 Julai.

Mereka yang menyertai CareShield Hayat akan menerima insentif tambahan bernilai S$1,500 apabila permohonan bagi skim itu dibuka dari 2021 hingga 2023.

Mereka yang menyertai skim berkenaan sepanjang tempoh tersebut boleh menerima insentif penyertaan bernilai S$4,000. Dana itu bagi tempoh selama 10 tahun dan boleh digunakan untuk membiayai bayaran premium CareShield Hayat setiap tahun.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan