Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Genap 1 tahun PH berkuasa: Masih banyak lagi janji yang belum ditunaikan

9 Mei 2018 merupakan satu detik sejarah yang dianggap tsunami politik bagi Malaysia apabila Barisan Nasional hilang kuasa selepas enam dekad memerintah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: 9 Mei 2018 merupakan satu detik sejarah yang dianggap tsunami politik bagi Malaysia apabila Barisan Nasional hilang kuasa selepas enam dekad memerintah.

Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir Mohamad pula berjanji akan membawa banyak pembaharuan.

Antara yang dijanjikan kerajaan baru itu termasuklah mengurangkan kos sara hidup, meningkatkan prestasi ekonomi dan membasmi rasuah.

Kini selepas setahun, perang terhadap rasuah dan usaha mengurangkan beban hutang negara-negara sudah menampakkan hasil, kata pakar politik dan Zamil ISEAS - Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat.

"Menurut perspektif kerajaan sekarang ini, masalah yang berlaku di Malaysia sangat rumit sehinggakan mereka memerlukan sedikit masa untuk merubah situasi, terutama sekali dari perspektif ekonomi negara seperti melangsai beban hutang negara," kata Dr Norshahril Saat.

Namun hakikatnya, terdapat banyak lagi perubahan yang belum dilaksanakan kerajaan tersebut.

"Kerajaan PH cuba mengatakan bahawa ada janji-janji yang boleh mereka kotakan tapi ada janji-janji yang memerlukan masa. Malah, mungkin ada janji-janji yang tidak dapat ditunaikan dan ini menimbulkan rasa kurang senang dikalangan rakyat", kupas Dr Norshahril.

Antara rasa kurang senang itu berkait dengan isu-isu yang dekat dengan hati rakyat termasuklah isu kos sara hidup seperti pembasmian cukai GST, penurunan kos sara hidup dan pembasmian tol lebuh-lebuh raya.

PELBAGAI TANDA TANYA TENTANG DINAMIKA KERAJAAN PH

Mengulas mengenai kritikan-kritikan yang dilemparkan kepada kerajaan sekarang, Dr Norshahril percaya, rasa kurang senang itu tidak ditujukan kepada Dr Mahathir tetapi dihalakan kepada kerajaan Pakatan Harapan secara keseluruhannya.

Ia juga ditujukan kepada parti DAP, tambah beliau, kerana masyarakat Melayu resah melihat DAP yang dianggap sebagai "pemegang kuasa" dalam kerajaan Malaysia.

Kini, sedang Pakatan Harapan memasuki fasa tahun kedua, timbul pula tanda tanya bilakah tampuk kepimpinan akan diserahkan kepada Anwar Ibrahim.

Kata Dr Norshahril: "Buat masa ini kerana kita lihat banyak sekali masalah-masalah dalam negara. Kita melihat Datuk Sri Anwar memainkan peranan sebagai seorang "back bencher" ataupun ahli parlimen biasa.

"Setiap kali apabila beliau ditanya tentang peralihan kuasa dan sebagainya beliau amat jelas menyatakan sokongan penuh terhadap pimpinan Dr Mahathir," tambah beliau.

Namun komen tersebut katanya hanya apa yang dilihat dari sudut awam.

"Tapi yang menjadi tanda tanya adalah sama ada Anwar akhirya akan mengambil tugas Perdana Menteri daripada Dr Mahathir," ulas Dr Norshahril.

Satu lagi persoalan yang belum terjawab termasuklah bila Anwar akan dibawa masuk kabinet untuk mungkin menggantikan Timbalan PM, Wan Azizah.

Dalam perkataan lain, kata Dr Norshahril, ini semua adalah persoalan rumit yang perinciannya masih belum lagi dilihat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/RR/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan