Gempa Venezuela: Palang Merah SG ikrar bantuan S$100,000, lancar usaha kumpul dana
Palang Merah Singapura (SRC) memperuntukkan bantuan kemanusiaan berjumlah S$100,000 dan melancarkan usaha pengumpulan dana dengan sasaran sebanyak S$500,000 bagi membantu Venezuela yang dilanda gempa bumi, menurut pertubuhan tersebut pada Isnin (29 Jun).
Usaha bantuan kemanusiaan sedang dijalankan menyusuli dua gempa bumi yang melanda Venezuela pada 24 Jun 2026. (Gambar: Palang Merah Singapura, SRC)
Dua gempa bumi - bermagnitud 7.2 pada skala Richter, yang disusuli dengan gegaran bermagnitud 7.5 tidak lama kemudian - melanda Venezuela pada 24 Jun.
Bencana itu meragut hampir 1,500 nyawa, mencederakan lebih 3,000 orang dan menjejas sekitar 70,000 keluarga. Angka tersebut dijangka meningkat sedang operasi mencari dan menyelamat diteruskan.
Bantuan berjumlah S$100,000 itu akan menyokong usaha respons segera oleh Palang Merah Venezuela dan Gerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah, menurut SRC.
Dana itu akan disalurkan bagi bantuan kemanusiaan, termasuk operasi mencari dan menyelamat, rawatan perubatan kecemasan serta penilaian segera terhadap keperluan kemanusiaan di kawasan-kawasan yang paling teruk terjejas.
SRC turut melancarkan usaha pengumpulan dana yang dibuka sehingga 30 September, dengan sasaran kutipan sebanyak S$500,000.
Dana yang dikumpulkan menerusi usaha itu akan menyokong operasi Gerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah di lapangan.
Ia termasuk penyediaan tempat perlindungan kecemasan bagi keluarga yang kehilangan tempat tinggal, kit kebersihan, set memasak, barangan keperluan isi rumah dan bekalan perubatan bagi masyarakat yang terjejas.
Selain itu, SRC turut mengaktifkan khidmat Restoring Family Links bagi membantu penduduk Singapura yang terputus hubungan dengan anggota keluarga mereka akibat gempa bumi tersebut.
Dua gempa bumi itu "menyebabkan kemusnahan besar-besaran terhadap rumah dan kemudahan awam, selain mengorbankan banyak nyawa", kata Setiausaha Agung merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC, Benjamin William.
"Kami mengucapkan takziah kepada mereka yang kehilangan insan tersayang, serta masyarakat yang kehilangan tempat tinggal dan sumber mata pencarian. Kesan sebenar bencana ini dan angka korban hanya akan menjadi lebih jelas dalam beberapa minggu akan datang."
Beliau menambah bahawa SRC sedang berhubung dengan rakan-rakan kongsi Palang Merah di lapangan dan bersedia untuk menghulurkan bantuan.
"Sementara itu, kami menyeru seluruh rakyat Singapura agar berdiri teguh bersama masyarakat yang terjejas di Venezuela, dan menghulurkan sokongan kepada mereka, termasuk dengan menyumbang kepada kutipan dana SRC bagi menyokong usaha bantuan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.