Gempa Segamat: Kerajaan Malaysia terus pantau situasi; masyarakat dinasihat jangan panik
Lokasi gempa bumi pada pagi Ahad, 30 Ogos 2025. (Gambar: METMalaysia)
JELEBU: Kerajaan melalui agensi berkaitan akan terus memantau situasi semasa berikutan kejadian beberapa gempa bumi lemah di Segamat, Johor, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata menyusuli gempa itu, masyarakat khususnya yang berada di kawasan berkenaan diminta supaya tidak panik, sebaliknya kekal berada dalam keadaan siap siaga.
“Saya telah melaporkan kepada Jemaah Menteri semalam dan saya juga telah diberitahu oleh Ketua Pengarah Meteorologi Malaysia dan Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (situasi semasa gempa bumi), pemantauan akan terus dilakukan.
“Insya-Allah, kesiapsiagaan untuk seluruh penduduk Segamat dan Johor pada amnya akan terus dipantau oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri dan negara … saya harap masyarakat tidak panik, mudah-mudahan tiada bencana besar berlaku,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Kembara Merdeka Akar Umbi Negeri Sembilan yang disertai kira-kira 270 peserta bermotosikal pada Sabtu (30 Ogos).
Dalam pada itu, Dr Ahmad Zahid turut meminta orang ramai supaya melakukan solat hajat meminta kesejahteraan dan sentiasa berdoa agar dijauhkan daripada sebarang bencana tidak diingini.
Gempa bumi lemah sekali lagi direkodkan di Segamat pagi Sabtu yang berukuran 2.7 pada skala Richter pada 7.29 pagi, iaitu gegaran kelima dalam tempoh lapan hari di daerah itu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan pusat gegaran berada di koordinat 2.5 darjah Utara dan 102.8 darjah Timur dengan kedalaman 10 kilometer.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut mengarahkan semua masjid dan surau di Johor untuk melaksanakan solat hajat serta doa selamat selepas beberapa gegaran berlaku di Segamat sejak kejadian pertama dicatat pada 24 Ogos lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.