Gemilang Kampong Gelam 2025 buka tirai 19 Feb; pelbagai ciri baharu untuk pikat pengunjung
Gemilang Kampong Gelam kembali tahun ini dengan lebih 120 gerai yang akan beroperasi selama 35 hari, sehari lebih panjang berbanding tahun lalu.
SINGAPURA: Gemilang Kampong Gelam kembali tahun ini dengan lebih 120 gerai yang akan beroperasi selama 35 hari, sehari lebih panjang berbanding tahun lalu.
Edisi kelima yang berlangsung dari 19 Februari hingga 25 Mac itu menawarkan pelbagai elemen baharu yang pasti akan menarik perhatian pengunjung.
Dalam sidang media pada Khamis (6 Feb), One Kampong Gelam (OKG) berkongsi bahawa acara tahun ini bertujuan meraikan warisan, masyarakat, dan kemampanan.
Daripada 120 gerai, 80 gerai akan menjual pelbagai jenis makanan dan kuih muih, termasuk tradisional dan moden, manakala 40 gerai lagi akan menyediakan keperluan Hari Raya.
Gerai-gerai tersebut akan beroperasi dari pukul 2.00 petang hingga 11.00 malam pada Isnin hingga Khamis, dan dari 2.00 petang hingga 11.30 malam pada hujung minggu.
PERSEMBAHAN KEBUDAYAAN, PENAMPILAN ARTIS
Selain daripada bazar makanan dan keperluan Hari Raya, pelbagai program hiburan dan kebudayaan akan dipersembahkan, menampilkan artis-artis tempatan dan serantau seperti Ajai, Hannah Delisha, Mimifly, Kaka Azraff, Nabila Huda, dan Beto Kusyairi.
Para pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan perarakan khas yang dikenali sebagai 'Joget Parade', yang akan bermula dari 45 Sultan Gate hingga ke Bussorah Mall setiap hari Sabtu, dari pukul 8.00 malam hingga 9.00 malam.
KEGIATAN KESUKAAN RAMAI KEMBALI DIADAKAN
Beberapa acara yang diminati ramai diadakan sekali lagi pada tahun ini.
Antaranya, pertunjukan pancaran lampu pada permukaan Masjid Sultan yang akan diadakan setiap Jumaat hingga Ahad, dari pukul 7.40 malam hingga 9.00 malam.
Pertunjukan selama enam minit itu menampilan motif-motif yang melambangkan Ramadan dan lebaran seperti seperti pokok kurma, buah zaitun, serta ketupat, dan diiringi muzik oleh komposer mapan, Sha'aban Yahya.
Selain itu, acara berbuka puasa secara beramai-ramai dengan lebih 1,000 pengunjung akan diadakan pada Sabtu, 22 Mac.
LARIAN AMAL 'KAMPONG CHARITY RUN' TINGKATKAN KESEDARAN TERHADAP GAYA HIDUP SIHAT, ANTIDADAH
Buat pertama kalinya, larian amal yang menyokong gaya hidup sihat dan kesedaran anti-dadah akan berlangsung lebih awal pada 15 Februari.
Acara larian anjuran bersama Drugfree SG dan Big Boyz Run Club itu dijangka menarik lebih 200 peserta.
Ia juga mahu mengumpul lebih S$2,000 bagi membantu penerima bantuan di Kelab Masyarakat Kampong Gelam.
"Kami amat bersyukur dapat bekerjasama rapat dengan Dadah Itu Haram dan Drugfree SG.
"Pada masa yang sama, acara larian amal ini menyampaikan mesej yang jelas dari pihak CNB dan kami untuk mempromosikan gaya hidup sihat.
"Dari 4 atau 5 aktiviti yang ada, ia diharap dapat menyatukan dan mencapai semua peringkat umur, sama ada masyarakat tua atau muda," kata Penganjur Bazar Gemilang Kampong Gelam 2025, Kamal Rouzie.
SAMBUTAN SEMPENA SG60
Bersempena dengan sambutan SG60, Gemilang Kampong Gelam akan menganjurkan pelbagai bengkel dan aktiviti yang menonjolkan keindahan sejarah kawasan tersebut.
Antara aktiviti menarik termasuk lawatan ke Kampong Gelam dan permainan mencari harta karun.
"Salah satu cara untuk meluaskan pengalaman untuk pengunjung adalah untuk melebihkan aktiviti seperti 'Stamp Rally' bersempena SG60 dan 'Kampong Hunt' di mana pengunjung boleh menangi hadiah wang tunai sebanyak S$8,000," kata pengurus kempen Gemilang Kampong Gelam 2025, Burhan Jumadi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.