Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gembira tapi tidak tergesa-gesa mahu makan di luar meski dibenarkan sehingga 5 semeja jika divaksin

Mulai 10 Ogos, orang ramai dibenarkan untuk makan di luar. Kelonggaran diberikan kepada mereka yang sudah divaksin sepenuhnya untuk duduk sehingga lima orang semeja. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mulai 10 Ogos, orang ramai dibenarkan untuk makan di luar. Kelonggaran diberikan kepada mereka yang sudah divaksin sepenuhnya untuk duduk sehingga lima orang semeja.

Kali terakhir orang ramai dibenarkan makan di luar adalah pada tanggal 21 Julai sebelum Singapura kembali ke Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) pada keesokan harinya (22 Jul).

Menyusuli pengumuman bagi pelonggaran itu, ramai yang ditemui BERITAmediacorp, mengalu-alukan langkah itu, namun ada juga yang mahu mengambil pendekatan "tunggu dan lihat".

Cik Nahmar Ahmad merupakan antara golongan yang mengalu-alukan langkah tersebut dan tidak sabar untuk keluar makan bersama keluarganya.

"Pada pendapat saya bagus kerana sudah lama beberapa hari kita tidak boleh makan di luar. Selalunya saya beli makanan dan membawanya ke rumah, jadi saya rasa penat," ujar Cik Nahmar.

"Apabila pemerintah mengumumkan bahawa kita sudah boleh makan di luar, saya sangat gembira sehingga tak terkira," tambah beliau.

Bagi Encik Rafiq Nordin pula, langkah pemerintah ini dianggapnya baik kerana ini bermakna beliau dapat meluangkan masa bersama keluarga di luar.

"Kelonggaran oleh pemerintah ini pada saya adalah satu langkah yang baik kerana ia memberi peluang untuk keluarga makan bersama-sama," kata Encik Rafiq.

LANGKAH BERJAGA-JAGA HARUS DIAMBIL TERUTAMA BAGI GOLONGAN BERISIKO TINGGI

Meski ramai yang mengalu-alukannya, ramai juga di antara mereka yang akur mereka perlu mengambil langkah berjaga-jaga, lebih-lebih lagi bagi golongan yang berisiko tinggi.

Oleh itu, mereka tidak akan tergesa-gesa untuk makan di luar.

"Saya akan menunggu masa yang sesuai dan melihat keadaan dahulu sebelum keluar makan. Walaupun saya sudah menjalani vaksinasi sepenuhnya, saya tetap harus berjaga-jaga," menurut Encik Rafiq.

Ini juga turut dirasakan oleh Cik Melayani Muhammad Yousri.

"Saya berasa waswas kerana saya tahu kita harus menjalani vaksinasi sebelum ke kedai makan. Oleh itu, saya yakin bahawa saya harus memberikan jangka masa satu minggu atau dua minggu sebelum saya ke kedai kopi untuk makan dengan selamat," kongsi Cik Melyani.

Bagi Encik Husen Arshad yang berusia 68 tahun pula, beliau berasa bahawa kelonggaran ini berlaku terlalu cepat.

"Pada pendapat saya, belum masanya untuk kelonggaran ini kerana kes-kes COVID-19 masih meningkat," ujar Encik Husen.

Beliau juga melahirkan kekhuatirannya terhadap varian baru COVID-19 yang ada dalam masyarakat.

"Bagi saya, saya akan tunggu dahulu sebelum keluar makan sebab dengan peringkat umur saya yang mencecah 68 tahun, saya tak akan tergesa-gesa," kongsi Encik Husen.

Pelonggaran langkah-langkah mengawal penularan COVID-19 tersebut merupakan antara yang akan dilakukan dalam dua tahap iaitu pada 10 Ogos dan 19 Ogos.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), ini akan hanya dilakukan jika keadaan koronavirus kekal stabil.

Selain kelonggaran makan di luar, mereka yang sudah divaksinasi juga akan diberi kelonggaran bagi kegiatan-kegiatan berisiko lebih tinggi yang lain seperti senaman berat tanpa memakai pelitup, khidmat jagaan peribadi serta acara berskala lebih besar seperti majlis pernikahan dan acara keagamaan beramai-ramai.

Sejajar dengan itu, lebih banyak ruang solat juga akan sediakan di masjid-masjid lebih selamat bagi solat Jumaat pada 13 Ogos.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan