Gelung hos di Bukit Batok disahkan berfungsi dengan baik susuli amaran SCDF
Gelung hos kebakaran di Blok 210A Bukit Batok Street 21 disahkan berfungsi dengan baik, menurut Majlis Bandaran Jurong-Clementi Town setelah pasukan bomba tidak dapat menggunakannya semasa kebakaran tercetus di sebuah flat pada 1 November.
Kebakaran di Bukit Batok pada awal Nov 2019 (Gambar: Facebook/Murali Pillai)
SINGAPURA: Gelung hos kebakaran di Blok 210A Bukit Batok Street 21 disahkan berfungsi dengan baik, menurut Majlis Bandaran Jurong-Clementi setelah pasukan bomba tidak dapat menggunakannya semasa kebakaran tercetus di sebuah flat pada 1 November.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) mengeluarkan amaran kepada majlis bandaran itu menyusuli insiden tersebut.
"Terdapat 64 gelung hos di Blok 210A Bukit Batok. Gelung-gelung itu kali terakhir disenggara dan diperiksa oleh kontraktor yang dilantik pada 14 Oktober 2019 dan disahkan boleh digunakan, " menurut pengurus besar majlis bandaran itu, Ho Thian Poh pada Rabu (13 Nov) semasa menjawab soalan yang diajukan Mediacorp pada Sabtu.
"Namun, kami menerima dapatan SCDF bahawa hos tersebut tidak berfungsi pada hari berlaku kebakaran. Kami sedang menyiasat puncanya dan akan mengambil tindakan sewajarnya apabila siasatan selesai dijalankan kelak."
Pihak majlis bandaran bagaimanapun tidak menjawab isu yang dikemukakan SCDF dalam siasatannya berhubung beberapa kabinet gelung hos yang didapati terkunci di Blok 210A apabila anggota bomba cuba menggunakannya.
"Semasa operasi memadam kebakaran, SCDF mendapati beberapa kabinet gelung hos dikunci," menurut SCDF.
"Setelah memecahkan salah satu mangga, anggota bomba masih tidak dapat menggunakan gelung hos kerana tiada bekalan air. Para pegawai SCDF kemudian menggunakan air daripada bekalan kenderaan kecemasan untuk memadamkan kebakaran."
BACA: Kebakaran di flat Bukit Batok; 2 diselamatkan daripada belebas tingkap
Tiga orang diselamatkan daripada kebakaran tersebut yang berlaku di tingkat 13 flat itu pada sekitar 4.30 pagi pada 1 November.
Punca kebakaran masih sedang disiasat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.