Skip to main content

Singapura

Gelora udara SQ321: Komponen sistem radar cuaca pesawat dihantar ke Amerika untuk diperiksa

Komponen-komponen sistem radar cuaca dalam pesawat Singapore Airlines (SIA) yang dilanda gelora udara yang dahsyat pada Mei 2024 telah dihantar ke Amerika Syarikat untuk diperiksa dan diuji, kata Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Selasa (27 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Gelora udara SQ321: Komponen sistem radar cuaca pesawat dihantar ke Amerika untuk diperiksa

Gambar: Reuters/Stringer

Diterbitkan : 27 May 2025 06:38PM Dikemas Kini : 27 May 2025 06:40PM
SINGAPURA: Komponen-komponen sistem radar cuaca dalam pesawat Singapore Airlines (SIA) yang dilanda gelora udara yang dahsyat pada Mei 2024 telah dihantar ke Amerika Syarikat untuk diperiksa dan diuji, kata Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Selasa (27 Mei).

"Pemeriksaan komponen dan laporan ujian yang memperincikan penemuan itu masih belum selesai," dedah kementerian tersebut sambil menambah Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan (TSIB) akan mendedahkan laporan muktamad kepada orang ramai selepas siasatan selesai kelak.

Pesawat SIA SQ321 sedang melakukan penerbangan dari London ke Singapura pada 21 Mei 2024, apabila ia mengalami gelora udara yang dahsyat di selatan Myanmar pada ketinggian 37,000 kaki.

Salah seorang penumpang meninggal dunia di dalam pesawat tersebut manakala 79 yang lain mengalami kecederaan. Pesawat itu dilencongkan ke Bangkok.

"Siasatan oleh TSIB sedang dijalankan dan ia dilakukan mengikut peraturan dan piawai Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO)," menurut MOT pada Selasa (27 Mei).

"TSIB dibantu oleh para penyiasat daripada Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) dan disokong oleh Boeing serta pihak-pihak berkepentingan yang lain."
Related article image
Bahagian dalam pesawat SQ321 selepas berlaku gelora udara yang teruk memaksanya melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok, Thailand, pada 21 Mei 2024. (Foto: Reuters/Handout, Stringer)
MOT menyatakan pada Mei tahun lalu bahawa siasatan awal TSIB menunjukkan bahawa perubahan "pantas" pada daya graviti dan penurunan ketinggian berkemungkinan menyebabkan kecederaan pada penumpang dan anak kapal yang tidak memakai tali pinggang keledar.

Warga Britain, Geoff Kitchen, 73 tahun, meninggal dunia akibat kejadian itu. Kematiannya berkemungkinan disebabkan oleh serangan jantung, dedah Pengurus Besar Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Kittipong Kittikachorn semasa sidang media.

Yang lain terhantuk pada bahagian siling, menyebabkan kecederaan kepala dan tulang belakang.

Pada Jun tahun lalu, SIA memohon maaf atas kejadian itu dan berkata ia akan menawarkan pampasan kepada 211 penumpang.

Mereka yang mengalami kecederaan ringan akibat insiden itu ditawarkan pampasan sebanyak AS$10,000 (S$12,866).

Penumpang yang mengalami kecederaan yang lebih serius "dipelawa ... untuk membincangkan tawaran pampasan bagi memenuhi setiap keadaan khusus mereka".
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita