Skip to main content

Singapura

Gelora udara SQ321: Kematian warga Britain akibat kegagalan jantung, menurut inkues UK

Kematian seorang warga Britain dalam penerbangan Singapore Airlines (SIA) pada 2024 berpunca daripada kegagalan jantung akibat kesan gelora udara teruk, menurut inkues di United Kingdom pada Rabu (23 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Gelora udara SQ321: Kematian warga Britain akibat kegagalan jantung, menurut inkues UK

Encik Geoff Kitchen meninggal dunia dalam penerbangan SQ321 pada 21 Mei 2024 selepas pesawat itu dilanda gelora udara teruk. (Gambar fail: Facebook/Thornbury Musical Theatre Group, Reuters)

Diterbitkan : 24 Sep 2026 07:50PM Dikemas Kini : 03 Oct 2026 06:58AM
  • Inkues United Kingdom menyatakan kematian Geoff Kitchen, 73 tahun, dalam penerbangan SIA SQ321 pada 21 Mei 2024 berpunca daripada kegagalan jantung selepas gelora udara teruk berhampiran barat daya Myanmar.
  • Kitchen, yang mempunyai sejarah penyakit arteri koronari, tercampak dari tempat duduk ketika dalam perjalanan dari London ke Singapura bersama isterinya, Linda, yang turut mengalami keretakan tulang belakang.
  • TSIB mendapati gelora udara mungkin berpunca daripada aktiviti perolakan dan awan berkembang pesat, sementara radar cuaca pesawat tidak mengesan cuaca buruk sebelum kejadian mendadak itu.
  • Selain seorang maut, 56 orang cedera serius dan 23 cedera ringan, manakala keluarga Kitchen serta beberapa penumpang lain mengambil tindakan undang-undang terhadap SIA.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Kematian seorang warga Britain dalam penerbangan Singapore Airlines (SIA) pada 2024 berpunca daripada kegagalan jantung akibat kesan gelora udara teruk, menurut inkues di United Kingdom pada Rabu (23 Sep).

Encik Geoff Kitchen meninggal dunia dalam penerbangan SQ321 selepas pesawat itu dilanda gelora udara teruk berhampiran wilayah barat daya Myanmar ketika dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Heathrow di London ke Singapura.

Dr Peter Harrowing memberitahu inkues di Mahkamah Koroner Avon bahawa beliau berpuas hati "kesan fisiologi gelora udara yang dialami pesawat" menyebabkan jantung Encik Kitchen terhenti dan akhirnya membawa kepada kematiannya, lapor BBC.

Koroner kawasan mahkamah itu berkata Encik Kitchen, yang mempunyai sejarah penyakit arteri koronari, "tercampak dari tempat duduknya dan jatuh menimpa penumpang di sebelah" ketika kejadian.

“Dari pandangan awal, kematian itu mungkin dianggap berpunca daripada sebab semula jadi. Namun, kesimpulan itu tidak mengambil kira gelora udara teruk yang dialami Geoff,” lapor akhbar The Independent, memetik Dr Harrowing.

Dalam rekod inkues, Dr Harrowing menyatakan Encik Kitchen "meninggal dunia akibat kegagalan jantung selepas pesawat yang dinaikinya mengalami gelora udara teruk".

Menjawab pertanyaan CNA, SIA menyatakan pihaknya tidak dapat mengulas perkara yang sedang dibicarakan di mahkamah.

Encik Kitchen, 73 tahun, dalam perjalanan bersama isterinya Linda pada 21 Mei 2024 untuk bercuti selama enam minggu di Singapura, Indonesia dan Australia apabila penerbangan mereka dilanda gelora udara teruk.

Encik Kitchen meninggal dunia manakala isterinya mengalami keretakan tulang belakang. Puluhan penumpang lain turut cedera.

Pemeriksaan bedah siasat awal di Thailand mendapati Encik Kitchen meninggal dunia akibat kegagalan jantung kongestif, lapor BBC.

Inkues dimaklumkan pada April 2019, beliau menjalani pembedahan untuk memasang stent pada arteri koronari kanannya. Namun, pemeriksaan pada Oktober tahun yang sama mendapati keupayaannya untuk bersenam sudah kembali ke tahap normal.

Pakar patologi yang menjalankan bedah siasat tambahan terhadap jasad Encik Kitchen di Bristol menyatakan punca kematian ialah kegagalan jantung akibat ateroma arteri koronari serta kesan fisiologi gelora udara, menurut BBC.

Pada Mei 2026, laporan akhir Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura (TSIB) menyatakan Encik Kitchen mengalami kegagalan jantung dan edema pulmonari, iaitu keadaan apabila cecair terkumpul di dalam paru-paru.

Cik Kitchen memberitahu inkues menerusi satu kenyataan bahawa suaminya terjatuh ke atas ribanya sebelum dua penumpang membantu meletakkannya semula di tempat duduk. Kepalanya kemudian "terkulai ke hadapan", lapor akhbar The Independent.

Menurut BBC, Cik Kitchen berkata suaminya dibawa ke bahagian hadapan pesawat untuk diberikan bantuan kecemasan CPR, namun beliau hanya dimaklumkan mengenai kematian suaminya dua hari kemudian.

Keluarga Kitchen sudah mengambil tindakan undang-undang terhadap SIA. Pada Ogos, akhbar The Independent melaporkan bahawa dua tuntutan difailkan, masing-masing oleh Cik Kitchen dan bagi pihak harta pusaka mendiang suaminya.

SIA turut berdepan tindakan undang-undang daripada beberapa penumpang lain, menurut laporan tersebut.

Penerbangan SQ321 membawa 211 penumpang dan 18 anak kapal ketika kejadian.

TSIB mendapati gelora udara itu berpunca daripada aktiviti perolakan dan berkemungkinan berkaitan dengan awan yang berkembang pesat serta mampu menghasilkan arus udara naik dan turun yang kuat.

Juruterbang tidak melihat sebarang cuaca buruk pada paparan navigasi beberapa minit sebelum kejadian, manakala pemeriksaan secara visual menunjukkan laluan penerbangan kelihatan cerah.

Siasatan mendapati radar cuaca pesawat berkemungkinan tidak mengesan cuaca buruk sebelum gelora udara berlaku. Namun, pengeluar radar menyatakan tiada bukti menunjukkan sistem itu gagal mengesan dan memaparkan keadaan cuaca semasa penerbangan.

Tanda memakai tali pinggang keledar dihidupkan selepas pesawat mula mengalami gelora udara, namun gelora udara teruk melanda hanya 17 saat kemudian sehingga kru penerbangan tidak sempat membuat pengumuman kepada penumpang.

Perubahan mendadak pada daya graviti menyebabkan beberapa penumpang yang tidak memakai tali pinggang keledar terpelanting ke udara sebelum jatuh semula.

Selain Encik Kitchen, 56 orang mengalami kecederaan serius dan 23 lagi cedera ringan, manakala 149 tidak mengalami kecederaan.
Sumber : CNA/NU/nu
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita