Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gelombang varian XBB di S'pura mungkin capai kemuncaknya pada pertengahan Nov

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 Oct 2022 12:47PM Dikemas Kini : 15 Oct 2022 08:56PM

SINGAPURA: Gelombang COVID-19 semasa, yang didorong varian XBB, berkemungkinan akan mencapai kemuncaknya sekitar pertengahan November, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Sabtu (15 Okt). 

"Ini berkemungkinan satu gelombang dengan jumlah kes yang meningkat dengan mendadak namun berlaku dalam tempoh yang singkat," kata Encik Ong. Beliau berkata Singapura berkemungkinan menyaksikan sekitar 15,000 kes harian secara purata. 

Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan, dengan mengambil gelombang BA.5 sebagai satu petanda, jumlah pesakit yang dirawat di hospital mencapai kemuncak 800 kes pada Julai lalu dan walaupun hospital-hospital di Singapura menghadapi beban, ia dapat menangani gelombang tersebut. 

Kadar kes yang melibatkan subvarian Omicron, XBB, di Singapura meningkat sepanjang bulan lalu. Meskipun sangat mudah berjangkit, ia tidak menyebabkan penyakit yang lebih teruk berbanding varian-varian yang muncul sebelum ini. 

Pada 14 Oktober, sebanyak 9,087 kes baru COVID-19 dilaporkan di Singapura dan sembilan dirawat di Unit Jagaan Rapi (ICU). Seramai 562 pesakit dirawat di hospital, dengan 44 daripada mereka memerlukan bantuan oksigen. 

Nisbah jangkitan mingguan berada pada 1.64. 

Di Singapura, XBB kini adalah subvarian yang dominan, membentuk 54 peratus kes tempatan antara 3 hingga 9 Oktober. Ia pertama kali dikesan di India pada Ogos dan sedari itu, telahpun dilaporkan di lebih 17 negara, termasuk Australia, Bangladesh, Denmark, Jepun dan Amerika Syarikat (AS), menurut MOH. 

Bukti menunjukkan bahawa varian XBB mungkin mendorong kenaikan kes jangkitan semula, kata Encik Ong.

LEBIH BANYAK KATIL HOSPITAL DIPERLUKAN BAGI PESAKIT COVID-19

Jumlah kes jangkitan semula dalam kalangan keseluruhan kes COVID-19 di Singapura meningkat sepanjang bulan lalu, dengan kes jangkitan semula kini merangkumi sekitar 17 peratus daripada jumlah kes baru. 

Pengarah Khidmat Perubatan Kenneth Mak berkata walaupun jumlah kes koronavirus sedang meningkat, jumlah kes teruk dan kemasukan pesakit ke hospital tidak setinggi seperti yang disaksikan semasa gelombang-gelombang sebelumnya. 

MOH menyatakan, sebagai respons kepada lonjakan kes COVID-19 dalam tempoh dua minggu lalu, hospital-hospital awam sudahpun mengambil pelbagai langkah dengan pantas untuk memperuntukkan sekitar 200 katil tambahan buat pesakit COVID-19.

Ini termasuk menangguhkan kemasukan ke hospital bagi pesakit yang tidak mengalami keadaan mendesak, membenarkan pesakit yang stabil untuk pulang ke rumah atau ke rumah jagaan serta memindahkan pesakit yang beransur pulih ke kemudahan jagaan peralihan dan hospital masyarakat. 

Sepanjang dua minggu akan datang, hospital awam akan meningkatkan kapasiti katil bagi pesakit COVID-19 dan ini sedang dilakukan secara berperingkat-peringkat - sehingga 800 katil - menjelang awal November.

Tambah Dr Mak, orang ramai dinasihatkan supaya hanya menuju ke jabatan kecemasan bagi keadaan kecemasan. 

Encik Ong pula menggesa orang ramai supaya mengamalkan tanggungjawab peribadi dan mengingatkan masyarakat awam untuk memantau kesihatan mereka serta mendapatkan suntikan vaksin jika layak. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan