Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gelombang seterusnya COVID-19 mungkin didorong kes jangkitan semula

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Untuk bersiap sedia bagi gelombang seterusnya kes COVID-19, yang mungkin tercetus disebabkan oleh jangkitan semula, Singapura sedang menyediakan kemudahan jagaan peralihan, doktor keluarga dan memperluaskan perlindungan menerusi vaksinasi.

Demikian dikatakan Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung pada Rabu (24 Ogos).

Sebagai contoh, pemerintah merancang untuk memberikan suntikan vaksin kepada kanak-kanak berumur lima tahun hingga 11 tahun.

Pihak berkuasa kesihatan akan menghantarkan notis melalui mesej kepada ibu bapa untuk menyarankan suntikan pertama dos penggalak untuk anak-anak mereka.

Vaksin untuk bayi dan kanak-kanak berumur enam bulan hingga lima tahun juga akan siap pada suku keempat 2022 "jika semuanya berjalan lancar", kata Menteri Kesihatan itu.

Berucap di sidang media Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian COVID-19 (MTF), Encik Ong berkata jika gelombang kes bermula, Singapura harus "lebih bersedia dan berdaya tahan berbanding sekarang".

"Kita juga harus bersedia sekiranya varian seterusnya mungkin berbeza," kata Encik Ong.

Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong juga menambah bahawa Pasukan Betindak tidak akan berputus asa kerana ada kemungkinan gelombang seterusnya lebih "agresif dan berbahaya".

Beliau menggesa orang ramai supaya bersedia secara mental bagi perubahan yang mendadak.

"Kami masih terus memantau dengan teliti dan sudah melakarkan perancangan bagi pelbagai keadaan yang tidak dijangka termasuk mempertingkatkan kapasiti jagaan kesihatan serta menggandakan operasi vaksinasi jika dan apabila ia diperlukan" kata Encik Wong pada sidang media itu.

"Kami juga ada beberapa barisan pertahanan, seperti yang anda sedia maklum yang boleh kami aktifkan jika perlu."

GELOMBANG JANGKITAN SEMULA

Berdasarkan kajian terkini serologi Kementerian Kesihatan (MOH), kira-kira 70 peratus penduduk Singapura sudah dijangkiti COVID-19. Ini bermakna negara ini ada "jauh lebih rendah jumlah individu yang belum dijangkiti COVID-19".

"Ini bermakna apabila gelombang seterusnya yang lebih besar berlaku, ia adalah gelombang yang besar, terdiri daripada banyak kes jangkitan semula. Ia akan menjadi gelombang jangkitan semula," kata beliau.

Kemungkinan jangkitan semula lapan bulan selepas jangkitan pertama, dibandingkan dengan individu yang sebelum ini tidak dijangkiti adalah lima peratus, kata beliau.

Meskipun Encik Ong menyifatkan ia sebagai "petanda baik", beliau berkata kes jangkitan semula semakin meningkat setara dengan jumlah kes jangkitan harian.

Jangkitan semula terdiri daripada 5.5 peratus daripada jumlah jangkitan pada Ogos, berbanding tiga peratus pada Julai tahun ini.

Memandangkan imuniti yang diperoleh daripada jangkitan semakin berkurangan dari masa ke masa, Encik Ong menyatakan bahawa kadar jangkitan semula dijangka meningkat lagi.
Encik Ong berkata usaha Singapura untuk bersiap sedia perlu dilakukan dalam tiga aspek: Langkah pengurusan selamat, kapasiti jagaan kesihatan dan vaksinasi.

KAPASITI JAGAAN KESIHATAN

Untuk mengurangkan beban di hospital, Encik Ong berkata pihak berkuasa sedang menyediakan kemudahan rawatan COVID-19 untuk pesakit yang kurang berisiko dan mengalihkan warga emas yang dirawat dalam tempoh yang panjang di hospital ke rumah jagaan supaya wad tersebut boleh diberikan kepada pesakit lain.

Terdapat juga kemudahan jagaan peralihan (TCF) yang berfungsi sebagai kemudahan dengan dua kegunaan yang boleh digunakan sebagai kemudahan rawatan untuk pesakit COVID-19 berisiko rendah semasa gelombang berterusan, kata Encik Ong.

Encik Ong menambah bahawa doktor keluarga juga akan memainkan peranan yang penting dalam merawat pesakit COVID-19 tanpa gejala teruk dengan memberikan terapi serta ubat oral antivirus.

Ini akan mengurangkan jumlah mereka yang dijangkiti dengan gejala teruk dan mengurangkan beban di hospital.

Terdapat juga kira-kira 1,500 janji temu teleperubatan setiap hari yang turut membantu meringankan beban kapasiti jagaan kesihatan.

"Kami akan menambah sehingga kira-kira 9,600 janji temu sehari untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku lonjakan pada masa akan datang," kata Encik Ong.

VAKSINASI UNTUK KANAK-KANAK

Berhubung rancangan pemerintah untuk memberikan suntikan vaksin kepada kanak-kanak, Encik Ong berkata bahawa mereka akan dikendalikan dalam dua kumpulan: Kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun dan mereka berumur enam bulan hingga lima tahun.
Bagi kumpulan kedua kanak-kanak berumur enam bulan hingga lima tahun, Encik Ong berkata jawatankuasa pakar vaksin COVID-19 masih dalam proses mengkaji keselamatan dan keberkesanan vaksin COVID-19 Moderna, Spikevax.

Beliau menambah "jika semua berjalan dengan lancar," vaksin Moderna akan diluluskan untuk kegunaan kanak-kanak di Singapura pada suku keempat tahun ini sebagai rejim dua dos yang diberikan selang 28 hari.

"Kami juga sedang mempertimbangkan vaksin Pfizer-BioNTech untuk bayi dan kanak-kanak kecil," kata Encik Ong.
Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan