Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gelombang jangkitan COVID-19 varian XBB semakin merosot, kata Ong Ye Kung

Anggaran Waktu Membaca:
Gelombang jangkitan COVID-19 varian XBB semakin merosot, kata Ong Ye Kung

(Gambar: CNA/Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 31 Oct 2022 07:54PM Dikemas Kini : 01 Nov 2022 07:57AM
SINGAPURA: Gelombang jangkitan COVID-19 yang disebabkan oleh varian XBB jelas "merosot", kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Isnin (31 Okt), sambil menambah bahawa negara mungkin sudah berjaya mengatasi gelombang itu.

Berucap di majlis ulang tahun ke-20 Institut Pengurusan Kesihatan Antarabangsa (HMI), Encik Ong menarik perhatian bahawa Singapura menangani varian XBB tanpa langkah pengurusan selamat dan mewajibkan pemakaian pelitup.
Beliau menambah bahawa pasukan bertindak berbilang kementerian sudah bersedia untuk mengkuatkuasakan semula syarat memakai pelitup dan menyasarkan langkah-langkah berdasarkan status vaksin sekiranya keadaan semakin memburuk.

"Mujur jumlah jangkitan meningkat dan kemudian turun lebih awal daripada dijangkakan. Saya rasa kami boleh gugurkan pelan luar jangka buat masa ini," kata Encik Ong.

Setakat tengah hari Ahad (30 Okt), 3,240 kes baru COVID-19 dilaporkan. Nisbah jangkitan minggu ke minggu pula pada 0.66.

Namun, Encik Ong menekankan bahawa Singapura harus bersedia untuk mengkuatkuasakan kembali beberapa langkah pengurusan selamat jika negara ini berdepan gelombang jangkitan yang disebabkan varian COVID-19 yang lain.

Encik Ong juga berkata keadaan COVID-19 di Singapura kian stabil namun negara ini masih dalam fasa baru pandemik dan memberi amaran mengenai sikap berpeluk tubuh.

Dengan virus yang semakin berubah-ubah, kini terdapat pelbagai subvarian yang menular dalam setiap masyarakat, kata Encik Ong.

"Di Singapura, kita ada varian BA.1, BA.2, BA.4, BA.5, BA.2.175, BA.2.10, kita ada beberapa kes BQ.1. Dalam situasi berkenaan, ketika ada lebih banyak subvarian yang menular, ada kemungkinan bahawa dua subvarian akan bertemu dan menjadi satu varian yang baru - apa yang dikenali sebagai subvarian rekombinan seperti XBB (varian)," tambahnya.

Beliau memberi amaran bahawa varian rekombinan boleh mengambil ciri-ciri varian asli yang boleh membawa kepada penyakit yang lebih teruk.

Kedua, beliau menekankan bahawa kehidupan di Singapura sudah kembali seperti biasa dan negara ini mengukuhkan semula kedudukan sebagai hab antarabangsa dan ekonomi terbuka.

Namun beliau menambah bahawa aspek tersebut akan membuatkan Singapura terdedah kepada varian COVID-19.

Encik Ong menambah bahawa negara harus ada rancangan luar jangka.

Satu tindak balas utama ialah strategi vaksin Singapura - yang baru-baru ini melancarkan vaksin bivalen COVID-19 Moderna kepada mereka yang berumur 50 tahun dan ke atas.
TENAGA KERJA SEKTOR JAGAAN KESIHATAN

Encik Ong juga menangani isu pekerja jagaan kesihatan yang perlu mengendalikan sejumlah besar pesakit di jabatan kecemasan.

Beliau berkata sejak awal tahun ini, pekerja jagaan kesihatan yang berkhidmat di jabatan kecemasan terpaksa mengendalikan sejumlah besar pesakit berikutan kenaikan jumlah mereka yang dijangkiti koronavirus dan pesakit biasa.

Beliau menambah bahawa kumpulan itu bekerjasama dengan MOH untuk mengurangkan beban kerja di jabatan kecemasan.

"Langkah-langkah itu termasuk menggalak kes bukan kecemasan untuk dapatkan rawatan di klinik GP atau Pusat Rawatan Segera dan bukannya ED.

"Kami menghantar pesakit yang tidak memerlukan rawatan hospital ke kemudahan jagaan dan kami merawat pesakit yang kekal di ED selama empat jam atau lebih," kata Encik Ong.

Encik Ong juga menekankan perlunya untuk memikat lebih ramai tenaga kerja dalam sektor jagaan kesihatan dalam tempoh satu hingga tiga tahun akan datang.

Ini termasuk mengukuhkan kumpulan kakitangan sokongan jagaan.

Beliau turut menggalak para graduan dari program kemahiran SGUnited yang berada di acara itu untuk mengambil salah satu peranan jagaan sokongan pada masa hadapan.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan