Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gelombang COVID-19 SG sudah melepasi paras puncak, kes jatuh kepada 3,000 sehari: Ong Ye Kung

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Gelombang jangkitan COVID-19 sekarang ini sudah memuncak dua minggu lalu dan jumlah kes telah berkurangan kepada sekitar 3,000 setiap hari, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Selasa (9 Mei).

Jumlah itu lebih rendah berbanding anggaran 4,000 jangkitan sehari pada bulan lalu.

Memberikan maklumat terkini di Parlimen, Encik Ong berkata lebih 300 pesakit COVID-19 kini dimasukkan ke hospital dan jumlah itu dijangka berkurangan dalam beberapa minggu akan datang.

Meskipun jumlah tersebut adalah sebahagian kecil daripada angka semasa puncak krisis pandemik, Encik Ong berkata ia masih menambah "beban kerja yang ketara" kepada hospital.

Menurutnya varian utama yang menular ialah XBB.1.9, XBB.1.16 dan XBB.2.3, dengan masing-masing menyumbang kepada sekitar 25 peratus jangkitan yang dilaporkan, kata Encik Ong.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyenaraikan semula XBB.1.16 - juga dikenali sebagai Arcturus - kepada "varian minat" pada bulan April, Encik Ong berkata tiada bukti di peringkat antarabangsa atau tempatan, bahawa mana-mana varian mempunyai kelebihan yang jelas unutk merebak berbanding yang lain atau boleh membawa kepada lebih banyak kes penyakit yang teruk.

Tambahnya, Kementerian Kesihatan (MOH) akan terus memantau dengan teliti ciri-ciri varian tersebut.
PASTIKAN DAPAT VAKSINASI

Bilangan warga emas yang mendapatkan suntikan terkini COVID-19 juga sudah berkurangan, kata Encik Ong sambil mengulangi peri pentingnya vaksinasi dalam melindungi penduduk daripada penyakit yang teruk.

Dalam kalangan mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas, peratusan yang memastikan dos vaksin mereka dikemas kini merosot kepada 50 peratus, iaitu lebih rendah daripada 58 peratus pada awal tahun ini.

"Warga emas dan orang ramai, berfikir 'Saya jarang keluar dari rumah saya, dan oleh itu saya tidak perlu mengambil vaksin lagi.' Pandangan ini tidak digalakkan," katanya.

“Varian Omicron sekarang sangat mudah berjangkit, dan kami tidak lagi mengenakan sekatan sosial yang bermakna walaupun anda tidak keluar dari rumah anda, anda masih boleh dijangkiti virus, apabila melawat ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang mungkin berhubungan dengan anda," tambah Encik Ong.

Menyedari bahawa sesetengah warga emas mungkin enggan terus mendapatkan vaksinasi kerana bimbang mengenai risiko kesan sampingan, Encik Ong berkata kemungkinan berlakunya kesan buruk yang teruk adalah sangat rendah di Singapura, iaitu kira-kira tujuh dalam setiap 100,000 dos.

Dengan formula mRNA bivalen terbaru sekarang, jumlahnya lebih rendah lagi iaitu satu dalam setiap 100,000 dos, tambahnya.

Encik Ong memberi amaran bahawa jika trend vaksinasi itu berterusan, ia boleh melemahkan daya tahan penduduk terhadap COVID-19 dari semasa ke semasa dan menjadikan orang ramai lebih terdedah semula kepada virus itu.

"Manfaat vaksin COVID-19 terus jauh melebihi risiko, dan anda harus memastikan mendapatkan vaksin terkini," katanya.

"Ini adalah saranan kedua-dua Jawatankuasa Pakar Mengenai Vaksinasi COVID-19 dan Penguasa Sains Kesihatan."
Sumber : CNA/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan