Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gelombang COVID-19 sekarang "tidak akan seteruk" Omicron, kata Ong Ye Kung

Anggaran Waktu Membaca:
Gelombang COVID-19 sekarang "tidak akan seteruk" Omicron, kata Ong Ye Kung

Orang ramai di kawasan CBD pada 25 Mac 2022. (Gambar: CNA/Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 05 Jul 2022 05:39PM Dikemas Kini : 05 Jul 2022 08:23PM
SINGAPURA: Gelombang COVID-19 sekarang ini tidak akan seteruk gelombang Omicron awal tahun ini.

Demikian menurut Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada Selasa (5 Jul).

Menjawab pertanyaan parlimen daripada AP Ang Wei Neng (PAP-West Coast) tentang respons Pemerintah terhadap gelombang kes COVID-19 sekarang, Encik Ong berkata pihak berkuasa sudah menjangkakan gelombang tersebut apabila mengetahui tentang subvarian varian BA.4 dan BA.5.

Varian virus itu "jauh lebih mudah menular" berbanding subvarian awal BA.2, tambah beliau.

"Gelombang ini, bagaimanapun, berlaku lebih awal berbanding tempoh Julai dan Ogos yang kami jangkakan," kata Menteri Kesihatan itu.

"Bagi gelombang kali ini, penilaian kami adalah ia tidak akan seteruk gelombang Omicron yang kita hadapi awal tahun ini. Ini kerana lebih ramai daripada kita sudah mempunyai imuniti lebih kukuh, sama ada menerusi suntikan dos penggalak atau pulih daripada jangkitan," tambah beliau.

"Ini akan menghalang penularan virus BA.4 dan BA.5."

Semasa di kemuncak gelombang Omicron sebelum ini, Singapura menyaksikan sekitar 18,000 kes baru COVID-19 sehari.

Jumlah kes COVID-19 pada Selasa dijangka mencecah lebih 12,000, iaitu sekitar 10 peratus lebih banyak berbanding minggu lalu, kata beliau, sambil menambah hari Selasa merupakan "hari di mana jumlah kes sentiasa melonjak".

"Terdapat tanda-tanda bahawa kita hampir berada di kemuncak, dan jika tidak, kita harus berasa lega bahawa jumlah kes minggu ini tidak naik seganda daripada minggu lalu. Jika tidak, kita mencatat 24,000 atau 22,000 kes minggu ini," kata beliau.

Dalam satu soalan tambahan, Encik Ang bertanya tentang peratusan kes jangkitan COVID-19 baru-baru ini yang disebabkan subvarian BA.4 dan BA.5.

Daripada semua kes jangkitan, sekitar 50 peratus disebabkan subvarian BA.4 dan BA.5, kata Encik Ong.

"Jumlahnya naik seganda setiap minggu. Bermula dengan tiga peratus, kemudian lima peratus, kemudian lapan peratus, kemudian 16 peratus, 30 peratus minggu lalu, minggu ini 50 peratus, minggu depan saya menjangkakan ia mencecah 70 hingga 80 peratus. Ia jelas subvarian itu lebih dominan berbanding BA.2."

Menjawab pertanyaan AP Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang) pula tentang sama ada "kelengkapan jagaan kesihatan mencukupi" untuk menangani gelombang seterusnya, Encik Ong berkata kunci untuk menangani gelombang seterusnya adalah dengan memastikan kapasiti hospital Singapura "tidak terlalu tertekan".

Ini termasuk memastikan perlindungan tinggi vaksinasi dan suntikan dos penggalak , serta memastikan institusi dan kemudahan jagaan kesihatan bersedia untuk menambah kapasiti jika jumlah kemasukan ke hospital meningkat, tambah beliau.

Setakat tengah hari Isnin (4 Jul), terdapat 631 pesakit dirawat di hospital dengan 74 daripadanya memerlukan bantuan oksigen dan 14 berada di unit jagaan rapi (ICU).

"Hospital-hospital kita kekal bersedia untuk menambah kapasiti khas di ICU dan bagi katil pengasingan sekiranya jumlah pesakit COVID-19 yang perlu dirawat di hospital meningkat," ujar Encik Ong.

Terdapat juga "jumlah katil yang mencukupi" di kemudahan-kemudahan rawatan COVID-19 bagi kes serius yang tidak memerlukan jagaan di hospital, kata beliau, sambil menambah 25 peratus kemudahan rawatan sedemikian bagi COVID-19 digunakan.

Kemudahan-kemudahan tersebut "baru-baru ini digabungkan" daripada lebih 2,000 katil kepada sekitar 1,300 katil, dengan "nisbah pengendalian yang lebih tinggi", kata Encik Ong. Ini menjadikannya lebih mudah untuk memindahkan pesakit dari hospital ke kemudahan tersebut tanpa "kemerosotan ketara" pada paras jagaan, tambah beliau.

Bagaimanapun, hospital-hospital awam terus berdepan "permintaan tinggi" daripada pesakit bukan COVID-19, kata Encik Ong.

"Selepas beberapa tempoh, kami berharap lebih banyak (kemudahan rawatan COVID-19) kami boleh dijadikan kemudahan pengasingan dan rawatan pelbagai guna, bagi pesakit COVID-19 dan juga bukan COVID-19," tambah beliau.

Kemudahan rawatan COVID-19 di Hospital Masyarakat Sengkang sudah "disesuaikan" kepada model baru, dan pihak berkuasa akan meneroka untuk melakukan yang sama kepada kemudahan-kemudahan lain, kata Encik Ong.

Sedang gelombang kes jangkitan dijangkakan, Pemerintah masih mengekalkan syarat wajib memakai pelitup di tempat tertutup meskipun jumlah kes adalah "rendah dan stabil" untuk "mengawal kadar jangkitan" apabila gelombang baru tiba.

"Jika kita masih mahu mengurangkan lagi kadar jangkitan, langkah-langkah pengurusan selamat yang lebih ketat perlu dilaksanakan. Ini bermakna memperkenalkan semula peraturan seperti saiz kumpulan, had kapasiti dan memakai pelitup di tempat terbuka," kata Encik Ong.

"Kita tidak boleh mengecualikan langkah-langkah tersebut sekiranya kita dibelenggu gelombang serius jangkitan, tetapi selagi boleh, kita harus mengelakkannya, lebih-lebih lagi jika kita agak yakin kapasiti hospital kita boleh bertahan, dan kita bertekad untuk terus hidup dengan COVID-19 menjadi endemik dan sebahagian hidup kita."

 
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan