Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gelombang baru COVID-19 di M'sia terus memisahkan keluarga dua negara untuk bersatu

Panggilan video setiap hari selain menyertai kumpulan sokongan keluarga terpisah akibat COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Panggilan video setiap hari selain menyertai kumpulan sokongan keluarga terpisah akibat COVID-19.

Demikian yang dilakukan Raja Haikal Raja Khalif, 32 tahun setelah gelombang baru COVID-19 di Malaysia menjejaskan lagi peluangnya untuk bersatu semula bersama isteri dan tiga anaknya yang berusia, enam tahun, lima tahun dan 10 bulan di Melaka.

ANAK ISTERI TERKILAN TIDAK DAPAT MASUK S'PURA UNTUK PENGEBUMIAN AYAH

Diam tak diam sudah masuk lapan bulan Raja Haikal terpisah jarak dengan keluarganya yang menetap sejak penutupan sempadan akibat pandemik COVID-19.

"Pada 18 Mac 2020, saya masih di Melaka ambil anak isteri bawa balik sini. Kerajaan Malaysia kata sebelum 12 tengah malam, selepas itu tiada lagi kemasukan dibenarkan dari Malaysia ke Singapura. Jadi saya sampai kastam (Malaysia) itu pukul 12.15 pagi. Tapi tak dibenar lepas," kata Raja Haikal, seorang jurutera kimia.

(Gambar: Raja Haikal Raja Khalif)

Dengan berat hati, beliau kemudian menghantar anak dan isteri nya pulang ke rumah mereka di Melaka dan bergegas pulang ke Singapura sendirian.

Hatinya bertambah pilu, apabila bapa beliau yang sakit tenat di hospital meninggal dunia dan Raja Haikal terpaksa menguruskan jenazah bapanya itu tanpa kehadiran keluarga di sisi. Isteri dan anak-anak hanya mampu menyaksikan pengebumian melalui panggilan video.

'CUBA NASIB' MEMANDU KE KASTAM. NAMUN...

Sebelum sekatan sempadan dilaksanakan antara Singapura dan Malaysia, beliau yang bekerja syif di sebuah syarikat di Pulau Jurong, kerap memasuki Malaysia setiap kali mempunyai hari cuti untuk bersama keluarga tercinta.

Namun, buat masa ini, hanya perjalanan rasmi atau yang perlu sahaja, dibenarkan antara kedua-dua negara.

Akibat terlalu merindukan keluarganya di Melaka, pernah suatu ketika Raja Haikal nekad memandu terus ke kastam, dengan harapan diberi kelulusan untuk memasuki negara jiran.

"Saya cakap apa nak jadi, jadilah. Kalau nak kena patah balik, sekurang-kurangnya saya cuba. Apabila saya sampai di kastam, pihak kastam Singapura menyatakan 'kita boleh beri awak lepas tapi nanti dekat sana (kastam Malaysia) awak akan tersangkut sebab awak tak ada surat-surat yang perlu'.

"Bila sudah siapkan itu, saya sudah bersedia, sudah ambil cuti semua, dan hendak balik lagi. Keesokkan hari yang saya nak pergi, hari itu juga peraturan baru dikeluarkan," kata Raja Haikal.

JAUH DI MATA, LEBIH DEKAT LAGI DI HATI

Dengan gelombang baru COVID-19 melanda Malaysia sekarang, Raja Haikal tidak menjangkakan dapat segera bersatu semula dengan keluarganya.

Sambil menahan sebak, beliau berkongsi bagaimana anaknya kadang-kadang tersasul apabila mereka berhubungan menerusi panggilan video: "Sudah berapa lama saya tak luang masa dengan anak sampai dia sendiri lupa macam mana nak luangkan masa dengan bapa."

Mujur, teknologi menjadi pengantara mengubat rindu, bertukar khabar melalui panggilan video.

Raja Haikal juga berusaha memenuhi keperluan keluarga di Melaka dengan mengirim bekalan cecair pembasmi kuman dan pelitup.

Pandemik ini kata beliau menyedarkannya untuk menghargai masa bersama keluarga dan beliau bersyukur isterinya tabah mengharungi cabaran membesarkan anak mereka secara sendirian.

"Saya betul-betul bersyukur, berterima kasih dengan isteri sayalah. Untuk anak-anak saya, ayah rindu sangat-sangatlah dekat 'Adik, Abang, Baby'. 'Baby' pun belum tentu kenal ayah lagi," kata Raja Haikal dengan nada yang sebak. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan