Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gelapkan wang masjid, bekas pegawai dihukum penjara 8 minggu

Seorang bekas pegawai pembangunan masyarakat di Masjid Assyakirin hari ini (7 Ogos) mengaku bersalah menggelapkan wang derma masjid sebanyak S$21,000.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang bekas pegawai pembangunan masyarakat di Masjid Assyakirin hari ini (7 Ogos) mengaku bersalah menggelapkan wang derma masjid sebanyak S$21,000.

Nurul Jannah Md Latiff, 28 tahun, dijatuhi hukuman penjara lapan minggu atas kesalahan pecah amanah jenayah.

Menurut dokumen mahkamah, wang tersebut digunakan untuk membayar ubah elok rumahnya serta hutang bank.

Tugas utama Nurul Jannah, sejak 22 Jun 2014, adalah untuk membantu keluarga-keluarga berpendapatan rendah mendapatkan bantuan kewangan yang sewajarnya.

Antara bulan Oktober 2018 dengan April 2019, Nurul Jannah mula melakukan kerja sukarela mengira wang derma yang dikumpulkan hasil sumbangan jemaah semasa solat Jumaat.

Dia mengira wang derma itu bersama-sama dengan kakitangan pentadbiran masjid yang lain, meskipun itu bukan tugasnya.

Siasatan yang dijalankan mendedahkan bahawa Nurul Jannah setelah diberi kepercayaan untuk mengendalikan wang dan tabung derma, menyalah gunakan wang sebanyak S$21,000.

Setiap kali dia menyonglap wang, bergantung kepada keperluannya, Nurul Jannah akan menyembunyikan antara S$1,000 dengan S$1,500 yang sudah digulung dan diikat dengan getah, ke dalam lengan bajunya.

Dia kemudian meneruskan tugas mengira wang hingga selesai dan keluar daripada pejabat sebelum menyembunyikan wang tersebut ke dalam begnya.

Atas nasihat Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Pengerusi Eksekutif Masjid Assyakirin, Muhammad Hafiz Abdul Rashid, kemudian membuat aduan polis.

Nurul Jannah mengaku menggelapkan wang tersebut yang digunakan untuk membayar ubah elok rumahnya serta hutang bank.

Dia sudahpun membayar balik wang sebanyak S$30,000. Menurut Pejabat Peguan Negara, ia tidak mempunyai maklumat mengapa bayaran balik yang dibuat melebihi jumlah yang digelapkan. 

Sekalipun demikian, perbuatan membayar balik wang dalam jumlah yang lebih tinggi biasa dilakukan oleh para pesalah. Ini sebagai tanda muhibbah dan boleh digunakan semasa mengemukakan rayuan meminta hukuman yang lebih ringan. 

Hakim menjatuhkan hukuman penjara lapan minggu ke atas Nurul Jannah, bermula pada 4 September.

Nurul Jannah kini dibebaskan dengan ikat jamin S$15,000.

Atas kesalahan pecah amanah jenayah, Nurul Jannah boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan