Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Gedung Kuning sekali lagi ada sebuah restoran

Bangunan Gedung Kuning kini sekali lagi menempatkan sebuah restoran dan ia akan dirasmikan Jumaat ini (23 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
02:38 Min
Bangunan Gedung Kuning kini sekali lagi menempatkan sebuah restoran dan ia akan dirasmikan Jumaat ini (23 Apr).

SINGAPURA: Bangunan Gedung Kuning kini sekali lagi menempatkan sebuah restoran dan ia akan dirasmikan Jumaat ini (23 Apr).

Diberi nama Permata Singapore, restoran berkonsep nusantara itu adalah yang ketiga mengisi bangunan bersejarah itu. Dua restoran yang pernah bertapak di Gedung Kuning sebelum ini ialah Tepak Sireh dan Restoran Mamanda.

HASRAT DIDIK ANAK MUDA HIDANGAN TRADISIONAL

Hidangan seperti Tempoyak Ikan Patin, Ayam Binjai dan Nasi Bunga Telang mungkin kedengaran janggal bagi anak-anak muda.

Namun inilah yang menjadi tukikan restoran bufet Permata Singapore, yang kini mengisi Gedung Kuning itu. Ia bermatlamat mendidik golongan muda mengenai hidangan tradisional dengan sentuhan moden dan segar.

Cef Eksekutif Permata Singapore, Firdauz Nasir berkongsi: "Kita mahu mendidik orang ramai juga, sebilangan hidangan yang dah lama, dah pupus itu, kita bawa balik.

"Kita mendidik anak-anak muda yang sekarang ini, dan kita ada seperti rendang wagyu yang kita taruh sambal hijau. Kita masak belimbing rusuk kambing, benda-benda begini anak-anak muda sekarang tak tahu."

LEBIH 60 HIDANGAN KONSEP NUSANTARA

Menyediakan lebih 60 hidangan, restoran yang terletak di 73 Sultan Gate itu juga memastikan golongan lebih berusia dapat mengembalikan nostalgia menerusi ulam-ulaman serta sambal bajak dan sambal tempoyak.

Nama restoran itu sendiri cukup nostalgia kerana diilhamkan dari sejarah perdagangan berlian permata yang pernah rancak di di Kampong Gelam pada tahun 1920-an.

Yang pasti, restoran Permata - yang masih berkongsi bumbung dengan permainan 'escape room' Amazing Chambers Singapura - sebenarnya punya falsafah tersendiri mengenai kewujudannya.

"Kita tidak mahu Permata dikenali sebagai tempat makan," isytihar Pengurus Besar Gedung Kuning, Fajar Ali Mohd.

"Kita nak masyarakat umum datang ke Gedung Kuning sebagai satu destinasi gaya hidup. Mereka datang sini, mereka boleh belajar asal-usul Singapura, sejarah-sejarah yang terjadi di Singapura, melalui permainan dan melalui makanan yang kita sediakan."

Menurut beliau lagi Permata Singapore mahu membawakan kepada masyarakat agar bukan sahaja datang untuk makan, tapi juga dapat mempelajari asal-usul makanan, nama-nama ulam-ulam khususnya untuk anak-anak muda atau orang dewasa.

Pada masa akan datang, Gedung Kuning juga bakal dibuka bagi majlis-majlis perkahwinan dan acara masyarakat.

Sempena pelancaran Permata Singapore nanti, bagi tempoh terhad ini, harga bagi bufet makan tengah hari di bermula dari S$42, dari hari Isnin hingga Khamis. Bagi hujung minggu iaitu Jumaat hingga Ahad pula harganya bermula dari $48.

Harga bagi makan malam pula bermula dari $52, dari hari Isnin hingga Khamis; dan bermula dari $58, dari hari Jumaat hingga Ahad. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa