Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GE2025: WP saksikan perubahan 'ketara' di kawasan undinya; PSP persoal langkah 'drastik'

Parti Pekerja (WP) menyatakan terdapat perubahan “ketara” di kawasan-kawasan yang "telah diusahakan mereka secara konsisten sejak beberapa tahun lalu", menyusuli semakan sempadan kawasan undi yang diumumkan pada Selasa (11 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: WP saksikan perubahan 'ketara' di kawasan undinya; PSP persoal langkah 'drastik'

Flat HDB di Singapura. (Gambar: CNA/Calvin Oh)

Diterbitkan : 12 Mar 2025 12:28AM Dikemas Kini : 12 Mar 2025 12:29AM
SINGAPURA: Parti Pekerja (WP) menyatakan terdapat perubahan “ketara” di kawasan-kawasan yang "telah diusahakan mereka secara konsisten sejak beberapa tahun lalu", menyusuli semakan sempadan kawasan undi yang diumumkan pada Selasa (11 Mac).

Sementara itu, Parti Kemajuan Singapura (PSP) mempersoalkan apa yang mereka anggap sebagai perubahan “drastik” pada sempadan kawasan undi menjelang Pilihan Raya Umum (GE) akan datang. Hanya sembilan kawasan undi dikekalkan seperti pilihan raya lalu.

Parti Demokratik Singapura (SDP) turut menyatakan rasa “kecewa” berikutan pemansuhan dua Kawasan Undi Perseorangan (SMC) – Yuhua dan Bukit Batok – yang pernah ditandingi mereka.

Beberapa parti pembangkang lain yang lebih kecil juga meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sebahagian daripada perubahan tersebut.

Namun, parti-parti itu tetap menyatakan kesediaannya untuk membuat penyesuaian dengan sempadan kawasan undi yang baru dilakarkan.

Para pengundi mesti mengundi selewat-lewatnya November ini untuk memilih 97 Anggota Parlimen (AP) bagi 33 kawasan undi, meningkat daripada 93 AP bagi 31 kawasan undi sebelum ini.

Ini menyusuli keputusan pemerintah Singapura yang menerima cadangan oleh Jawatankuasa Semakan Sempadan Kawasan Undi (EBRC) pada Selasa.

Sebagai memberi respons, WP menyatakan bahawa pengesahan sempadan kawasan undi adalah satu komponen penting dalam persiapan menghadapi pilihan raya.

“Laporan tersebut mengandungi beberapa penjelasan ringkas berkenaan sebab bagi perubahan sempadan, seperti pertumbuhan penduduk di beberapa kawasan pilihan raya,” kata parti tersebut dalam satu catatan di Facebook.

WP turut menambah bahawa pihaknya akan berkongsi maklumat lanjut tidak lama lagi mengenai kawasan-kawasan yang mungkin akan dipertandingkan serta calon-calon yang berpotensi.

Sementara itu, PSP menyatakan pihaknya “berasa lega” kerana laporan EBRC kali ini memberikan penjelasan lebih terperinci berhubung cadangan yang dikemukakan.

“Namun, PSP berpandangan bahawa banyak keputusan yang dibuat oleh EBRC masih tidak dijelaskan, dan EBRC sepatutnya boleh mengambil kira perubahan penduduk tanpa melakukan perubahan drastik kepada sempadan kawasan undi utama yang sedia ada,” menurut parti itu dalam satu kenyataan.

“Sebagai contoh, perubahan penduduk di SMC Hong Kah North yang disebabkan kejiranan baharu Tengah sepatutnya boleh ditangani dengan menggabungkannya dengan SMC Yuhua dan SMC Bukit Batok untuk membentuk satu GRC baharu.

“Sebaliknya, perubahan tersebut digunakan untuk membenarkan perubahan sempadan kawasan undi bagi GRC Jurong, GRC West Coast, GRC Chua Chu Kang, GRC Tanjong Pagar dan SMC Radin Mas.”

Dalam wawancara dengan Mediacorp, AP Tanpa Kawasan Undi PSP, Hazel Poa, turut menarik perhatian kepada kawasan Telok Blangah di GRC West Coast, yang menyaksikan persaingan paling sengit dalam pilihan raya 2020, di mana PAP mengatasi PSP.

Menyedari bahawa kawasan itu dipindahkan ke GRC Tanjong Pagar, beliau berkata ia “menjadikan GRC Tanjong Pagar terlalu besar, sehingga mereka perlu melakarkan satu SMC”, merujuk kepada SMC Queenstown yang baharu.

Cik Poa berkata, ini “tidak masuk akal, kerana pada awalnya, anda boleh menjadikan Telok Blangah sebagai SMC, dan membiarkan Tanjong Pagar seperti sedia kala”.

“Oleh itu, kami merasakan terdapat beberapa perubahan yang tidak dijelaskan dengan sepenuhnya,” tambahnya.

Menurut PSP, ia akan mengkaji laporan EBRC dan membuat pengumuman lanjut mengenai tempat yang akan mereka tandingi dalam pilihan raya akan datang.

Cik Poa berkata, parti itu akan "mengambil kira sejauh mana kami mengenali kawasan tersebut dan sama ada kami telah cukup kerap bergaul dengan penduduk di sana" dalam membuat keputusan di mana untuk bertanding.

Dalam satu kenyataan kepada Mediacorp, SDP menyatakan keseluruhan proses mengubah sempadan kawasan undi "kurang telus, dilakukan tanpa perbincangan terbuka bersama pihak berkepentingan".

Parti itu menambah bahawa mereka perlu mengkaji dengan teliti butiran setiap perubahan dan menyatukan rancangan mereka.

PARTI PEMBANGKANG LEBIH KECIL KRITIK PERUBAHAN SEMPADAN KAWASAN UNDI

Pada 2024, Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing menolak cadangan oleh AP pembangkang yang mendakwa semakan sempadan kawasan undi telah dipolitikkan.

Beliau berkata EBRC tidak membuat cadangan berdasarkan corak pengundian, tidak berunding dengan mana-mana parti politik, dan terdiri daripada pegawai kanan awam yang tidak mempunyai kesetiaan kepada mana-mana parti.

Pada Selasa, parti-parti pembangkang yang lebih kecil memberi kritikan yang sama sebagai maklum balas terhadap semakan kawasan undi yang dijalankan.

Setiausaha Agung Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR), Lim Tean berkata perkumpulan itu "marah" dengan apa yang digambarkan sebagai "pengubahan sempadan kawasan undi secara sebarangan tanpa memberikan alasan yang kukuh".

"Khususnya, kami membantah sebahagian daripada SMC Potong Pasir dan SMC Mountbatten, di mana Parti Suara Rakyat (PV) telah aktif selama empat dan tujuh tahun masing-masing, kini diserap ke dalam GRC baharu Marine Parade-Braddell Heights tanpa sebarang justifikasi," kata Encik Lim, yang mengetuai PV.

Perikatan itu dianggotai PV, Parti Reform (RP) dan Parti Progresif Demokratik (DPP). Encik Lee berkata perikatan tersebut "semestinya"bertanding dalam lapan SMC dan dua GRC.

Ini termasuk dua SMC baharu Jalan Kayu dan Queenstown, serta SMC sedia ada di Kebun Baru, Marymount, Mountbatten, Potong Pasir, Radin Mas dan Yio Chu Kang.

"Kami akan, sudah tentu, bertanding di SMC Jalan Kayu yang baharu kerana itu adalah sebahagian daripada GRC Ang Mo Kio di mana parti komponen PAR, Parti Reform, telah bertanding dalam tiga Pilihan Raya Umum yang lalu," katanya kepada Mediacorp.

"Dan tidak perlu disebut-sebut, kami juga akan bertanding di SMC Queenstown yang baharu kerana itu dibentuk daripada GRC Tanjong Pagar, di mana Parti Suara Rakyat aktif sejak 2018. SMC baharu ini juga bersempadan dengan SMC Radin Mas yang telah ditandingi oleh Parti Reform dalam dua pilihan raya lalu."

PAR juga berharap untuk bertanding di GRC Jalan Besar dan GRC Tanjong Pagar.

Perkumpulan lain, Perikatan Demokratik Singapura (SDA) - yang terdiri daripada Parti Keadilan Singapura (SJP) dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Singapura (PKMS) - telah bertanding di GRC Pasir-Ris Punggol sejak 2006.

GRC tersebut telah dibahagikan kepada dua GRC baharu - Pasir Ris-Changi dan Punggol.

Pengerusi SDA Desmond Lim berkata perkumpulan itu "sangat gembira menyambut penduduk Changi" dan akan bekerja keras untuk berkhidmat kepada mereka.

Bagi GRC Punggol, Encik Lim berkata ia "berpusat di sekitar bekas SMC Punggol-West", yang ditandingi WP pada 2020.

"Kami akan bercakap dengan jujur dan ikhlas dengan Parti Pekerja mengenai perubahan sempadan ini. Dan bagaimana, bersama-sama, kami boleh mengemukakan satu susunan yang dapat memastikan kesejahteraan penduduk Punggol (diutamakan)," katanya.

Setiausaha Agung Parti Kuasa Rakyat (PPP), Goh Meng Seng, sementara itu, berkata partinya "kecewa" dengan laporan EBRC, yang menurutnya "nampaknya berat sebelah demi melindungi kepentingan pilihan raya (PAP)".

Namun, beliau berkata PPP bersedia untuk bertanding di SMC baharu di Jalan Kayu dan Tampines Changkat, serta GRC di Ang Mo Kio, Nee Soon dan Tampines.

Juga sebahagian daripada landskap pembangkang ialah "The Coalition", satu pakatan tidak rasmi yang dibentuk pada Oktober 2023, yang terdiri daripada Parti Solidariti Nasional (NSP), Parti Titik Merah Bersatu (RDU), Parti Rakyat Singapura (SPP) dan Parti Bersatu Singapura (SUP).

Setiausaha Agung RDU, Ravi Philemon, melahirkan "kekecewaan mendalam" dengan bagaimana laporan EBRC terkini, menurutnya, "telah mengubah landskap politik di barat Singapura secara drastik", terutamanya memberi kesan terhadap GRC Jurong. Menurutnya, RDU telah membina hubungan yang kukuh dengan penduduk di sana.

GRC Jurong telah diubah menjadi GRC Jurong East-Bukit Batok, SMC Jurong Central dan GRC West Coast-Jurong West.

Encik Philemon berkata, hasrat RDU pada peringkat ini adalah untuk bertanding di GRC Jurong East-Bukit Batok, Nee Soon dan Tanjong Pagar, serta SMC Jurong Central, Jalan Kayu dan Radin Mas.

Beliau juga berkata semakan ERBC itu "kelihatan memberi kesan yang tidak seimbang kepada kawasan yang ditandingi pembangkang di barat", terutamanya di GRC West Coast dan SMC Bukit Batok, yang dimenangi oleh PAP dengan 51.68 peratus dan 54.8 peratus masing-masing pada pilihan raya 2020.

"Penambahan GRC dan SMC baharu di kawasan-kawasan ini telah melemahkan pengaruh pembangkang yang kukuh, dan niatnya jelas untuk mencipta persaingan antara parti-parti pembangkang yang aktif di kawasan tersebut," kata beliau.

SPP memberitahu Mediacorp bahawa walaupun ia memerlukan masa untuk mengkaji laporan dan cadangan EBRC, pendirian awal mereka adalah untuk bersedia bertanding di SMC Potong Pasir dan GRC Bishan-Toa Payoh.

SPP telah bertanding di GRC Bishan-Toa Payoh sejak 2011. Bagi Potong Pasir, parti itu mempunyai sejarah panjang dengan SMC tersebut. Bekas setiausaha agung SPP, Chiam See Tong, mewakili SMC tersebut dari 1984 hingga 2011, pertama sebagai sebahagian daripada SDP dan kemudian, sejak 1997, dengan SPP sebelum melepaskan jawatan pada 2019.

Setiausaha Agung SUP, Andy Zhu, mengatakan bahawa GRC Ang Mo Kio dan SMC Kebun Baru serta Yio Chu Kang, yang telah menjadi sasaran partinya, "masih ada."

"Oleh itu, saya boleh katakan bahawa pengumuman sempadan tidak begitu mempengaruhi perancangan SUP. Walau bagaimanapun, keadaan masih lagi berubah pada masa ini," katanya.

Encik Zhu berkata, SUP akan bekerjasama dengan parti-parti pembangkang lain untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru atau lebih, dan akan mengumumkan rancangan mereka apabila pilihan raya diumumkan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan