Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GE2025: WP parti ‘kecil’ yang perlu terima keadaan, rahsiakan strategi, kata Pritam Singh

Sebagai sebuah parti yang “harus menerima keadaan” (price-taker) dan “sangat kecil”, Parti Pekerja (WP) perlu berhati-hati dalam menyusun langkah dan strategi, kata ketua parti pembangkang itu, Pritam Singh, pada Ahad (20 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: WP parti ‘kecil’ yang perlu terima keadaan, rahsiakan strategi, kata Pritam Singh

Ketua Parti Pekerja, Pritam Singh, bercakap kepada media di Ibu Pejabat Parti Pekerja di Geylang pada 19 April 2025. (Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)

SINGAPURA: Sebagai sebuah parti yang “harus menerima keadaan” (price-taker) dan “sangat kecil”, Parti Pekerja (WP) perlu berhati-hati dalam menyusun langkah dan strategi, kata ketua parti pembangkang itu, Pritam Singh, pada Ahad (20 Apr).

Encik Singh berkata demikian semasa sidang media di ibu pejabat WP, di mana parti itu memperkenalkan kumpulan terakhir calon-calon baharunya yang berpotensi menjelang Pilihan Raya Umum Singapura pada 3 Mei.

WP memperkenalkan 14 muka baharu sejak empat hari lalu, tetapi masih belum mengumumkan kawasan-kawasan di mana mereka bakal bertanding atau jumlah keseluruhan calon-calon yang bakal diketengahkan dalam pilihan raya kali ini.

Apabila ditanya bagaimana parti itu mengimbangi strategi politik dengan keperluan untuk memberi masa kepada para pengundi untuk mengenali calon baharu, Encik Singh menyifatkan WP sebagai "price-taker".

“Saya katakan sedemikian dalam konteks, misalnya, Jawatankuasa Semakan Sempadan Kawasan Undi (EBRC). Apabila sempadan kawasan undi dilakar semula, saya harap para pengundi faham bahawa kami perlu menentukan apakah peluang terbaik untuk Parti Pekerja berjaya,” jelasnya.

Beliau mengakui bahawa ia adalah "satu keputusan yang sukar" dan apa yang dilakukan parti adalah untuk terus turun padang dan berusaha sedaya upaya untuk mendampingi seramai mungkin rakyat Singapura.

Setiausaha Agung WP itu turut berkongsi bahawa beliau telah berbual dengan ramai rakyat Singapura dan bertanya pandangan mereka mengenai pendekatan parti pembangkang yang tidak mendedahkan semua perancangannya lebih awal, dan menerima jawapan yang dianggapnya “cukup membuka mata”.

“Mereka kata: ‘Encik Singh, kami kenal parti ini. Kami tahu apa yang ia perjuangkan. Kami tahu kerja yang dilakukan parti ini, dan apa yang kami harapkan adalah seorang calon yang komited untuk berkhidmat dengan baik di kawasan undi berkenaan, dan lebih penting lagi, berkhidmat untuk kami di parlimen. Tanya soalan yang tidak ditanyakan di parlimen’,” katanya kepada wartawan.

“Jadi saya berpegang kuat pada panduan ini, jika boleh saya menganggapnya begitu... ia sesuatu yang sangat dekat di hati saya, dan kami sentiasa berusaha meletakkan calon terbaik dalam setiap pasukan kami, dan mereka semua adalah individu yang boleh dibanggakan rakyat Singapura.”

Parti Tindakan Rakyat (PAP) selaku parti pemerintah juga masih belum mendedahkan senarai calon bagi beberapa kawasan tumpuan yang dijangka menyaksikan saingan sengit dengan WP, termasuk Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan (GRC) East Coast dan GRC Punggol.

Apabila ditanya mengenai pendekatan berhati-hati kedua-dua parti, Encik Singh berkata WP “sangat berhati-hati” tentang isyarat yang dihantarnya kepada orang ramai.

“Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa kami adalah sebuah parti yang sangat kecil. Jadi, kami perlu berhati-hati dalam melaksanakan strategi kami,” ujar beliau.

“Kami juga tidak mahu terburu-buru membuat rancangan, kerana matlamat utama kami adalah untuk menampilkan calon-calon yang berkualiti… supaya para pengundi dapat menilai dengan serius usul-usul yang akan mereka bentangkan.”

“Saya percaya semuanya akan menjadi lebih jelas dalam beberapa hari lagi, dan saya menantikan saingan yang baik daripada para calon kami.”

"NILAI TAMBAH" WP

Pemimpin WP turut ditanya pada Ahad mengenai usaha naik taraf estet dan pelan induk yang diumumkan PAP di beberapa kawasan, serta bagaimana WP mempersiapkan calon-calonnya untuk memberi respons.

Berhubung perkara tersebut, pengerusi parti, Sylvia Lim, menarik perhatian bahawa majlis bandaran di kawasan yang diterajui WP juga telah mengumumkan pelan induk lima tahun mereka.

Bagi kawasan di mana mereka akan bertanding, dan di mana mereka bukan pihak penyandang, Cik Lim berkata para pengundi memahami bahawa nilai tambah WP terletak pada apa yang boleh dibawa parti tersebut ke parlimen.

“Mereka faham perlunya ada semakan parlimen terhadap apa yang dilakukan pemerintah,” katanya. “Mereka faham mengapa ia tidak baik bagi sesebuah negara, jika parlimen dikuasai oleh satu parti sahaja, dan dari masa ke masa, kita lihat pengundi menghargai perkara berkenaan.”

Cik Lim turut menambah bahawa parti itu telah meraih "lebih banyak pengalaman” dalam pengurusan majlis bandaran dan dapat berkongsi pengalaman tersebut dengan Anggota Parlimen yang baru dipilih, sekiranya mereka berjaya memenangi kawasan baharu.

“Jika kami diberi peluang untuk menang di kawasan baharu, kami akan mula bertugas dari hari pertama.”

Namun begitu, katanya, adalah “terlalu awal” untuk mengharapkan calon pembangkang membentangkan pelan lima tahun bagi kawasan yang mereka tandingi, kerana tindakan tersebut memerlukan pemahaman tentang cara agensi pemerintah meluluskan pelan serta jenis pembiayaan yang tersedia, antara lain.

“Jadi, inilah hakikatnya, tetapi ia tidak menghalang kami daripada bertanding dan berusaha bersungguh-sungguh di semua kawasan di mana kami akan bertanding.”

Menjawab satu lagi soalan sama ada ia bermaksud WP akan menumpukan kempen pilihan raya pada prestasi di parlimen, Cik Lim menegaskan bahawa parti itu telah membina pengalaman dalam pengurusan majlis bandaran selepas sedekad mengurus kawasan mereka sendiri.

“Apa yang boleh saya katakan kepada penduduk ialah mereka tidak perlu risau sekiranya kami mengambil alih sesuatu kawasan, sekiranya mereka merasakan WP layak menerima undi mereka.”

Beliau turut merujuk kepada penilaian tahunan oleh Kementerian Pembangunan Negara, di mana majlis bandaran Aljunied-Hougang dan Sengkang dinilai setanding dengan majlis yang dikendalikan PAP.

Kedua-duanya menerima penilaian tertinggi bagi tadbir urus korporat dalam laporan terbaru mengenai pengurusan majlis bandaran yang dikeluarkan pada Disember lalu. Mereka juga menerima penarafan hijau dalam laporan terdahulu yang dikeluarkan pada Jun, yang menilai operasi majlis bandaran seperti kebersihan estet dan penyelenggaraannya.

“Tetapi sudah tentu, kepercayaan asas kami ialah kami menyumbang sesuatu di parlimen yang saya rasa tidak dapat dilakukan oleh Anggota Parlimen PAP, iaitu topik yang kami bangkitkan, soalan yang kami ajukan atau malah cara kami mengundi. Kami melakukannya secara bebas,” tambah Cik Lim.

“Kami tidak perlu menjawab kepada pemerintah tentang cara kami lakukan perkara-perkara ini. Kami boleh tanya soalan yang sesetengah pihak mungkin anggap sensitif. Tumpuan kami sentiasa pada perkara yang perlu dilakukan demi kepentingan negara.

“Jadi, saya akan katakan bahawa jika kita berbicara tentang nilai tambah yang unik, ia terletak pada apa yang kami bawa ke parlimen.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan