Skip to main content

Singapura

GE2025: WP lancar manifesto, gesa pengecualian GST, gaji minimum dan cukai kekayaan

Parti Pekerja (WP) pada Khamis (17 Apr) melancarkan manifesto bagi Pilihan Raya Umum pada Mei, dengan antara lain menggesa agar pengecualian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan, gaji minimum dilaksanakan dan cukai kekayaan diperkenalkan.

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 17 Apr 2025 02:52PM Dikemas Kini : 17 Apr 2025 10:46PM
SINGAPURA: Parti Pekerja (WP) pada Khamis (17 Apr) melancarkan manifesto bagi Pilihan Raya Umum pada Mei, dengan antara lain menggesa agar pengecualian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) diperkenalkan, gaji minimum dilaksanakan dan cukai kekayaan diperkenalkan.

Manifesto yang merangkumi pelbagai bidang itu dibahagikan kepada lima bahagian, termasuk isu kemampuan dan kos sara hidup, pertumbuhan ekonomi dan peluang, serta isu inklusiviti dan kesamaan.

Parti itu turut menggariskan isu kebertanggungjawaban dan demokrasi, serta keselamatan dan geopolitik dalam manifesto yang bertajuk “Berkhidmat untuk Singapura.”

Antara 125 usulan dasar yang dikemukakan termasuk saranan untuk menghapuskan jawatan Datuk Bandar, memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), serta memperkenalkan akta bagi kebebasan maklumat.

Dalam ucapan pembukaan manifesto tersebut, ketua WP Pritam Singh berkata bahawa sistem politik Singapura direka bentuk untuk membolehkan kehadiran pembangkang di Parlimen — pembangkang yang setia — yang berkhidmat demi kepentingan negara.

"Untuk ditegaskan: ini sememangnya disengajakan," tulisnya.

"Pembangkang yang setia wujud untuk mengingatkan kita bahawa mana-mana rakyat Singapura boleh mempunyai pandangan yang berbeza daripada PAP secara sah. Dan tiada apa-apa yang salah atau tidak setia tentang perkara itu."

Beliau menambah bahawa “masih banyak kerja yang perlu dilakukan,”
contohnya untuk membantu rakyat Singapura yang terpinggir dan mengetengahkan idea dasar yang inovatif demi menampung pelbagai aspirasi masyarakat.

Manifesto parti itu, menurut Encik Pritam, merupakan “sumbangan sederhana” ke arah usaha tersebut.

Pelancaran manifesto parti pembangkang terbesar Singapura itu dibuat beberapa hari selepas tarikh Hari Penamaan Calon (23 April) dan Hari Mengundi (3 Mei) diumumkan.

WP, yang mempunyai lapan AP sebelum Parlimen dibubarkan, turut memperkenalkan slogan kempen mereka: “Berkhidmat untuk Singapura.”

Parti itu kemudian menyorot 15 dasar yang menurutnya pernah diperjuangkan WP dan kemudiannya diguna pakai oleh pemerintah “dalam beberapa bentuk”.

Ini dikatakan merangkumi bidang seperti bantuan pengangguran, perumahan, penjagaan kesihatan, penipuan, sistem keadilan dan keperluan tenaga.

Seorang pakar politik menyifatkan langkah itu sebagai usaha untuk “mewujudkan penerimaan yang lebih positif” terhadap manifesto mereka.

Pada Pilihan Raya Umum 2020, manifesto WP setebal 39 muka surat, disusun dalam lima bab, setiap satu dengan beberapa cadangan.

Antara cadangan utamanya ketika itu adalah untuk membatalkan kenaikan GST, memperkenalkan gaji minimum nasional, dan membenarkan golongan bujang membeli flat Bina Ikut Tempahan (BTO) pada usia 28 tahun berbanding had umur semasa iaitu 35 tahun.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita