Skip to main content

Singapura

GE2025: WP dakwa 15 saranannya diterima pakai 'dalam beberapa bentuk' dasar pemerintah

Parti Pekerja (WP) pada Rabu (16 Apr) mengeluarkan senarai 15 dasar yang didakwanya telah diusulkannya, yang kemudian diterima pakai "dalam beberapa bentuk" oleh Pemerintah, termasuk isu-isu berkaitan perumahan, pengangkutan dan sokongan pekerjaan.

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: WP dakwa 15 saranannya diterima pakai 'dalam beberapa bentuk' dasar pemerintah

Gambar Anggota Parlimen Parti Pekerja yang dimuat naik oleh ketua pembangkang Pritam Singh pada 15 April 2025. (Gambar: Facebook/Pritam Singh)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 16 Apr 2025 10:15PM Dikemas Kini : 16 Apr 2025 10:20PM
SINGAPURA: Parti Pekerja (WP) pada Rabu (16 Apr) mengeluarkan senarai 15 dasar yang didakwanya telah diusulkannya, yang kemudian diterima pakai "dalam beberapa bentuk" oleh Pemerintah, termasuk isu-isu berkaitan perumahan, pengangkutan dan sokongan pekerjaan.

Dalam catatan Facebooknya, parti pembangkang itu menyatakan walaupun ia bukan pemerintah, banyak saranannya akhirnya diterima pakai sedikit sebanyak, yang akhirnya memberi manfaat kepada rakyat Singapura.

"Ini bukan hanya kemenangan dasar untuk Parti Pekerja - ia adalah kemenangan untuk kita semua," tulisnya.

"Pembangkang yang membina dan rasional bermanfaat untuk Singapura. Parti Pekerja #WorkingforSingapore," tambahnya, dengan merujuk kepada slogan kempennya yang diumumkan sehari sebelumnya.

Profesor Madya Eugene Tan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) berkata WP "sedang berusaha untuk membuat (dakwaan) bahawa mereka adalah parti pembangkang yang berkesan sehingga Pemerintah telah menerima pakai 15 idea dasar utamanya".

"Secara tidak langsung, mereka (WP) menunjukkan bahawa mereka boleh melakukan lebih banyak lagi dengan lebih ramai Anggota Parlimen," tambah Prof Madya Tan, daripada fakulti undang-undang universiti tersebut.

Ditanya oleh Mediacorp jika catatan itu boleh dilihat sebagai permulaan strategi kempen parti tersebut, Prof Madya Tan bersetuju.

Beliau menambah bahawa parti itu sedang "mempersiapkan pentas" untuk tema mereka "bekerja untuk anda" dengan penekanan bahawa mereka mahu berkhidmat kepada pengundi.

Prof Madya Tan juga berkata bahawa catatan itu juga boleh dianggap sebagai "mesej utama bersaiz kecil" untuk "memudahkan usaha mendapatkan sokongan" bagi manifesto WP, yang masih belum diumumkan oleh parti itu.

Catatan WP itu dimuat naik sehari selepas Presiden Tharman Shanmugaratnam membubarkan Parlimen dan tarikh untuk Hari Penamaan Calon dan Hari Mengundi telah dimaklumkan kepada rakyat Singapura. Hari Penamaan Calon akan diadakan pada 23 Apr manakala rakyat Singapura akan keluar mengundi pada 3 Mei.

Dalam catatan Facebooknya, WP memberi contoh saranan dasar mereka dalam bidang faedah pengangguran, perumahan, penjagaan kesihatan, penipuan, serta sistem keadilan negara dan keperluan tenaga, antara lain.

Mengenai insurans pengangguran, WP mendakwa bahawa ia telah membuat gesaan ini dalam manifestonya sebelum ini, termasuk menerbitkan kertas dasar yang menggariskan butiran skim yang disarankannya itu.

Semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun lalu, Perdana Menteri Lawrence Wong memperkenalkan skim baharu Bantuan Pemohon Kerja SkillsFuture untuk membantu pekerja berpendapatan rendah dan sederhana yang kehilangan pekerjaan.

Mereka yang berjaya memohon di bawah skim itu - yang pertama seumpamanya di Singapura - akan menerima pembayaran dihadkan pada maksimum S$6,000 dalam tempoh enam bulan.

WP juga mendakwa bahawa ia mengusulkan cuti ibu bapa bersama selama 24 minggu dalam manifestonya pada 2020 dan mengulangi gesaan untuk menggalakkan peranan keibubapaan yang sama pada tahun itu dan kemudian pada 2022.

Mediacorp telah menghubungi Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk mendapatkan ulasan.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita