Skip to main content

Singapura

GE2025: WP akan tanding kurang sepertiga kerusi Parlimen

Parti Pekerja (WP) akan bertanding kurang daripada sepertiga daripada 97 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum akan datang (GE2025) pada 3 Mei.

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: WP akan tanding kurang sepertiga kerusi Parlimen

Ketua Parti Pekerja Pritam Singh menjawab soalan dari pihak media semasa pelancaran manifesto WP di ibu pejabat Parti Pekerja pada 17 Apr 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)

SINGAPURA: Parti Pekerja (WP) akan bertanding kurang daripada sepertiga daripada 97 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum akan datang (GE2025) pada 3 Mei.

Ini dimaklumkan oleh ketua parti Pritam Singh pada Khamis (17 Apr) semasa sidang media di mana WP melancarkan manifestonya dan memperkenalkan empat calon baharu.

Sungguhpun demikian, beliau tidak pula menyatakan jumlah calon yang ditampilkan atau kawasan undi mana yang akan ditandingi, hanya berkata bahawa ia akan diumumkan apabila sudah tiba masanya kelak.

WP sebelum ini menyatakan pada 2019 bahawa objektif jangka sederhananya adalah untuk bertanding dan memenangi sepertiga daripada kerusi Parlimen.

Menjawab soalan sama ada ia kekal sebagai matlamat parti tersebut bagi GE2025, Encik Pritam berkata: "Objektif jangka sederhana ialah satu pertiga Anggota Parlimen pembangkang di Parlimen dan ... saya katakan bahawa kita tidak akan dapat memenuhi satu pertiga bilangan calon untuk mengisi sepertiga Parlimen (dengan) Anggota Parlimen pembangkang."

"Objektif yang lebih besar adalah untuk memastikan kami menubuhkan pasukan dan individu yang baik yang benar-benar boleh bekerja demi kepentingan Singapura dan rakyatnya," tambah Encik Pritam.

Pada Pilihan Raya Umum yang lalu pada 2020 (GE2020), WP membariskan seramai 21 calon berbanding 28 pada GE2015.

WP bertanding di SMC Hougang dan Punggol West serta GRC Sengkang, Aljunied, East Coast dan Marine Parade pada GE2020 - dengan kesemua kawasan undi itu terletak di timur atau timur laut Singapura.

Ia meningkatkan margin sokongannya di SMC Hougang dan GRC Aljunied dan memperoleh empat kerusi baharu di Parlimen dengan kemenangan di GRC Sengkang.

WP mungkin bertanding di GRC Punggol yang baru diwujudkan serta kawasan undi lain di Tampines, sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya di bahagian timur dan timur laut, menurut orang dalam parti dan penganalisis kepada Mediacorp sebelum ini.

Ini menjadikan jumlah calon WP bagi pilihan raya tahun ini kepada 30 - masih di bawah 32 untuk membentuk sepertiga kerusi Parlimen.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita