GE2025: Vivian Balakrishnan akan terajui pasukan PAP bagi GRC Holland-Bukit Timah; anggota pasukan dikekalkan
Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan akan sekali lagi menerajui pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang bakal bertanding di GRC Holland-Bukit Timah dalam Pilihan Raya Umum akan datang (GE2025).

Pasukan PAP bagi GRC Holland-Bukit Timah dan SMC Bukit Panjang (mengikut arah jam dari kiri, atas): Encik Edward Chia, Cik Sim Ann, Encik Christopher de Souza, Encik Liang Eng Hwa dan Dr Vivian Balakrishnan di Kolam Pang Sua pada 15 April 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Turut menganggotai pasukannya ialah Menteri Negara Kanan Ehwal Luar merangkap Pembangunan Negara Sim Ann, Timbalan Speaker Parlimen Christopher de Souza dan Anggota Parlimen Edward Chia – yang akan membentuk pasukan empat anggota yang sama yang memperoleh 66.36 peratus undi pada 2020, mengalahkan Parti Demokratik Singapura (SDP).
SDP dalam pilihan raya itu terdiri daripada Cik Min Cheong, Dr James Gomez, Encik Alfred Tan dan Encik Tan Jee Say.
"Kami adalah sebuah pasukan yang telah diuji, penduduk kami mengenali kami. Kami sudah lama berkhidmat di sini," kata Dr Balakrishnan pada Selasa (15 Apr), sedang beliau memperkenalkan pasukan PAP di pentas persembahan Pang Sua Pond.
"Kami sentiasa bersama penduduk kami, mendengar idea mereka, kebimbangan mereka, harapan mereka, aspirasi mereka," kata Dr Balakrishnan.
Dr Balakrishnan telah bertanding di GRC Holland-Bukit Timah sejak ia ditubuhkan pada 2006, selepas pertama kali menceburi politik pada 2001 melalui GRC Holland-Bukit Panjang ketika itu.
Encik de Souza, seorang peguam, memasuki politik pada 2006, manakala Cik Sim membuat penampilan sulungnya pada 2011. Kedua-duanya kekal bersama GRC tersebut sejak itu. Encik Chia, seorang ahli perniagaan, bertanding dalam Pilihan Raya Umum pada 2020 (GE2020), menggantikan Encik Liang Eng Hwa, yang berpindah ke SMC Bukit Panjang.
GRC Holland-Bukit Timah telah melalui sedikit perubahan pada sempadan kawasan undinya menjelang GE2025. Dua estet baharu HDB di Choa Chu Kang – Rail Green I dan II @ CCK – telah diserapkan ke dalam GRC Chua Chu Kang. Kawasan timur Upper Bukit Timah Road telah dipindahkan dari GRC Jurong ke GRC Holland-Bukit Timah.
Lantaran itu, jumlah pengundi sudah meningkat dari 114,973 pada 2020 kepada sekitar 122,891 pengundi pada 2025.
Parti pembangkang, Titik Merah Bersatu (RDU) mengumumkan awal bulan ini tentang hasratnya untuk bertanding di GRC tersebut tetapi mungkin memberi laluan kepada SDP. Setiausaha Agung RDU Ravi Philemon berkata SDP masih menimbangkan kemungkinan untuk bertanding di sana, seperti yang telah dilakukan sejak tiga pilihan raya lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.