Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GE2025: Tunas Bersama M³ bukan satu platform politik untuk PAP cari muka baharu Melayu/Islam - Zaqy

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: Tunas Bersama M³ bukan satu platform politik untuk PAP cari muka baharu Melayu/Islam - Zaqy

Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Tenaga Manusia Zaqy Mohamad. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

SINGAPURA: Program Tunas Bersama M³ bukanlah satu platform politik untuk Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Demikian ditekankan Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Tenaga Manusia Zaqy Mohamad pada Sabtu (12 Apr) dalam satu sesi bersama media untuk memperkenalkan barisan calon PAP bagi GRC Marsiling-Yew Tee.

Barisan calon PAP bagi GRC Marsiling-Yew Tee. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Dalam sesi tersebut, Perdana Menteri Lawrence Wong yang juga merupakan Setiausaha Agung PAP mendedahkan bahawa parti itu akan menampilkan lebih 30 muka baharu dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Antaranya yang sudah diperkenalkan ialah Presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) yang juga merupakan mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Dr Syed Harun Alhabsyi, dan mantan Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Hazlina Abdul Halim.

WAJAH BAHARU PAP; DR SYED HARUN, HAZLINA DARIPADA KOHORT PERTAMA TUNAS BERSAMA M³

Encik Masagos bersama Kohort pertama Tunas Bersama M³, termasuk Cik Hazlina Abdul Halim (sebelah kanan Encik Masagos) dan Dr Syed Harun (sebelah kanan Cik Hazlina) (Gambar: MENDAKI)

Kedua-dua muka baharu itu merupakan sebahagian daripada kohort pertama program Tunas Bersama M³, kelolaan MENDAKI yang dimulakan pada 2022.

Ditanya jika program tersebut merupakan antara platform untuk mencari calon-calon Melayu PAP yang baharu, ini jawapan Encik Zaqy:

"Bagi kami, Tunas adalah satu platform di mana kita ingin meningkatkan lagi prestasi kepimpinan dalam Badan-badan Melayu/Islam (MMO) kita. Melalui program Tunas, kita dapat memberikan latihan eksekutif bagi mereka dalam masa 18 bulan tetapi ia bukanlah satu platform untuk PAP, semestinya bukan. Ini adalah satu platform yang dibangunkan oleh MENDAKI dan M³, di mana kita memberi pelaburan kepada kemahiran mereka dan bagaimana ia dapat membangunkan MMO kita."

Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Tenaga Manusia Zaqy Mohamad. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

"Kita berharap dengan platform ini, mungkin ada di antara mereka telah menjadi pemimpin MMO mereka seperti Cik Hazlina, yang menjadi pemimpin, Presiden PPIS dan Dr Syed Harun bagi Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM). Ini juga menunjukkan bahawa dalam kepimpinan MMO kita hari ini, kita mempunyai karyawan-karyawan yang berkebolehan dan mempunyai kebolehan bukan sahaja untuk memimpin MMO, bahkan ada di antara mereka yang dapat menjadi pemimpin masyarakat juga dan insya-Allah mungkin pemimpin negara juga, saya tidak tahu," tambah beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi MENDAKI.

TIADA SATU PLATFORM UNTUK PENGAMBILAN PAP

Perdana Menteri Lawrence Wong. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

PM Wong juga menjelaskan bahawa PAP mencari calon baharu berdasarkan kebolehan mereka untuk berkhidmat untuk rakyat Singapura.

"Tiada satu platform tunggal untuk cari calon baharu oleh kita, sama ada untuk masyarakat Melayu/Islam, sama ada untuk calon-calon Cina atau India. Kami melihat pada seluruh masyarakat. Kami melihat individu-individu yang berkhidmat dalam masyarakat, dalam sektor swasta dan perkhidmatan awam dan kami sentiasa mencari individu yang berkebolehan tetapi yang penting, mereka yang mempunyai keinginan yang benar-benar untuk berkhidmat dan berkhidmat untuk rakyat Singapura."

"Jadi inilah yang telah kami lakukan sepanjang tahun sebelumnya atau lebih, bekerja keras, menggandakan usaha kami untuk mendekati individu dan melakarkan usaha kuat untuk memperbaharui dan menyegarkan parti."

Dalam satu video yang dimuatnaikkan ke media sosial hari ini, PM Wong juga mendedahkan lapan muka baharu PAP.

Mereka ialah:

1. Dr Hamid Razak - Konsultan pakar bedah ortopedik
2. Shawn Loh - Pengarah Belanjawan bagi 2024 dan 2025
3. Goh Hanyan - Mantan Pengarah MDDI
4. Cassandra Lee - Peguam
5. Diana Pang - Pengarah pembangunan perniagaan
6. Goh Pei Ming - Mantan Ketua Turus SAF
7. Jasmin Lau - Mantan Timbalan Setiausaha (Dasar-dasar) MOH
8. Ng Shi Xuan - Pengarah syarikat bateri Powermark Battery & Hardware

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan