Skip to main content

Singapura

GE2025: Tolak politik negatif & serangan terhadap calon tertentu; DPM Gan banyak tabur bakti kepada SG: PM Wong

Perdana Menteri Lawrence Wong membidas "serangan negatif terhadap beberapa individu" dan menyifatkan nada kempen Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) sebagai "sesuatu yang dikesali" selepas sesetengah calon yang berucap di rapat pilihan raya Parti Pekerja (WP) pada 28 April lalu mengkritik Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong dan anggota lain dalam pasukan PAP yang bertanding di GRC Punggol.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 Apr 2025 07:57AM Dikemas Kini : 01 May 2025 12:53AM
SINGAPURA: Perdana Menteri Lawrence Wong membidas "serangan negatif terhadap beberapa individu" dan menyifatkan nada kempen Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) sebagai "sesuatu yang dikesali" selepas sesetengah calon yang berucap di rapat pilihan raya Parti Pekerja (WP) pada 28 April lalu mengkritik Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong dan anggota lain dalam pasukan PAP yang bertanding di GRC Punggol.

Bercakap kepada para wartawan di One Punggol pada Selasa (29 Apr), PM Wong berkata beliau "terkejut" dengan "nada negatif" yang dipaparkan oleh Parti Pekerja (WP) terhadap DPM Gan dalam rapat pilihan raya WP, di mana mereka mempersoalkan keupayaan DPM Gan dan kepentingan DPM Gan kepada Kabinet.

DPM Gan bertanding di GRC Punggol selepas berpindah dari GRC Chua Chu Kang.

Dalam responsnya, PM Wong berkata mereka mungkin mempunyai pendapat yang berbeza, namun "tidak perlu melancarkan serangan negatif terhadap individu", terutama sekali ke atas seseorang yang telah banyak berbakti kepada Singapura.

"Saya menjadikan beliau (DPM Gan) orang kuat dan timbalan saya, kerana saya pernah melihat cara beliau bekerja," kata PM Wong, sambil merujuk kepada kerja keras DPM Gan dalam pasukan bertindak berbilang kementerian bagi menangani pandemik COVID-19.

Beliau juga membalas dakwaan WP mengenai perjanjian NTUC Income-Allianz yang sudahpun dibatalkan, sambil berkata DPM Gan sebagai pengerusi Penguasa Kewangan Singapura (MAS) telah mengusulkan undang-undang baharu yang "membolehkan (pemerintah) untuk menyekat perjanjian itu."

Selain itu, PM Wong turut menekankan peranan penting DPM Gan dalam menangani isu-isu antarabangsa seperti perang dagang.

"Saya kecewa kerana WP membuat serangan negatif sedemikian terhadap seseorang yang telah meluangkan banyak masa menangani isu-isu peringkat nasional, cuba memperbaiki keadaan, telah melakukan banyak untuk Singapura dan terus berbuat demikian untuk negara ini."

PM Wong juga berkata beliau terkejut dengan pendirian WP yang memandang ringan terhadap risiko kehilangan menteri.

Beliau juga mengemukakan pertanyaan kepada WP mengenai siapakah yang akan mengambil alih tugas-tugas penting sedemikian.

"Jika anda menyokong pasukan PAP, anda menyokong sebuah pasukan yang mempunyai integriti, kejujuran dan kebolehpercayaan, sebuah pasukan yang anda tahu mempunyai rekod prestasti terbukti yang akan berusaha sedaya upaya untuk mempertingkatkan mutu kehidupan anda.

"Jadi saya mohon kepada anda supaya mempertimbangkan undi anda dengan teliti dan menyokong pasukan PAP yang boleh dipercayai," kata PM Wong.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita