Skip to main content

Singapura

GE2025: 'Tidak masuk akal' WP pandang ringan terhadap kehilangan menteri, tegas SM Lee

Menteri Kanan Lee Hsien Loong pada Selasa (29 Apr) menyifatkan percubaan oleh Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) Pritam Singh baru-baru ini untuk memperkecilkan kehilangan menteri Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Pilihan Raya Umum kali ini sebagai sesuatu yang "tidak masuk akal".

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 29 Apr 2025 01:46PM Dikemas Kini : 01 May 2025 01:14AM
SINGAPURA: Menteri Kanan Lee Hsien Loong pada Selasa (29 Apr) menyifatkan percubaan oleh Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) Pritam Singh baru-baru ini untuk memperkecilkan kehilangan menteri Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Pilihan Raya Umum kali ini sebagai sesuatu yang "tidak masuk akal".

Pada hujung minggu lalu, Encik Pritam berkata "PAP sangat lemah" jika parti pemerintah itu menyatakan bahawa ia memerlukan 90 peratus kerusi Parlimen untuk mentadbir negara dengan betul.

Pada Isnin (28 Apr), Encik Pritam berkata ia adalah 'hujah yang lemah' untuk mengatakan bahawa rakyat Singapura akan kehilanga lebih ramai menteri jika lebih ramai anggota pembangkang diundi masuk ke Parlimen.

Encik Pritam berkata Kementerian Ehwal Luar (MFA) tidak 'hilang arah begitu sahaja' apabila Menteri Ehwal Luar George Yeo hilang kerusinya di Parlimen dalam Pilihan Raya Umum 2011 (GE2011).

Ketua parti pembangkang itu berkata demikian dalam responsnya terhadap ucapan rapat pilihan raya Perdana Menteri Lawrence Wong di Chua Chu Kang pada Sabtu malam.

PM Wong berkata dalam ucapannya bahawa jika lebih ramai calon pembangkang diundi masuk ke Parlimen, ini mungkin bermakna Singapura akan kehilangan pemegang jawatan politik yang berpotensi dan melemahkan pemerintah PAP.

Encik Pritam juga memberikan komen terhadap ucapan SM Lee semasa rapat pilihan raya PAP pada Ahad malam, di mana SM Lee berkata "kehilangan menteri utama" seperti Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong dalam Pilihan Raya Umum ini, boleh "menimbulkan banyak masalah" kepada Singapura.

Encik Gan dikerahkan pada saat-saat akhir untuk merajui pasukan PAP di GRC Punggol.

Pasukan PAP terdiri daripada tiga pemegang jawatan politik yang akan bersaing dengan calon WP, antara lain, termasuk Peguam Kanan Harpreet Singh.

Apabila ditanya oleh para wartawan pada Selasa (29 Apr) mengenai komen Encik Pritam, SM Lee menjawab: "Ia adalah hujah yang tidak masuk akal."

Menurut SM Lee, setiap pasukan akan mempunyai anggota yang lebih penting dan anggota-anggota lain memainkan peranan sebagai pelengkap.

"Tidak kira siapa sahaja dalam pasukan, maka tidak ada kesukaran untuk membentuk pemerintah yang baik dengan sesiapa sahaja. Anda tidak perlu mengumpulkan pasukan yang kuat," kata SM Lee.

"Bagaimanapun, beliau perlu berkata demikian kerana beliau mahu menyingkirkan Encik Gan Kim Yong, dan beliau tidak boleh mengatakan "Encik Gan Kim Yong seorang menteri yang penting, namun begitu, undilah saya.' Jadi beliau perlu berkata demikian."

SM Lee menegaskan demikian kepada pihak media di akhir lawatannya ke GRC Aljunied yang dipegang oleh WP sejak 2011.

Tahun ini, hampir kesemua calon PAP yang bertanding di kawasan undi itu adalah muka baharu.

Cik Chan Hui Yuh, yang bertanding di kawasan undi itu pada 2020, akan memimpin empat muka baharu: ahli kesatuan sekerja Jagathishwaran Rajo; pengarah urusan perundingan perancangan bandar Daniel Liu; pengarah syarikat Adrian Ang, 41; dan pakar bedah pergigian Dr Faisal Abdul Aziz.

Mereka akan bersaing dengan pasukan WP yang diterajui oleh Encik Pritam, yang terdiri daripada pengerusi parti Sylvia Lim, mantan AP Gerald Giam, timbalan setiausaha penganjur parti Fadli Fawzi dan muka baharu Kenneth Tiong.

WP mempertahankan kerusi GRC Aljunied dengan kemenangan tipis 59.9 peratus undi dalam Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020).

PAP PANDANG SERIUS TERHADAP PERSAINGAN DI ALJUNIED, TAMPINES

SM Lee yang menerajui pasukan PAP di GRC Ang Mo Kio, dijadual melakukan lawatan ke GRC Aljunied dan Tampines.

Secara berasingan, PM Wong yang memimpin pasukan PAP di GRC Marsiling-Yew Tee juga dijadual mengadakan lawatan ke Punggol pada Selasa (29 Apr).

Apabila ditanya oleh pihak media mengapa pemimpin kanan PAP dan muka-muka yang sudah dikenali ramai mengadakan lawatan ke kawasan-kawasan itu, SM Lee berkata kawasan undi membuat permintaan tersebut dan "kami mempunyai kelapangan masa."

"Dan kami fikir ia adalah kawasan undi yang menunjukkan sokongan... untuk menunjukkan kepada para pengundi bahawa kita memandang serius terhadap persaingan ini. Dan jangan menyifatkannya sebagai perkara kecil," kata SM Lee.

SM Lee menambah bahawa beliau juga telah melakukan lawatan ke Kawasan Undi Perseorangan (SMC) di GRC Ang Mo Kio, termasuk SMC Jalan Kayu.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita