GE2025: Tiada 'kekosongan atau kemerosotan' di Marine Parade susulan peletakan jawatan Tan Chuan-Jin, kata Tan See Leng
"Sayang sekali" Encik Tan Chuan-Jin tidak dapat menghabiskan penggalnya sebagai Anggota Parlimen Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marine Parade, kata Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng pada Ahad (20 Apr).

Anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP), Tan See Leng, di Cawangan Parti Tindakan Rakyat Marine Parade pada 20 April 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Beliau berkata demikian semasa menjawab beberapa soalan daripada media mengenai peletakan jawatan mantan Anggota Parlimen itu pada 2023, semasa sesi pengenalan calon Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi GRC Marine Parade-Braddell Heights.
Dr Tan, yang mengetuai pasukan yang bakal bertanding di kawasan tersebut, berkata: “Berkenaan kekosongan, atau tanggapan adanya kekosongan yang mungkin disebabkan pemergian mantan speaker Tan Chuan-Jin, semasa beliau masih di Parlimen, dan juga selama bertahun-tahun sebelum itu, beliau telah membangunkan pelbagai inisiatif akar umbi yang kukuh bagi penduduk.
“Amat merugikan, sangat sedih bahawa beliau meninggalkan jawatannya, tidak dapat menghabiskan penggalnya. Tetapi saya tidak rasa ada mana-mana inisiatif yang terjejas akibat pemergian beliau.”
“Para relawan, pemimpin akar umbi, relawan sokongan akar umbi di Kembangan-Chai Chee – merekalah sebenarnya wira yang tidak dikenali,” kata Dr Tan.
“Selalunya kita melihat Anggota Parlimen, penasihat, atau pemegang jawatan politik yang berada di hadapan, tetapi banyak kerja yang dilakukan di belakang – ia dilakukan oleh wira-wira yang tidak dikenali,” tambah beliau.
Encik Tan meletak jawatan pada Julai 2023 susulan hubungan sulit dengan mantan Anggota Parlimen GRC Tampines, Cheng Li Hui.
Kawasan undi itu telah disebut-sebut sebagai medan persaingan utama menjelang pilihan raya 3 Mei ini, dengan pasukan PAP sebelum ini menewaskan Parti Pekerja (WP) dalam Pilihan Raya Umum 2020 dengan 57.74 peratus undi, lebih rendah berbanding 64.07 peratus pada 2015.
Menjawab satu lagi soalan mengenai kesan peletakan jawatan Encik Tan terhadap tanggapan para pengundi, Dr Tan berkata dalam bahasa Mandarin: “Sebagai manusia, siapa antara kita yang tidak pernah buat silap?”
Memandangkan ia juga merupakan Ahad Paskah, Dr Tan menambah: “Apa yang paling penting, saya harap para penduduk memberi kami peluang dan mandat yang kukuh, dan kami akan terus memperbaiki diri serta berkhidmat untuk para pengundi.”
“Kita tidak boleh mengubah masa lalu, tetapi mulai hari ini, kita boleh bekerja keras untuk membina masa depan yang lebih baik,” tambahnya.

Menjawab soalan daripada Mediacorp mengenai kekosongan yang mungkin timbul berikutan pemergian Encik Tan Chuan-Jin dan Encik Edwin Tong, yang kebelakangan ini dilihat di GRC East Coast, Dr Tan berkata barisan calon GRC Marine Parade-Braddell Heights yang ada kini merupakan “pasukan yang dipercayai”.
Selain Dr Tan, pasukan yang akan bertanding di kawasan undi itu dalam Pilihan Raya Umum 2025 merangkumi Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim; Speaker Parlimen Seah Kian Peng; mantan Anggota Parlimen SMC MacPherson, Tin Pei Ling; dan muka baharu, Diana Pang.
Berdasarkan sempadan kawasan undi yang dilakar semula, kawasan Joo Chiat yang diwakili Encik Tong serta sebahagian daripada kawasan Kembangan-Chai Chee dipindahkan dari GRC Marine Parade ke GRC East Coast.
Encik Tong, pada masa ini, merupakan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Singapura, manakala Encik Tan pernah memegang jawatan Menteri Tenaga Manusia dan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga sebelum meninggalkan dunia politik.
Menjawab soalan selepas penjelasan Dr Tan, Cik Tin berkata bahawa pasukan lima anggota itu merupakan pasukan yang “berpengalaman dalam tadbir urus”, sambil merujuk kepada pelantikan Dr Tan, Profesor Madya Faishal dan Encik Seah dalam pasukan pemerintah dan parlimen.
“Kami yang lain, malah, kami semua – telah bertahun-tahun turun padang. Jadi kami dekat dengan rakyat, kami faham rakyat Singapura, atau sekurang-kurangnya kami berusaha sebaik mungkin untuk memahami rakyat Singapura,” kata Cik Tin.
“Dan saya rasa ini menunjukkan bahawa kami mempunyai campuran yang baik dari segi pengurusan dasar, menjalankan tugas, menyelesaikan sesuatu, serta memahami dan mengambil berat tentang keperluan rakyat yang kami wakili sekarang.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.