Skip to main content

Singapura

GE2025: Strategi PAP yakinkan pengundi supaya pilih kesinambungan, kestabilan sumbang kemenangan besar

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: Strategi PAP yakinkan pengundi supaya pilih kesinambungan, kestabilan sumbang kemenangan besar

Perdana Menteri Lawrence Wong dari Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengucapkan terima kasih kepada para penyokong dan pengundi pada hari pilihan raya umum di Singapura, Sabtu, 3 Mei 2025. (Gambar: AP/Vincent Thian)

Diterbitkan : 05 May 2025 07:54AM Dikemas Kini : 05 May 2025 08:05AM
  • Dalam Pilihan Raya Umum pertama di bawah kepimpinan PM Wong, PAP memenangi 87 daripada 97 kerusi, meningkatkan perkongsian undinya daripada 61.2 peratus kepada 65.57 peratus, memenangi kawasan undi yang dijangka akan menyaksikan persaingan sengit dan berjaya memperluaskan margin kemenangannya di kebanyakan kawasan undi.
  • Tiada satu pun daripada sembilan parti pembangkang lain yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) berjaya mendapatkan kerusi.
  • Para pakar juga menarik perhatian kepada strategi PAP untuk memberi amaran tentang kesan kehilangan menteri masa kini dan akan datang, sebagai faktor penyumbang - dan tanda pengundi lebih memilih kestabilan dan keselamatan, sedang Singapura bergantung kepada perdagangan untuk mengharungi ketidaktentuan global dan pergolakan ekonomi.
  • Para pakar mencadangkan bahawa keputusan GE2025 boleh dilihat sebagai "kekalahan teruk" bagi parti-parti pembangkang lain, yang kini semakin ketinggalan berbanding sebelum ini di belakang WP dan mungkin mengalami kemerosotan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) berjaya memperolehi mandat kukuh yang diminta oleh Perdana Menteri Lawrence Wong, dengan mengatasi strategi parti-parti pembangkang - khususnya Parti Pekerja (WP) dan meyakinkan para pengundi bahawa kesinambungan dan kestabilan adalah lebih penting berbanding pemeriksaan dan penelitian yang lebih besar, kata para penganalisis.

Dalam Pilihan Raya Umum pertama di bawah kepimpinan PM Wong, PAP memenangi 87 daripada 97 kerusi, meningkatkan perkongsian undinya daripada 61.2 peratus kepada 65.57 peratus, memenangi kawasan undi yang dijangka akan menyaksikan persaingan sengit dan berjaya memperluaskan margin kemenangannya di kebanyakan kawasan undi.

WP sementara itu mengekalkan kerusinya di Hougang, Aljunied dan Sengkang; dan meskipun kalah di SMC Jalan Kayu dan GRC Tampines akan ditawarkan dua kerusi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP).

Tiada satu pun daripada sembilan parti pembangkang lain yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) berjaya mendapatkan kerusi.

“Ia adalah mandat besar untuk PAP,” kata mantan Anggota Parlimen parti itu, Encik Inderjit Singh.

“Dengan banyak isu dihadapi oleh rakyat Singapura, PAP tetap berupaya mencatatkan kemenangan yang besar berbanding GE2020 dan ini adalah satu kejayaan yang membanggakan bagi PM Wong.”

Profesor Madya Eugene Tan dari Sekolah Undang-Undang Universiti Pengurusan Singapura (SMU)menyifatkan keputusan GE2025 sebagai "kemenangan yang gemilang dan mandat berwibawa" untuk PAP.

“Peralihan kepada kepimpinan 4G kini lengkap kerana generasi pemimpin terkini telah memperoleh mandat yang akan dibanggakan oleh pasukan 3G,” tambahnya.

"Adalah penting juga untuk PM Wong meneruskan trend PAP yang tidak membenarkan pembangkang meraih kemenangan dalam dua pilihan raya berturut-turut," kata Encik Inderjit.

Para pakar juga menarik perhatian kepada strategi PAP untuk memberi amaran tentang kesan kehilangan menteri masa kini dan akan datang, sebagai faktor penyumbang - dan tanda pengundi lebih memilih kestabilan dan keselamatan, sedang Singapura bergantung kepada perdagangan untuk mengharungi ketidaktentuan global dan pergolakan ekonomi.

PM Wong telah menekankan dalam kempen pilihan raya PAP bahawa mengundi lebih ramai calon pembangkang masuk Parlimen mungkin bermakna pemerintah akan kehilangan pemegang jawatan politik dan melemahkan pemerintah PAP.

Menurut zamil Institut Pengajian Dasar (IPS) Teo Kay Key, kenyataan itu "mempunyai kesan yang memihak kepada PAP".

Saintis Politik Universiti Nasional Singapura (NUS) Chong Ja Ian menyifatkan pengundi Singapura lazimnya "menolak risiko".

"Mereka suka apa yang biasa ... Sama ada ia baik atau buruk adalah perkara yang berbeza," katanya. "WP juga merupakan penerima manfaat pengundi yang mengundi untuk apa yang biasa."

Bagi kawasan undi yang ditandinginya, WP memperoleh perkongsian undi sebanyak 50.04 peratus, turun 0.45 peratusan mata daripada pilihan raya sebelum ini.

Para pakar mencadangkan bahawa keputusan GE2025 boleh dilihat sebagai "kekalahan teruk" bagi parti-parti pembangkang lain, yang kini semakin ketinggalan berbanding sebelum ini di belakang WP dan mungkin mengalami kemerosotan.

Parti Kemajuan Singapura (PSP), yang diterajui oleh mantan Anggota Parlimen PAP, Dr Tan Cheng Bock misalnya, hanya memperolehi 39.99 peratus undi di GRC West Coast-Jurong West – turun daripada 48.3 peratus yang diperolehinya pada 2020. Ini bermakna kehilangan dua kerusi NCMP yang disandangnya dalam Parlimen lalu.
Sumber : CNA/AW/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita