GE2025: SPP optimis terhadap peluangnya di GRC Bishan-Toa Payoh susuli persaraan Ng Eng Hen
Setiausaha Agung Parti Rakyat Singapura (SPP), Steve Chia, melancarkan manifesto parti dan memperkenalkan calon-calonnya, Muhammad Norhakim dan Lim Rui Xian di Pusat Penjaja Blok 75 Lorong 5 Toa Payoh pada 21 April 2025. (Gambar: CNA/Justin Ong)
Dr Ng menceburi politik lebih dua dekad lalu pada 2001, dan telah berkhidmat di GRC Bishan-Toa Payoh sejak itu.
Semasa melakukan lawatan bertemu rakyat di Blok 75 Lorong 5 Pusat Penjaja Toa Payoh pada Isnin malam (21 Apr), Encik Chia berkata: "Apabila kita membaca bahawa Dr Ng Eng Hen telah bersara, ia satu kelegaan besar bagi saya, kerana beliau tokoh penting PAP di kawasan ini."
Tambahnya, tanpa Dr Ng mengetuai pasukan PAP, beliau berharap SPP dapat memperoleh lebih 40 peratus undi di GRC Bishan-Toa Payoh.
"Kami berjuang untuk menang, tetapi kami menyedari bahawa ia satu tugas yang sukar, dan kami akan melakukan apa sahaja yang kami mampu untuk memastikan ia adalah pertarungan yang sengit, ia pertarungan yang adil, ia adalah pertarungan yang bertanggungjawab," katanya.
Dr Ng telah berkhidmat di GRC Bishan-Toa Payoh selama hampir 24 tahun, setelah mengalahkan pasukan SPP dalam tiga pilihan raya lalu. Sepanjang kerjaya politiknya, beliau pernah berkhidmat sebagai Menteri Pendidikan, Menteri Tenaga Manusia, dan merupakan Menteri Pertahanan yang paling lama berkhidmat.
Semasa Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020), Encik Chia mengetuai pasukan SPP di GRC tersebut ketika menentang pasukan Dr Ng, dengan SPP memperoleh 32.77 peratus undi.
Dalam pilihan raya kali ini, beliau akan menentang pasukan PAP yang diterajui oleh Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat. Encik Saktiandi Supaat dan dua muka baharu, pengarah badan amal Elysa Chen, dan usahawan sosial Cai Yinzhou, melengkapkan pasukan seramai empat anggota PAP.
Encik Chia akan mengetuai pasukan SPP dengan dua muka baharu: Encik Muhammad Norhakim, seorang eksekutif operasi, dan Encik Lim Rui Xian, yang bekerja sendiri.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan anggota keempat, setakat membayangkan bahawa ia mungkin sama ada pengerusi parti Melvyn Chiu atau bendahari Williiamson Lee - kedua-duanya pernah bertanding bersamanya pada pilihan raya lalu.
GRC Bishan-Toa Payoh mempunyai 98,505 pengundi berdaftar. Ia adalah satu daripada lima GRC yang mengekalkan sempadannya dalam laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Kawasan Undi (EBRC) baru-baru ini.
"Kami fikir ada peluang yang lebih baik atau peluang yang sama," kata Encik Chia.
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa bagi kebanyakan parti pembangkang, menewaskan penyandangnya tetap satu tugas yang sukar.
"Saya fikir peluang untuk semua parti pembangkang adalah tugas yang sukar, ia tidak mudah," katanya.
Pada pandangannya, "satu-satunya parti" yang mempunyai "peluang yang sangat baik" ialah Parti Pekerja (WP).
"Saya menyokong Parti Pekerja, dan saya fikir mereka mempunyai peluang yang sangat baik untuk memenangi satu lagi GRC kali ini," katanya.
"Parti-parti lain, pada asasnya kami mahu memastikan Anggota Parlimen PAP bertanggungjawab terhadap dasar mereka," tambahnya.
Ini adalah kali keenam Encik Chia bertanding dalam Pilihan Raya Umum. Beliau adalah Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dari 2001 hingga 2006 - mendapat kerusi itu selepas bertanding di SMC Chua Chu Kang di bawah Perikatan Demokratik Singapura (SDA).
BERSIAP SEDIA BAGI PERTANDINGAN TIGA PENJURU DI POTONG PASIR
Bagi pilihan raya akan datang, SPP juga akan bertanding di SMC Potong Pasir.
Perikatan Rakyat bagi Pembaharuan (PAR) juga telah menyatakan hasrat untuk bertanding di SMC tersebut.
Ini mendorong Encik Chia untuk menulis emel kepada perikatan itu "kira-kira tiga hingga empat hari lalu" untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru, tetapi beliau belum mendapat jawapan daripada PAR.
"Kami telah menulis kepada mereka untuk menimbangkan secara serius untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru, tetapi jika mereka berhasrat, maka kami bersedia untuk pertarungan tiga penjuru," katanya.
"Kami sangat jelas bahawa kami tidak akan melepaskan Potong Pasir, kami akan mencalonkan seseorang di sana untuk bertanding di kawasan undi itu."
Encik Chia tidak mendedahkan siapakah calon yang bakal bertanding di bekas kubu pembangkang itu, tetapi membayangkan bahawa ia mungkin sama ada Encik Chiu atau Encik Lee.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.