Skip to main content

Singapura

GE2025: SPP lancar manifestonya; gesa gaji minimum, semakan semula CECA dan kurangkan tempoh jalani NS

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Apr 2025 11:45AM Dikemas Kini : 19 Apr 2025 11:12PM
SINGAPURA: Parti Rakyat Singapura (SPP) melancarkan manifesto setebal 16 muka surat pada Sabtu (19 Apr) untuk menggesa agar dasar gaji minimum dilaksanakan dan usia kelayakan golongan bujang beli flat diturunkan kepada 30 tahun, serta beberapa saranan lain.

Semasa melancarkan manifesto parti dengan slogan 'Sudah Tiba Masanya', setiausaha agung SPP Steve Chia berkata: "Kami percaya sudah tiba masanya untuk melaksanakan banyak dasar dan saranan yang SPP akan usulkan, dan berharap dapat usulkan, jika kami dilantik dalam pilihan raya umum ini."

Encik Chia berkata demikian kepada para wartawan di Pasar dan Pusat Penjaja Toa Payoh Lorong 8.

Dokumen itu menampilkan 40 saranan dasar daripada sembilan tema untuk menangani "cabaran hari ini yang kian berubah".

Antara saranan yang diberikan adalah untuk menyemak semula Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh Singapura-India (CECA), menurunkan tempoh menjalani Perkhidmatan Negara (NS) kepada 18 bulan dan menghapuskan pelaksanaan kuota kaum di estet-estet perumahan awam secara berperingkat.

SPP juga meminta pemerintah Singapura supaya meminda Perlembagaan bagi membenarkan perwakilan seimbang bagi parti pembangkang yang lebih kecil di Parlimen.

SPP berhasrat untuk bertanding di GRC Bishan-Toa Payoh dan SMC Potong Pasir, iaitu dua kawasan undi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020).

Berikut adalah saranan utama SPP dalam manifesto parti bagi Pilihan Raya Umum yang akan datang:

KOS SARA HIDUP

Di bawah tema pertama dalam manifesto SPP iaitu kestabilan ekonomi dan keadilan, parti itu menyatakan rakyat Singapura berdepan kos sara hidup yang meningkat dengan gaji yang tidak berubah.

Justeru parti itu mencadangkan supaya sebarang kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dibekukan sehingga defisit kumulatif Singapura melebihi 3 peratus daripada hasil pemerintah selama tiga tahun berturut-turut.

Ia juga menyeru kepada Pemerintah supaya menaikkan cukai pendapatan bagi 2 peratus penerima pendapatan teratas dan memperkenalkan semula cukai estet bagi individu dengan nilai bersih tinggi "untuk membiayai bantuan yang sama rata".

SPP juga mengusulkan pengecualian cukai dan lebih banyak baucar bagi golongan berpendapatan rendah.

PEKERJAAN

Bagi pekerjaan dan jaminan pekerjaan, SPP menyeru supaya garis panduan Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (TAFEP) dijadikan sebagai undang-undang, di mana ia memandatkan pengambilan pekerja dan pemberhentian kerja yang adil.

Dalam manifestonya, SPP juga menggesa pemerintah supaya menyemak semula perjanjian CECA dengan India untuk "menangani kebimbangan mengenai kemasukan tenaga kerja", dan secara beransur mengurangkan kuota Pas Khas atau Pekerjaan dan nisbah tanggungan dalam sektor yang boleh diautomasikan.

PERUMAHAN DAN TADBIR URUS

Manifesto SPP juga merangkumi pelbagai dasar perumahan dalam pelbagai bidang.

Parti itu mahu pemerintah menurunkan usia minimum untuk golongan bujang memohon flat BTO atau flat jualan semula HDB kepada 30 tahun.

Manifesto itu juga mengemukakan saranan untuk merintis selama lima tahun kelonggaran terhadap kuota kaum di estet-estet HDB yang dapat membantu "pemilik flat daripada golongan minoriti untuk menjual rumah mereka pada harga pasaran yang adil".

Berhubung tadbir urus, SPP mengusulkan pelaksanaan akta kebebasan maklumat, kelonggaran undang-undang berkaitan fitnah dan mengurangkan peruntukan Belanjawan sebanyak dua peratus setiap tahun 'bagi memotong sebarang perbelanjaan yang tidak perlu".
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita