Skip to main content

Singapura

GE2025: SM Lee pimpin pasukan PAP di Ang Mo Kio dengan 2 anggota baharu, termasuk bekas calon Aljunied Victor Lye

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Apr 2025 01:31PM Dikemas Kini : 19 Apr 2025 11:10PM
SINGAPURA: Menteri Kanan Lee Hsien Loong akan memimpin pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang bertanding di GRC Ang Mo Kio dalam Pilihan Raya Umum akan datang, dan akan disertai seorang anggota veteran parti ituserta seorang muka baharu.

Bekas calon PAP di GRC Aljunied, Victor Lye, 63 tahun dan bekas pegawai awam kanan Jasmin Lau, 41 tahun akan menyertai SM Lee, Cik Nadia Samdin dan Encik Darryl David untuk membentula pasukan lima anggota, umum parti tersebut pada Sabtu (19 Apr).

Encik Lye merupakan sebahagian daripada anggota pasukan PAP di Aljunied yang bertanding pada pilihan raya umum 2015 dan 2020, dan kalah kepada Parti Pekerja (WP).

Cik Ng Ling Ling yang berkhidmat di Jalan Kayu di bawah GRC Ang Mo Kio dan Encik Gan Thiam Poh yang memimpin Fernvale tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum kali ini.

Semasa sidang media di pejabat cawangan PAP Teck Ghee, SM Lee berkata mereka akan "bersara sebagai Anggota Parlimen".

SM Lee berkata: "Kami sudah melakukan yang terbaik untuk Ang Mo Kio dan berkhidmat kepada penduduk selama ini, dan kami meminta sokongan anda yang berterusan dalam pilihan raya ini."

Beliau menambah bahawa kawasan undi itu mempunyai flat yang sudah dinaik taraf, pasar dan pusat penjaja yang dipertingkat, membuka stesen dan laluan MRT baharu, menambah perkhidmatan bas dan membangunkan masyarakat yang prihatin.

Cawangan parti dan majlis bandaran juga melancarkan banyak program dan projek untuk membantu penduduk menangani kos sara hidup yang meningkat, dan menjaga golongan yang mudah terjejas, warga emas, keluarga dan kanak-kanak kecil, kata Encik Lee.

“Kami telah menjadikan Ang Mo Kio tempat yang gembira dan tempat yang baik untuk didiami.”

GRC Ang Mo Kio kekal sebagai kawasan undi terbesar dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Ia mempunyai 161,235 pengundi berdaftar, walaupun SMC Jalan Kayu yang baharu diwujudkan baru-baru ini daripada kawasan undi itu.

SMC Jalan Kayu yang baru itu mempunyai 29,565 pengundi, dantermasuk kawasan daripada kawasan undi Jalan Kayu sedia ada diwakili oleh Cik Ng, serta sebahagian daripada kawasan Fernvale di bawah Encik Gan Thiam Poh.

Dalam pilihan raya 2020, PAP memperoleh 71.91 peratus undi menentang Parti Reform (RP).

Kali ini, pertandingan tiga penjuru mungkin berlaku, dengan kedua-dua Parti Bersatu Singapura (SUP) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP) menyatakan hasrat untuk bertanding di GRC itu.

JASMIN LAU

Cik Lau adalah salah seorang pegawai awam paling kanan di Kementerian Kesihatan (MOH), di mana beliau bertanggungjawab dalam bidang-bidang utama seperti tenaga kerja penjagaan kesihatan, kewangan, dan dasar-dasar pengawalseliaan.

Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam pada 2006 dan memegang beberapa jawatan berbeza termasuk di MOH dari 2013 hingga 2019.

Selain MOH, Cik Lau juga berkhidmat dalam peranan utama di Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD), Kementerian Tenaga Manusia (MOM), dan Kementerian Kewangan (MOF).

Beliau berkata sepanjang perkhidmatannya beliau sudah melibatkan diri dengan pelbagai pihak berkepentingan dari seluruh dunia dalam membuat keputusan dasar yang baik.

“Pengalaman ini kini menjadi asas kukuh yang saya bawa ke medan politik, dan saya percaya apabila saya mengasah kemahiran saya, saya akan dapat berkhidmat kepada rakyat Singapura dengan berkesan,” tambahnya.

Cik Lau yang mempunyai dua orang anak, berkata beliau berharap agar kanak-kanak di Singapura dapat membesar di negara "di mana perbezaan kita tidak memecahbelahkan kita, tetapi sebaliknya menjadi sumber kekuatan kita".

Tamnbahnya, beliau berharap dapat berjumpa lebih ramai lagi orang, terutamanya penduduk Ang Mo Kio, "untuk mengetahui tentang kehidupan anda, impian anda dan cabaran anda".

VICTOR LYE

Encik Lye adalah pemimpin veteran akar umbi yang sudah lama berkhidmat dan calon PAP di GRC Aljunied sebanyak dua kali.

Pengasas dan ketua eksekutif syarikat teknologi kewangan itu berkhidmat di Aljunied selama lebih dua dekad.

Beliau memulakan kerjayanya dalam Perkhidmatan Pentadbiran Singapura di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI), meliputi bidang-bidang seperti perancangan tenaga manusia, penyelidikan dasar ekonomi dan perdagangan antarabangsa.

Dalam sektor privet, beliau memegang jawatan kepimpinan dalam pelaburan, insurans dan penjagaan kesihatan.

Encik Lye adalah pengerusi cawangan di divisyen Bedok Reservoir–Punggol di GRC Aljunied selama 13 tahun, namun menyerahkan tampuk kepimpinan itu kepada naib pengerusinya Dr Adrian Ang pada Februari tahun ini.

Menurutnya, beliau sudah "berkhidmat selama tiga penggal, namun bukan di Parlimen", semasa memimpin pasukan Aljunied.

Encik Lye menambah bahawa beliau ingin kanak-kanak mendapat permulaan yang adil dalam kehidupan, keluarga menjalani kehidupan yang produktif, gembira, sihat, dan warga emas memiliki tujuan hidup yang jelas dan martabat tdiri yang tinggi.
 
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita