GE2025: SM Lee hargai sokongan masyarakat Melayu/Islam terhadap dasar berbilang kaum pemerintah

Menteri Kanan Lee Hsien Loong berucap di rapat Parti Tindakan Rakyat di Sekolah Rendah Fern Green pada 27 April 2025. (Gambar: CNA/Abel Khoo)
Menurut SM Lee, tiada mana-mana pihak yang seharusnya mengutamakan dan memperjuangkan kepentingan mereka sendiri sehingga menjangkaui kepentingan negara atau memperkecil-kecilkan kepentingan kaum lain.
Dalam ucapannya dalam Bahasa Melayu di rapat Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi SMC Jalan Kayu di Sekolah Rendah Fern Green pada Ahad (27 Apr), SM Lee berkata: "Semua rakyat Singapura menerima hakikat ini. Inilah cara Singapura dan dasar berbilang kaum kita yang membolehkan semua kaum berkembang maju selama ini, termasuk masyarakat Melayu/Islam. Saya amat berterima kasih kerana masyarakat Melayu/Islam telah menyokong pendekatan berbilang kaum ini dan dasar berbilang kaum Pemerintah."
"Sebagai Perdana Menteri sepanjang dua dekad lalu, saya sangat menghargai peluang istimewa bekerja rapat dengan masyarakat Melayu/Islam demi mencapai aspirasi anda. Saya gembira ini diteruskan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Lawrence Wong. Dengan perkongsian penuh kepercayaan yang erat ini, kita boleh bincangkan isu-isu secara terbuka dan berterus terang. Kita dapat cari cara yang terbaik untuk tangani isu-isu dalam konteks masyarakat majmuk kita," tambahnya lagi.
Dengan itu menurut SM Lee, masyarakat Melayu/Islam dapat maju dan mencapai kejayaan yang dikecapinya.
"Beginilah cara masyarakat Melayu/Islam dapat maju ke hadapan dan mencapai kejayaan – bukan sahaja dalam aspek sekular seperti pendidikan, pekerjaan dan pendapatan tetapi juga dalam segi ruang yang anda miliki untuk amalkan kepercayaan anda," kata SM Lee.
Beliau menyeru para pengundi supaya menyokong PAP dan calon-calon PAP yang menjunjung dan menegakkan
nilai-nilai berbilang kaum dan menjaga semua penduduk tanpa mengira kaum atau agama.
"Undilah PAP, supaya kita boleh terus kekalkan keharmonian kaum dan agama di Singapura bagi tahun-tahun mendatang. Undilah PAP, yang boleh memimpin dengan cekap dan ada rancangan yang kukuh untuk bantu kita semua harungi cabaran mendatang," ujar SM Lee.
Beliau juga mengingatkan rakyat Singapura tentang pentingnya memilih pemerintah yang kukuh dan dapat mengemudi Singapura dengan selamat di tengah-tengah dunia yang tidak menentu.
"Dunia kini semakin tidak menentu, semakin bergelora. Kita mesti pilih pasukan yang baik untuk bentuk pemerintah dan memimpin kita harungi cabaran-cabaran mendatang. Kita perlukan pemerintah yang akan pastikan Singapura bersatu padu sebagai satu negara dan satu rakyat, biar apapun kesukaran yang kita hadapi," tegas SM Lee.
Beliau juga mengajak semua rakyat Singapura untuk bersatu padu dan melangkah ke hadapan bersama-sama sebagai satu negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.