GE2025: Siapa calon baharu PAP yang disebut bakal jadi pemegang jawatan politik?
Atas, dari kiri: Syed Harun Alhabsyi, Hamid Razak, Jeffrey Siow. Bawah dari kanan: Goh Hanyan, David Neo dan Dinesh Vasu Dash. (Gambar: CNA/Syamil Sapari, Ooi Boon Leong, Jeremy Long, Lim Li Ting, Ili Mansor)
- "Saya ada beberapa calon baharu yang akan dimasukkan ke dalam pasukan saya, dan akhirnya akan memainkan peranan kepimpinan lebih besar," kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Isnin (28 Apr) semasa rapat pilihan raya tengah hari tadi.
- Berucap semasa memperkenalkan calon-calon baharu dalam pasukannya pada 21 April semasa sidang media di pejabat cawangan Chong Pang PAP, Encik Shanmugam menambah bahawa beliau akan "sangat mengesyorkan" Cik Goh Hanyan dan Dr Syed Harun Alhabsyi kepada perdana menteri, jika pasukannya dipilih.
- "Bekerja dalam Perkhidmatan Awam, tugas saya sentiasa tentang memperbaiki kehidupan rakyat Singapura," kata Jeffrey Siow.
- "Sepanjang perjalanan ini, saya memahami satu hakikat yang sangat mudah: masalah kesihatan dan masalah sosial sentiasa berkaitan," kata Dr Hamid Razak.
"Saya ada beberapa calon baharu yang akan dimasukkan ke dalam pasukan saya, dan akhirnya akan memainkan peranan kepimpinan lebih besar," kata Perdana Menteri Lawrence Wong pada Isnin (28 Apr) semasa rapat pilihan raya tengah hari tadi.
Berucap di kawasan bersebelahan UOB Plaza di kawasan pusat perniagaan (CBD), PM Wong mengenal pasti mantan panglima tentera David Neo di GRC Tampines, mantan pegawai Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) Dinesh Vasu Dash di GRC East Coast, dan mantan pegawai kanan Perkhidmatan Awam Jeffrey Siow di GRC Chua Chu Kang sebagai sebahagian daripada pasukan kepimpinan masa depan negara.
Di rapat yang diadakan di Choa Chu Kang pada hujung minggu lalu, PM Wong juga mengenal pasti calon GRC West Coast-Jurong West Hamid Razak sebagai seorang lagi yang berpotensi menyandang jawatan politik.
Dua hari sebelum kempen bermula, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam berkata bahawa dua muka baharu dalam pasukan GRC Nee Soon pimpinan beliau berpotensi menyandang jawatan politik yang boleh "pergi jauh dalam membantu mentadbir negara secara keseluruhannya".
Berucap semasa memperkenalkan calon-calon baharu dalam pasukannya pada 21 April semasa sidang media di pejabat cawangan Chong Pang PAP, Encik Shanmugam menambah bahawa beliau akan "sangat mengesyorkan" Cik Goh Hanyan dan Dr Syed Harun Alhabsyi kepada perdana menteri, jika pasukannya dipilih.
Pembaharuan kepimpinan politik Singapura sudah beberapa kali ditekankan oleh PM Wong sejak beliau menyandang jawatan tersebut dan terutamanya dalam tempoh Pilihan Raya Umum ini.
Bukan sesuatu yang luar biasa bagi sesetengah calon yang pertama kali menceburi politik untuk menjadi pemegang jawatan politik setelah mereka dipilih masuk ke Parlimen.
Pada 2020, enam muka baharu menjadi pemegang jawatan politik selepas pilihan raya pertama mereka.
Dr Tan See Leng dilantik sebagai Menteri penuh, sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri dan Menteri Kedua Tenaga Manusia dan Perdagangan dan Perusahaan.
Gan Siow Huang dilantik sebagai Menteri Negara Pendidikan merangkap Tenaga Manusia; Desmond Tan dilantik sebagai Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Kemampanan dan Sekitaran; dan Tan Kiat How menjadi Menteri Negara di Pejabat Perdana Menteri merangkap Pembangunan Negara.
Alvin Tan juga dilantik sebagai Menteri Negara Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Perdagangan dan Perusahaan, manakala Eric Chua menjadi Setiausaha Parlimen Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia.
JEFFREY SIOW
Beliau juga merupakan pengarah urusan dan ketua pegawai operasi pertama Enterprise Singapore, di mana beliau menerajui inisiatif untuk merubah perusahaan tempatan dan persatuan perdagangan, dan membantu perusahaan kecil dan sederhana (SME) mengemudi pemulihan pasca-COVID-19.
Dari 2017 hingga 2021, Encik Siow berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong ketika itu.
Berucap semasa rapat di Choa Chu Kang pada Sabtu, Encik Siow menyentuh tentang pengalaman 24 tahun beliau dalam Perkhidmatan Awam, sambil memberitahu para pengundi bahawa beliau mempunyai pengalaman dan keupayaan untuk menjalankan tugas.
"Bekerja dalam Perkhidmatan Awam, tugas saya sentiasa tentang memperbaiki kehidupan rakyat Singapura. Seseorang pernah memberitahu saya bahawa untuk membuat perbezaan bukan hanya tentang melakar dasar pemerintah yang besar, tetapi ia tentang menyampaikan dasar kepada rakyat dan untuk rakyat," katanya.
"Dengan pengalaman saya dalam pemerintah saya boleh menunaikan janji kepada anda, penduduk saya, dan menjadikan kehidupan anda lebih baik. Saya yakin saya boleh melakukannya. Dan yang paling penting, saya mempunyai tekad yang kuat untuk berkhidmat kerana saya bertuah dilahirkan di sini dan saya ingin menyumbang kembali kepada Singapura."
DAVID NEO
Calon GRC Tampines itu memimpin inisiatif transformasi Tentera 2040, yang memberi tumpuan kepada usaha memodenkan SAF melalui konsep peperangan baharu, integrasi antara perkhidmatan, penggunaan teknologi dan pembangunan tenaga kerja.
Menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF), Encik Neo juga menyelia penyambungan semula latihan dan latihan menembak berskala besar selepas pandemik COVID-19 dan memimpin operasi termasuk penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Beliau juga menyelia sumbangan SAF kepada tindak balas negara terhadap COVID-19.
"Ketika kita berada di saat-saat yang paling sukar dan getir semasa COVID-19, ketika kita tidak tahu betapa teruknya penyakit ini, sedang negara-negara menutup pintu mereka kepada warga mereka sendiri, pemerintah PAP ini memastikan setiap rakyat Singapura dapat kembali ke Singapura, sama ada mereka menghidap COVID-19 ataupun tidak," kata Encik Neo semasa rapat tengah hari pada Isnin (28 Apr).
"Dan ini adalah sesuatu yang tidak pernah diperdebatkan dalam pasukan bertindak berbilang kementerian yang diterajui oleh PM Lawrence Wong. Ia adalah perkara yang tidak perlu dipersoalkan lagi. Semua rakyat Singapura akan pulang ke tanah air, dijangkiti COVID-19 ataupun tidak, dan kami melaksanakannya. Ini adalah parti yang mengutamakan rakyat Singapura menerusi tindakannya."
Encik Neo juga berkata bahawa anak muda Singapura bijak dan bertimbang rasa, dan sangat mengambil berat tentang masa depan negara.
"Anda tahu perbezaan antara sekadar bersuara dan mengambil tindakan. Anda tahu perbezaan antara kata-kata dan kemajuan sebenar. Anda tahu bahawa kepimpinan adalah tentang membuat keputusan yang sukar, berdiri teguh dan memberikan hasil, bukan hanya bercakap apabila ia mudah, sebaliknya bertindak apabila ia sukar," katanya.
"Pengundi muda hari ini tidak mencari kisah dongeng. Anda mahukan kepimpinan yang menjamin peluang sebenar, pekerjaan, rumah, pendidikan, jagaan kesihatan dan masa depan di mana anda boleh membina impian anda dengan penuh keyakinan."
DINESH VASU DASH
Sebelum itu, beliau adalah pengarah kumpulan di Kementerian Kesihatan (MOH). Mantan pegawai awam itu menerima Bintang Bakti Masyarakat (COVID-19) kerana memimpin vaksinasi Singapura semasa pandemik.
Sebelum menyertai MOH, Encik Dinesh berkhidmat dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) selama lebih 20 tahun.
Di rapat di Stadium Bedok pada Sabtu, Encik Dinesh mengenal pasti sokongan warga emas dan penjaga, membantu keluarga muda dan mengangkat masyarakat minoriti dan yang rentan, sebagai bidang yang akan diberikan tumpuan.
"Dalam pengalaman saya di Agensi Penjagaan Bersepadu, sebuah agensi yang khususnya memberi tumpuan kepada isu warga emas dan jagaan warga tua, dan sebelum itu lapan tahun saya di rumah jagaan warga tua, saya sudah turun padang, melaksanakan dasar dan memahami apa yang dilalui oleh warga emas dan penjaga mereka," kongsi beliau.
"Jadi sama seperti yang saya lakukan semasa operasi vaksinasi, saya akan memastikan dasar jagaan warga emas kita berfungsi untuk anda."
Encik Dinesh menambah bahawa beliau percaya pada usaha untuk menjadi suara bagi golongan yang kurang bernasib baik kerana beliau sendiri pernah melaluinya.
"Saya bukan penerima biasiswa dalam tentera, tetapi saya naik pangkat melalui kerja keras dan tekad saya," katanya.
"Sungguhpun demiikian tidak semua daripada kita mungkin berjaya dan mereka memerlukan lebih banyak sokongan. Saya percaya saya boleh membantu kerana saya memahami apa yang anda lalui, dan saya sangat bermotivasi untuk membantu anda."
GOH HANYAN
Ibu tiga orang anak kecil itu meninggalkan Perkhidmatan Awam pada 3 April selepas 16 tahun berkhidmat. Beliau bertanding sebagai sebahagian daripada pasukan lima anggota PAP di GRC Nee Soon.
Sebelum MDDI, beliau adalah pengarah ekonomi dan kemampanan dalam Kumpulan Strategi Pejabat Perdana Menteri. Cik Goh ialah timbalan pengarah perancangan strategik di Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) sebelum itu.
Dalam ucapannya di rapat tengah hari Isnin, Cik Goh menyeru bagi "sebuah masyarakat yang dibina berlandaskan kebaikan".
"Tuntutan ke atas kita semua semakin meningkat. Kita bimbang tentang kos sara hidup. Kita bimbang tentang pekerjaan kita. Kita bimbang sama ada kita adalah ibu bapa, anak dan pasangan yang terbaik," katanya.
"Kepada anda semua di luar sana yang sedang menggalas pelbagai tanggungjawab dalam kehidupan anda, saya ingin memberitahu anda bahawa kami sedia maklum tentang usaha anda, kami turut merasakan beban anda, dan kami berdiri teguh bersama anda. Tiada siapa yang harus melalui perjalanan ini sendirian. Keluarga dan penjaga mesti diberikan sokongan, dan parti ini mengiktiraf perkara ini."
Beliau menambah bahawa harus ada kepercayaan bahawa kanak-kanak di Singapura akan menjalani kehidupan yang lebih baik, pada masa akan datang di mana mereka mempunyai peluang yang lebih baik dan boleh memburu impian mereka.
"Akhir sekali, kita perlu menjadi negara yang kukuh. Kekuatan dalam menghadapi cabaran domestik. Kekuatan dalam menghadapi ancaman antarabangsa," kata Cik Goh.
SYED HARUN ALHABSYI
Beliau merupakan pakar psikiatri Melayu/Islam pertama dan satu-satunya di Singapura, dan merupakan mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP).
Beliau memegang beberapa jawatan kepimpinan dalam pertubuhan amal dan awam di sini, termasuk Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Panel Perundingan Filem, Majlis Belia Kebangsaan (NYC), Persatuan Psikiatri Singapura, dan Persatuan Karyawan Jagaan Kesihatan Islam.
Dr Syed Harun juga merupakan presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), badan amal yang menghulurkan bantuan kewangan kepada pelajar, dan naib pengerusi jawatankuasa semakan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) untuk rumah kebajikan.
Dalam ucapannya di rapat tengah hari Isnin, Dr Syed Harun berkata bahawa Singapura bangkit daripada pandemik COVID-19 dengan "kesedaran baharu tentang potensi masyarakat Singapura kita dan arah yang ingin kita tuju pada hari esok".
"Kita sedang mentakrifkan semula bagaimana kejayaan boleh dicapai untuk diri kita sendiri dan keluarga kita, dan memberi harapan dan peluang kepada setiap rakyat Singapura. Kita memupuk aspirasi belia kita dan memanfaatkan idea mereka untuk Singapura pada hari esok. Dan kita menggandakan usaha kita untuk golongan yang mudah terjejas dalam kalangan kita," katanya lagi.
HAMID RAZAK
Calon GRC West Coast-Jurong West itu berkata beliau pertama kali didampingi untuk menyertai PAP pada 2017 dan beliau bersetuju.
Tiga tahun lalu, tanda-tanda bahawa beliau sedang dipersiapkan untuk menyandang jawatan politik menjadi lebih jelas, kerana beliau diberi tanggungjawab yang lebih besar - mengambil alih perancangan peringkat eksekutif di seluruh bahagian dan menyumbang pandangan terhadap dasar negara dalam forum tertutup dan awam.
Pakar bedah ortopedik itu berkata semasa rapat di Stadium Jurong West pada Ahad bahawa sebagai seorang doktor, beliau mendapati Singapura mempunyai sistem jagaan kesihatan yang sangat kukuh dan banyak lagi boleh dilakukan untuk mempertingkatkannya.
"Sepanjang perjalanan ini, saya memahami satu hakikat yang sangat mudah: masalah kesihatan dan masalah sosial sentiasa berkaitan, dan walaupun pesakit yang paling berdaya bingkas, mereka bukan sahaja melawan penyakit mereka, tetapi juga kesunyian, kesempitan kewangan dan keluarga yang berpecah belah," katanya.
Walaupun pesakitnya datang dengan pelbagai penyakit yang boleh dirawat dengan ubat, suntikan dan bahkan pembedahan, terdapat isu yang lebih mendalam, kata Dr Hamid.
"Di sebalik sakit lutut itu, di sebalik sakit bahu itu dan di sebalik sakit belakang itu, terdapat beban yang mereka tanggung sejak sekian lama: keluarga dan individu yang, apabila masalah melanda, tiada tempat untuk berpaut, tiada simpanan tunai tambahan, tiada rangkaian keluarga yang kuat dan tiada dorongan untuk bangkit semula."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.