Skip to main content

Singapura

GE2025: Sempadan baharu West Coast 'mencabar' dek masa singkat jelang pilihan raya seterusnya, kata Leong Mun Wai

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 16 Mar 2025 03:42PM Dikemas Kini : 16 Mar 2025 09:49PM
SINGAPURA: Mengambil alih kawasan-kawasan baharu yang disertakan dalam GRC West Coast-Jurong West yang dikemas kini adalah "mencabar", terutama sekali dengan masa "yang amat singkat" menjelangnya Pilihan Raya Umum akan datang.

Demikian dikatakan Leong Mun Wai dari Parti Kemajuan Singapura (PSP) pada Ahad (16 Mac).

Menyedari terdapat kemasukan penduduk baharu dalam GRC tersebut, Encik Leong berkata: "Kami telah berkhidmat kepada penduduk Telok Blangah dengan keakraban selama empat tahun yang lalu, tetapi mereka mengeluarkan mereka dan memberi kami 41,000 (penduduk) baharu.

"Dan tempohnya sangat singkat, jadi kami pastinya harus merancakkan usaha untuk berinteraksi dengan mereka," tambahnya ketika bercakap kepada para wartawan semasa melakukan kunjungan bertemu penduduk PSP di Pasar dan Pusat Makanan Taman Jurong pada Ahad pagi.

Wajah baharu PSP Cik Stella Stan Lee, Encik Sumarleki Amjah dan Encik Sani Ismail merupakan antara 50 anggota parti dan sukarelawan yang melakukan kunjungan ke kawasan tersebut pada Ahad.
Related article image
Wajah baharu PSP, Sumarleki Amjah melakukan kunjungan bertemu penduduk di pasar dan pusat makanan Taman Jurong pada Ahad, 16 Mac, 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Related article image
Wajah baharu PSP, Stella Stan Lee memberi risalah kepada seorang penduduk semasa melakukan kunjungan bertemu penduduk di pasar dan pusat makanan Taman Jurong pada Ahad, 16 Mac 2025 (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Related article image
Wajah baharu PSP, Sani Ismail melakukan kunjungan bertemu penduduk di pasar dan pusat makanan Taman Jurong pada Ahad, 16 Mac 2025. (Gambar: Jeremy Long/CNA)
Dalam laporannya yang dikeluarkan pada 11 Mac, Jawatankuasa Semakan Sempadan Kawasan Undi (EBRC) menyarankan supaya GRC West Coast menyerap beberapa estet di Jurong West dan Taman Jurong, dan dinamakan semula sebagai GRC West Coast-Jurong West.

Estet-estet di Habourfront dan Sentosa diletakkan di bawah SMC Radin Mas, manakala daerah-daerah di Dover dan Telok Belangah berpindah ke GRC Tanjong Pagar.

Pada 2020, pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP), yang diterajui oleh Menteri Pengangkutan ketika itu S Iswaran, mengalahkan PSP setelah memperolehi 51.69 peratus undi, menjadikannya kawasan undi yang menyaksikan persaingan paling sengit semasa GE2020.

Prestasi PSP - yang dipimpin mantan AP PAP Dr Tan Cheng Bock - mendorong PSP meraih dua kerusi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), yang kini disandang oleh ketua parti Hazel Poa dan Encik Leong.

Pada GE2020, Taman Jurong, iaitu daerah yang dipimpin oleh mantan Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam, merupakan kubu kuat PAP, jelas Cik Poa pada Ahad.

"Sekarang dengan penambahan ini, mereka meningkatkan cabaran, tetapi kami akan bangkit," jelasnya, sambil menambah bahawa para penduduk menyapa mereka dengan mesra, dan menyifatkan ia sebagai memberangsangkan bagi mereka.

GRC Jurong sudah lama menjadi salah satu kawasan undi yang menyaksikan prestasi terbaik PAP. Pasukan tersebut, yang diterajui oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam, memperolehi 79.28 peratus undi semasa GE2015 dan 74.61 peratus semasa GE2020.
Related article image
Dr Tan Cheng Bock menyapa anggota partinya dekat pasar dan pusat makanan Taman Jurong pada Ahad, 16 Mac 2025 (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Related article image
Leong Mun Wai dari PSP, bergambar dengan seorang penduduk semasa melakukan kunjungan bertemu penduduk di pasar dan pusat makanan Taman Jurong pada Ahad, 16 Mac 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Dr Tan mempunyai rekod yang kukuh di barat Singapura, termasuk di Taman Jurong dan Jurong Spring, yang kini menjadi sebahagian daripada GRC West Coast-Jurong West, kata Encik Leong, sambil menambah parti itu berhasrat untuk melakukan yang terbaik untuk melibatkan setiap penduduk menjelang pilihan raya tersebut.

Ketika ditanya mengenai di mana parti itu merancang untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang, termasuk GRC West Coast-Jurong, Dr Tan enggan mendedahkan strategi mereka, tetapi mengesahkan bahawa pembentukan pasukan itu telah dimuktamadkan dan ia akan memastikan pilihannya kekal terbuka.

PSP juga akan bertemu dengan parti pembangkang lain untuk menyelaraskan pendekatan mereka tidak lama lagi, kata Encik Leong.

Parti tersebut akan mengelakkan persaingan tiga penjuru, yang dianggap amat penting, tambah Dr Tan.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita