Skip to main content

Singapura

GE2025: SDP perkenalkan 5 calon di GRC Sembawang

Anggaran Waktu Membaca:
GE2025: SDP perkenalkan 5 calon di GRC Sembawang

(Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 06 Apr 2025 03:47PM Dikemas Kini : 06 Apr 2025 03:48PM
SINGAPURA: Parti Demokratik Singapura (SDP) memperkenalkan lima calon yang mahu bertanding di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Sembawang dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Mereka adalah naib pengerusi SDP Bryan Lim, bendahari Surayah Akbar, timbalan ketua dasar James Gomez dan anggota SDP Damanhuri Abas dan Alfred Tan.

Calon-calon tersebut diperkenalkan oleh pengerusi SDP Profesor Paul Tambyah sebelum satu sesi lawatan bertemu rakyat ke Kampung Admiralty di Woodlands Drive pada Ahad (6 Apr).

"Inilah pasukan SDP di GRC Sembawang... Saya rasa kami agak yakin bahawa kami mempunyai pasukan berpengalaman yang dianggotai oleh beberapa veteran politik," kata Profesor Tambyah.
(Gambar: CNA/Syamil Sapari)
"Kami tidak membawa masuk beberapa CEO pada saat-saat akhir, tetapi kami mempunyai calon yang pernah mengunjungi lapangan di Sembawang, di (GRC Marsiling-Yew Tee) dan Sembawang West, dan oleh itu tidak kira bagaimana Jawatankuasa Sempadan Kawasan Undi (EBRC) membahagikan kawasan undi, kami fikir bahawa kami mempunyai pasukan yang dapat berkhidmat dengan baik kepada penduduk."

Profesor Tambyah menyifatkan Encik Lim sebagai seorang "veteran dalam bidang politik", kerana telah bersaing dalam pilihan raya umumnya yang pertama pada 2001.

Beliau juga memegang jawatan "di peringkat penolong pengarah di sebuah institusi penjagaan kesihatan awam di Singapura", kata Profesor Tambyah.

Encik Lim adalah sebahagian daripada pasukan SDP di Marsiling-Yew Tee yang dikalahkan oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam Pilihan Raya Umum 2020.
(Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Sementara itu, Cik Akbar adalah anggota SDP selama lebih 18 tahun dan beliau juga adalah ketua bagi pengumpulan dana SDP.

Cik Akbar mengendalikan perusahaan penerbitan muzik miliknya sendiri.

Beliau aktif mendampingi penduduk di GRC Marsiling-Yew Tee, seperti yang dipaparkan di akaun media sosial pada Februari lalu, di mana beliau mengagihkan kurma di Pasar Marsiling menjelang Ramadan.

"Surayah adalah seorang muka baharu, yang mungkin satu rahsia yang tidak lagi boleh disorok lagi mengenai muka-muka baharu SDP. Beliau adalah seorang usahawan dan ibu," kata Profesor Tambyah.
(Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Ahli sains politik Dr Gomez telah bertanding dalam pilihan raya sepanjang 20 tahun lalu, kata Profesor Tambyah.

Beliau adalah pengarah serantau di Asia Centre, iaitu sebuah institusi penyelidikan.

Dr Gomez adalah sebahagian daripada pasukan SDP di GRC Holland-Bukit Timah dalam Pilihan Raya Umum 2020, bersama dengan Encik Tan.
(Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Encik Tan disifatkan oleh Profesor Tambyah sebagai seorang "yang memulakan banyak perniagaan" dan seseorang yang "mempunyai nadinya dalam persekitaran perniagaan di Singapura".

Menurut profil SDP pada 2020, Encik Tan berpengalaman selama bertahun-tahun dalam perbankan antarabangsa, kewangan korporat, pengurusan perniagaan dan pengalaman industri di rantau ini.

Encik Damanhuri bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2015 dan 2020 sebagai sebahagian daripada pasukan SDP di GRC Marsiling-Yew Tee.

Menurut laman LinkedInnya, beliau adalah seorang perunding pendidikan serantau, di mana beliau sebelum ini adalah seorang pengarah di Kolej Islam Muhammadiyah.

Pada Mac 2023, Encik Damanhuri berkata beliau "akan mengundurkan daripada bidang parti politik" dan telah berundur sebagai anggota sebuah parti politik.

Beliau dilihat menghadiri beberapa acara SDP pada beberapa minggu kebelakangan ini.

Pada bulan lalu, Dr Chee berkata SDP akan melancarkan 'strategi utara' bagi Pilihan Raya Umum 2025 dan menghantar sebuah pasukan untuk bertanding di GRC Sembawang.

Beliau juga mengumumkan beliau mahu bertanding di SMC Sembawang West, yang merupakan salah satu daripada enam SMC baharu yang diwujudkan.

GRC Sembawang kini diterajui oleh pasukan PAP seramai lima anggota yang diketuai Menteri Kesihatan Ong Ye Kung.

Para anggota lain adalah Encik Vikram Nair, Dr Lim Wee Kiak, Cik Mariam Jaafar dan Cik Poh Li San.

GRC Sembawang adalah medan persaingan lazim bagi SDP, yang telah bertanding di kawasan undi tersebut dalam Pilihan Raya Umum 2006 dan 2011.

Namun ia kalah kepada PAP dalam kedua-dua pilihan raya itu, di mana ia meraih 23.3 peratus undi pada 2006 dan 36.1 peratus undi pada 2011.

GRC Sembawang akan mempunyai seramai 133,919 pengundi dalam pilihan raya yang akan datang.

Selain GRCdan SMC Sembawang, SDP juga menyatakan hasrat untuk bertanding di GRC Marsiling-Yew Tee dan SMC Bukit Panjang.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita